Pengiklanan

    Pakatan Harapan adalah permuafakatan baru

    (Dikemaskini )

    ULASAN | Idea tentang pemulihan sesebuah negara datang dengan memahami suasana dan nilai sesuatu perubahan politik yang digerakkan. Ia bukanlah sesuatu yang unik untuk Malaysia tetapi hakikat ini adalah keperluan semasa mana-mana gerakan politik dengan memastikan supaya kedaulatan sesebuah negara itu dapat diteruskan.

    Gagasan ini bertapak pada keperluan pulihkan kerosakan dari dalam ataupun impak yang terkesan dari faktor luaran sama ada sosial mahupun ekonomi. Lazimnya pakej ini datang dengan mencipta peluang-peluang ekonomi dan sosial dan kemudian memecut kedudukan negara pada tahap yang cemerlang.

    Saya namakan usaha ini sebagai Pulih, Peluang dan Pecut (3P). Kesemua inisiatif 3P ini membentuk hampir secara konsensus semangat Permuafakatan Baru atau 'New Deal' dalam merasionalisasikan keperluan negara untuk meneruskan langkahnya ke hadapan.

    Kepentingan nasional

    Dalam melihat dan menganalisis lanskap politik Malaysia hari ini, saya menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) diamanahkan untuk membawa idea 3P ini sekaligus membentuk satu Permuafakatan Baru kepada rakyat dan negara agar menjayakan misi 3P bersama demi negara.

    Mana-mana pihak mahupun pembangkang tidak seharusnya merosakkan keperluan muafakat baru ini dengan agenda tersendiri mereka atau sekadar hasratnya untuk kekal relevan tanpa memahami apakah fasa kritikal yang sedang dilalui oleh negara hari ini.

    Selagi konsensus yang dipertikaikan negara ini akan sentiasa diganggu dengan eksploitasi politik melampau sehingga usaha 3P terbantut. Umno dan BN khususnya harus lebih memahami bahawa keperluan muafakat baru ini adalah sebahagiannya akibat pemimpinnya sendiri yang gagal memenuhi pemuafakatan sebelumnya sehingga menggadaikan kepentingan rakyat dan negara.

    Sandaran Umno kepada PAS dalam gabungannya yang didakwa gabungan terbesar dua parti Melayu dalam sejarah adalah sukar difahami. Ini adalah kerana Umno telah merobek Permuafakatan sebelumnya dengan meninggalkan pangkalan menjaga negara kepada menjaga kepentingan dirinya. Hari ini Umno bercakap tentang menyelamatkan negara dengan PAS melalui permuafakatan baru? Apakah PAS sedar ia hanya dieksploitasikan dengan retorik Melayu-Islam Umno?

    Sejarah permuafakatan

    Saya akan menyorot sejarah permuafakatan di Malaysia supaya kita memahami bahawa membina negara itu adalah keutamaan dan mencapai hampir kepada konsensus nasional adalah keperluan negara. Dalam kes Malaysia, idea Pulih, Peluang dan Pecut (3P) sudah pun bertapak dan bermula sejak era kemerdekaan 1957 dengan lahirnya konsep Perpaduan Nasional sebagai implikasi kepada peristiwa huru-hara 13 Mei 1969. Gagasan negara baru di bawah Tunku Abdul Rahman diuji dan dicabar dengan cetusan perkauman yang menggugat survival penting negara iaitu keperluan keharmonian kaum. Ini berlaku apabila kuasa politik kaum Cina menimbulkan kebimbangan majoriti Melayu tentang kedudukan mereka dan maruah mereka.

    Isu kemiskinan dan pembangunan luar bandar yang tidak diberi perhatian menjadi alas berfikir ke arah dasar yang lebih terangkum. Selain itu, unsur ancaman keselamatan dari pengganas komunis masih dibimbangi. Demikianlah fasa negara ketika itu yang disepakati hampir semua pihak.

    Tanah merdeka yang masih merangkak lagi sebagai sebuah kerajaan baru dicabar dengan isu perkauman yang kemudiannya mendesak pimpinan negara kepada satu keperluan dasar yang menyatukan semula seluruh rakyat di negara baru ini.

    Justeru Dasar Perpaduan Nasional dan Keharmonian kaum di Malaysia diilhamkan dan diinstitusikan. Permuafakatan Baru pada masa itu terbentuk agar tumpuan kepada pembangunan negara tercapai. Permuafakatan ini boleh dikenali sebagai Pemuafakatan Baru Pasca 13 Mei 1969.

    DEB

    Cetusan idea 'Pulih' beberapa tahun kemudian melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menjawab isu yang lebih mendasar iaitu strata masyarakat yang tidak seimbang antara kaum dari sudut sosial dan ekonomi. Hasilnya, dua paksi menjadi teras kepada dasar ini iaitu perpaduan antara kaum dan peluang ekonomi.

    DEB adalah semangat kepada Permuafakatan Baru yang mensasarkan pencapaian bumiputera kepada 30 peratus habuan kekayaan negara sehingga 1990. Dasar yang memberi 'Peluang' kepada rakyat memenuhi keperluan dasar ini diterjemahkan melalui pendidikan, infrastruktur pembangunan luar bandar, keusahawanan, peluang memiliki saham dan lain-lain dasar bagi menjayakan fasa kritikal negara pada waktu itu.

    Wawasan 2020

    Idea Pulih dan Peluang bukanlah segalanya, konsep lebih utama diperlukan yang memungkinkan lonjakan besar negara bersaing lebih dinamik secara serantau dan global. Malaysia seterusnya perlukan idea 'Pecut' maka lahirnya satu Permuafakatan Baru untuk Malaysia dengan pengenalan Wawasan 2020 bawah era pertama Dr Mahathir Mohamad pada dekad 90-an. Pecutannya agar Malaysia menjadi Harimau Asia dengan tumpuan infra pembangunan, industri dan penerokaan bidang otomobil.

    Ledakan teknologi maklumat melahirkan rombakan kebudayaan teknologi maklumat besar-besaran. Wawasan 2020 juga meletakkan keperluan jati diri rakyat Malaysia dan orang Melayu khsusunya untuk bersaing tanpa 'tongkat' dari kerajaan maka tumpuan pembinaan sahsiah rakyat Malaysia memenuhi Permuafakatan ini menjadi konsensus kepada semua.

    Inisiatif politik

    Era DEB 70-an diikuti terlebih dahulu dengan usaha politik menyatukan semua kekuatan politik atas nama perpaduan nasional dan keharmonian kaum. Maka lahirlah penjenamaan Perikatan kepada BN. Kelahiran BN adalah untuk kuasa politik lebih tertumpu kepada dasar Pulih, Peluang dan Pecut maka ia adalah juga satu perjanjian bersama hampir konsensus untuk melihat kepentingan negara terlebih dahulu diutamakan dari kepentingan kepartian sempit mahupun kepentingan kaum dan agama yang sempit.

    Gerakan dan PAS yang merupakan pembangkang ketika itu dibawa ke rundingan kepada permuafakatan ini sehingga kedua pembangkang tersebut menyertai kerajaan dan menggerakkan usaha 3P bersama.

    BN tertegak atas konsensus tersebut dan DEB, Wawasan 2020 adalah pengisian kepada negara mencapai matlamat tersebut yang mengikat semua rakyat dan kuasa politik walaupun mereka berbeza ideologi dan pendapat.

    Tidak dinafikan ada kritikan, ada perbalahan politik namun kerangka Permuafakatan diletakkan sebagai garisan yang semua mesti disepakati iaitu, konsensus perpaduan dan keharmonian, demokrasi dan keselamatan negara.

    Permuafakatan dikhianati

    Permuafakatan negara tidak semestinya terminal. Sesungguhnya mana-mana pihak yang merungkai persetujuan ini akan menerima padahnya dan itulah yang berlaku kepada BN dan pemimpin negara apabila kepentingan peribadi dan ketamakan mengambil alih kepentingan negara dan rakyat. Harga yang dibayar kepada dasar membuka Peluang dan Pecut berpotensi melahirkan kronisme, nepotisme dan ananiah (individualistik) lalu menularnya budaya salah guna kuasa, kedudukan dan virus rasuah.

    Ia membengkak apabila pemerintah menganggap mengkritik kerosakan negara sebagai 'ancaman keselamatan' manakala mendiamkan diri pada kerosakan sebagai 'tanda cintakan negara!' Permuafakatan tergugat, rakyat dan negara mencari Permuafakatan baru, tetapi di mana dan siapa yang akan memperbaharui Permuafakatan ini?

    PH sebelumnya Pakatan Rakyat (PR) sudah pun menawarkannya sejak 1999 melalui Barisan Alternatif (BA). (Sepanjang usaha memulihkan permuafakatan negara PAS ada bersama menentang Umno /BN yang semakin lemah komitmen mempertahankan permuafakatan negara ini).

    Hanya pada tahun 2018 PH dalam perjalanannya yang panjang menerima kepercayaan daripada rakyat memulihkan negara sekaligus memperbaharui janji menjaga kepentingan negara.

    Memperbaharui muafakat

    Apabila permuafakatan negara tercemar, negara memerlukan satu tawaran baru bagi mencapai konsensus kepada realiti dan situasi negara yang dah mula terkesan dengan virus rasuah. Lazimnya pemerintah yang sudah korup waktu itu akan bertahan dengan mainan kaum dan sentimen agama untuk menutup kebusukan mereka. Rakyat diberi dan ditanam ilusi betapa bahayanya orang Melayu dan Islam terancam walhal ia adalah untuk menutup perilaku BN yang telah mencemarkan kepercayaan rakyat dengan kes 1MDB, rasuah politik dan kejatuhan akhlak pemimpinnya.

    Isu kaum dan agama bukan baru dimainkan oleh Umno dan sekarang PAS. Sedangkan seruan Pakatan Harapan semasa menjadi pembangkang ialah Selamatkan Negara dari rasuah, perkauman dan agama sempit serta pemimpin tamak.

    PH tidak sama sekali memerlukan sentimen merosakkan perpaduan malah PH sentiasa menyeru sebelum diberi peluang memerintah agar rakyat semua kaum bersatu menentang rasuah dan kebobrokan BN dan bersatu mereformasikan negara melalui siri-siri perhimpunan aman Bersih, GMI dan penyelewengan 1MDB. Perkauman dan agama sempit tiada dalam kamus PH dan jauh sekali dalam agendanya.

    Sejak kebusukan BN merungkai pemuafakatan yang terbina selama ini, negara memerlukan pemuafakatan baru dan hasrat itu diterjemahkan dalam peti undi-peti undi pada PRU ke-14 baru-baru ini. Secara yang tersurat dan tersirat rakyat perlukan satu tawaran baru, satu perjanjian baru, satu konsensus dan rekonsialisasi baru dan nama yang menyampaikan hasrat tersebut terbentuk dalam Gagasan Malaysia Baru.

    Segala dasar yang lahir dari Malaysia Baru perlu mendefinisikan situasi negara dan keperluan strategi baru menggantikan strategi lama mengembalikan Malaysia kepada imej Harimau Asia melalui kestabilan ekonomi dan politik.

    PH membawa hasrat Malaysia Baru dicirikan dengan keperluan diperbaharui, janji menjaga perpaduan dan keharmonian dan mengagihkan kekayaan negara secara konsep kongsi bersama.

    Janji PH pada cita-cita ini hampir menjadi aspirasi semua rakyat dan sepatutnya aspirasi semua kekuatan politik. Malaysia Baru adalah pemuafakatan baru yang menuntut semua pihak memberi tumpuan sepenuhnya ke arah menjayakan cita-cita nasional ini.

    Permuafakatan hanya satu

    Malaysia tidak mungkin ada dua pemuafakatan, apa yang diusahakan oleh pembangkang Umno dan PAS sebagai penyatuan nasional ataupun piagam hanya akan menggangu kepentingan negara pada persimpangan kritikal ini yang cuba memenuhi fasa perkembangan negara. Umno dan PAS sepanjang PH mendapat mandat memerintah negara hanya memutarkan 'rekod lama' perkauman dan agama sama seperti ketika BN memerintah dahulu.

    Lagu-lagu dan lirik “Melayu terancam” dan “Islam tidak dibela” serta “perpaduan ummah” cuba untuk berada di carta lagu teratas waima sebelum PH jadi kerajaan lagi, tetapi mereka tidak pernah berjaya dan itulah hakikat mesej yang hendak dibawa oleh rakyat bahawa Malaysia dan rakyatnya sudah bosan dengan lagu kuno ini.

    Ironinya sebagai pembangkang sepatutnya PAS dan Umno perlu bergelut melihat kelemahan diri dan memperbaiki keadaan dan kemudian memilih strategi pendekatan yang lebih progresif dan inklusif. Malah jika PAS dan Umno memahami erti permuafakatan Malaysia Baru sebenarnya ia harus mengambil peluang meyakinkan rakyat untuk sama-sama memerangi rasuah, menyatupadukan rakyat berbagai agama dan kaum serta menggunakan idea bernas berhujah di parlimen bagaimana untuk membangunkan negara dengan kritikan dasar yang bernas.

    Malangnya PAS dan Umno hanya mahu bersaing untuk survival politiknya sekadar mahu dilihat masih ada di medan. Lebih malang PAS dan Umno memilih 'jalan pintas' untuk menaikkan sentimen awam dengan taktikal perkauman dan agama sempit. Mereka mungkin bergabung dengan kelompok kanan dan radikal menumpang nasib untuk kekal relevan pada satu sub kelompok manusia sahaja yang tidak kenal erti Permuafakatan Negara.

    Piagam kita ialah Malaysia Baru

    Oleh itu, kita harus tertumpu kepada hanya satu permuafakatan iaitu Malaysia Baru. Penghayatannya serta perjuangannya telah dibawa sejak laungan Reformasi dan selamatkan negara dizahirkan kepada rakyat. Semua rakyat diajak menjayakan dasar 3P dan dalam kerangka memelihara kesepaduan dan keharmonian. Pembangkang Umno dan PAS termasuk MCA dan MIC sepatutnya bersama dengan permuafakatan Malaysia Baru.

    Saya tidak mengajak mereka meninggalkan pangkalan mereka, saya hanya mengajak mereka jangan ada permuafakatan yang bertentangan sama ada piagam mahupun penyatuan nasional. Malaysia hanya perlu satu sahaja permuafakatan baru maka bersainglah dalam konsensus ini.


    DR MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah merangkap ahli parlimen Parit Buntar.

    Tulisan itu tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih