malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Selangor di peringkat amaran awal jerebu
Diterbitkan:  Sep 10, 2019 11:39 PM
Dikemaskini: 3:39 PM
ADS

Selangor berada pada peringkat amaran awal jerebu dengan semua jenis pembakaran terbuka dilarang sama sekali.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata amaran awal itu dikeluarkan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Justeru katanya orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sekolah perlu menghentikan atau menangguhkan kegiatan di luar kelas.

Beliau berkata jerebu di Selangor berpunca daripada kejadian rentas sempadan apabila terdapat bilangan titik panas tinggi dikesan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia bermula Sabtu lepas hingga semalam.

“Sebanyak 116 titik panas di kesan di Sumatera pada Sabtu, 350 pada Ahad dan 391 semalam, manakala di Kalimantan pula, sebanyak 646 titik panas dikesan pada Sabtu, 426 pada Ahad dan 255 semalam.

“Selain itu, aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku di atas batas pertanian dan belukar di Johan Setia, Klang juga menyumbang kepada peningkatan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang tinggi di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di Shah Alam hari ini.

Justeru, katanya, beberapa tindakan diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dalam usaha menangani isu pembakaran terbuka.

Antaranya, meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko kejadian itu sama ada siang ataupun malam, bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes kebakaran serta meningkatkan penggunaan dron sebagai memantau pembakaran terbuka.

Lima kawasan tak sihat

Selain itu kata Hee, JAS Selangor juga bekerjasama dengan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang untuk memantau aktiviti pembakaran terbuka di Johan Setia terutamanya di lokasi yang berpotensi dibakar untuk aktiviti pertanian.

Tambah beliau, bagi menangani cuaca panas dan kering, setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana diarah mempertingkatkan usaha pencegahan aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi mengakibatkan jerebu peringkat tempatan.

“Selain itu, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan semua pemilik tanah dinasihatkan memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Pihak terlibat juga diseru supaya mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” katanya.

Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan selain dikompaun sehingga RM2,000 atas setiap kesalahan.

Hee sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai indeks pencemaran udara semasa sama ada melalui aplikasi MyIPU menerusi telefon pintar atau melayari laman web JAS.

Orang awam yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia di talian 03-8871 2000 atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor di talian 03- 55197233.

Menurut laman web JAS setakat pukul 9 malam ini, IPU di lima kawasan di Selangor menunjukkan tahap tidak sihat dengan Shah Alam mencatat bacaan 130, Klang 113, Banting 123, Johan Setia, Klang 157 dan Petaling Jaya 139, manakala Kuala Selangor menunjukkan bacaan sederhana iaitu 93.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 ke 200 sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas, bahaya.

- Bernama

Lihat Komen