malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Seiring dan sejalan, seindah bunga di taman'
Diterbitkan:  Sep 10, 2019 5:28 PM
Dikemaskini: 9:30 AM
ADS

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sekali lagi - seperti selalu - berkongsi detik manis dan spontan baginda bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Masih menggunakan wadah media sosial, Tunku Azizah memuat naik sekeping gambar baginda bersama Al-Sultan Abdullah berjalan di antara kuntuman bunga yang menawan.

Lebih menarik baginda menitipkan sebahagian lirik lagu Seiring Sejalan nyanyian bersama Broery Marantika dan Sharifah Aini bersama gambar tersebut dalam ciapannya di Twitter.

"Seiring dan sejalan... seindah bunga di taman .... jangan jeles (cemburu)!" ciapnya.

Seperti selalu ciapan Tunku Azizah segera mendapat reaksi daripada pengikut baginda.

Lalu ciapan baginda itu mencuit hati pengikutnya sehingga berlaku 'kenduri sambung lirik di ruangan balas komen.

Salah seorang pengikutnya meninggalkan komen: "Bak gunung nan megah, kanda kupuja... Ha... Sambung Tuanku. 😍"

Baginda kemudian membalas: "Bahagia kita berdua".

Setakat jam 5.15 petang ini ciapan Tunku Azizah mendapat 10,000 reaksi suka dan lebih 2,000 ciapan semula.

 Selain pesta menyambung lirik, rata-rata pengomen turut berkongsi perasaan mereka yang tercuit dengan perkongsian baginda itu dengan kata-kata seperti "sweet" dan "comel".

"Bak Agong dan Tuanku, rakyat pun turut gembira yehehehe 😅😂", kongsi seorang pengomen.

Selepas ciapan tersebut Tunku Azizah turut meminta orang ramai agar mendoakan baginda dan Agong berbahagian sehingga ke akhirat.

Gambar pasangan diraja itu dibidik ketika mereka merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2019 (Floria Diraja Putrajaya 2019) pada 30 Ogos.

Pada majlis itu, Agong turut merasmikan orkid hibrid baru yang dinamakan Vanda Queen Azizah Iskandar, bersempena nama Tunku Azizah.

Untuk rekod Seiring Sejalah ialah satu daripada lagu yang menghiasi filem Hapuslah Air Matamu lakonan Broery dan Sharifah Aini. Filem pecah panggung arahan M Amin itu ditayangkan di Malaysia pada 1976.

Lihat Komen