malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Hari keenam: Saya padam semua emel lepas bebas reman SPRM - bekas pegawai Najib
ADS

LANGSUNG l Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB memasuki hari keenam di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Linq Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan menyertai program langganan kami pada kadar serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


'Kita lihat nanti' - Shafee ketika ditanya sama ada akan cabar saksi

5.15 petang: Selepas perbicaraan hari ini ditangguhkan, Malaysiakini bertanya kepada ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdulah berkenaan sama ada pihaknya merancang untuk mencabar untuk menyingkirkan saksi pendakwaan Amhari Efendi Nazaruddin.

Ia selepas pembelaan hari ini membangkitkan beberapa perkara tidak konsisten dalam keterangan Amhari, yang merupakan bekas pegawai khas Najib Razak.

Shafee bagaimanapun menjawab soalan itu dengan senyuman dan hanya berkata: "Kita lihat nanti (let's see)".

Berkenaan pemeriksaan balas dengan Amhari, yang telah mengambil masa dua hari, peguam itu berkata dia mungkin memerlukan masa sehari lagi.

Dia berkata yakin pemeriksaan balas akan selesai dalam minggu ini.


4.47 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan untuk hari ini. Perbicaraan akan bersambung semula pada pukul 9.30 pagi esok.


Bekas pembantu Najib padam semua emel lepas bebas dari reman SPRM

4.30 petang: Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu dia memadam semua emelnya beberapa bulan selepas dibebaskan daripada reman SPRM.

Dalam keterangannya, bekas pegawai khas Najib Razak itu berkata dia berbuat demikian awal tahun ini dan ia sudah menjadi amalannya untuk mengosongkan peti simpanan emel setiap tahun.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, sama ada dia masih menyimpan emel termasuk dari ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho.

Shafee: Kebanyakan emel masih ada (dalam Blackberry Amhari).

Amhari: Tidak, saya sudah padam. Saya sentiasa padam emel saya.

Shafee: Pastinya anda tak tahu tentang (emel) Azlin (Alias).

Amhari: Tidak.

Shafee: Jho Low hantar emel kepada anda, anda padam semuanya.

Amhari: Saya rasa sekarang (by now) saya sudah padam semuanya.

Shafee: Apa maksud anda dengan "sekarang"?

Amhari: Saya rasa selepas SPRM reman saya, saya padamkan semua emel. Tak kira daripada siapa. Saya mahu buka buku baru.

Shafee: Selepas SPRM tahan anda, anda kembali dan padamkan emel?

Amhari: Ya.

Menurut Amhari, dia telah memberikan kata laluan emelnya kepada SPRM ketika direman pada Julai 2018, tetapi tidak pasti sama ada SPRM telah mengambil semua data yang ada.

Ketika Shafee bertanya sama ada dia mendapat kebenaran SPRM untuk memadamkan emelnya, memandangkan dia masih dalam siasatan, Amhari berkata dia tidak berbuat demikian.

Katanya, dia tidak terfikir tentang siasatan SPRM ketika memadamkan emelnya.

Amhari juga tidak setuju dengan kenyataan Shafee bahawa dia berbuat demikian kerana kandungan emelnya akan mendedahkan hal sebenar berkenaan kaitannya dengan Jho Low.

Terdahulu, dia juga bersetuju yang dia menerima telefon Blackberry daripada Jho Low.

Telefon itu bagaimanapun telah dirampas SPRM ketika Amhari ditahan tahun lalu, dan sehingga kini dalam simpanan agensi itu.


Saksi: Najib tak pernah arah jumpa Jho Low di Hotel Prince

4.18 petang: Amhari Efendi Nazaruddin mengakui bekas perdana menteri Najib Razak tidak pernah mengarahkannya untuk bertemu ahli perniagaan Low Taek Jho di Hotel Prince Kuala Lumpur.

Bekas pegawai khas Najib itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Saya katakan fakta bahawa Najib tidak pernah mengarahkan anda berdua (Amhari dan ketua setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias) untuk bertemu Low di hotel di KL bermakna dia tak pernah membenarkan anda berdua jumpa Low?

Amhari: Tak setuju.

Shafee: Adakah Najib misalnya pernah beritahu anda dan Azlin untuk berjumpa Low pada malam itu di Hotel Prince?

Amhari: Bukan kepada saya.

Shafee: Adakah anda tak bingung dengan permainan pelik yang dicipta Low untuk anda berdua berjumpanya di hotel?

Amhari: Saya tak rasa ia pelik.


mhari disoal berkenaan pernyataan bertulis tak konsisten

3.30 petang: Pasukan peguam Najib Razak menyoal bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin, berhubung pernyataan bertulisnya yang didakwa tidak konsisten.

Ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah berkata Amhari ada menyatakan "pada kebanyakan masa", dia dan Allahyarham Azlin Alias akan memeriksa dengan Najib berhubung arahan yang diterima daripada ahli perniagaan Low Taek Jho.

Azlin adalah ketua setiausaha sulit Najib ketika itu.

Shafee kemudian membangkitkan pertentangan antara perenggan 17 dan perenggan 25 pernyataan bertulis, yang menyatakan Amhari dan Azlin hanya "ada masanya" dan "bila perlu" akan mengesahkan arahan dengan Najib.

Amhari kemudian meminta masa untuk membaca semula pernyataan bertulisnya.

Soal jawab berkenaan perkara itu mengambil masa 15 minit, sebelum Amhari setuju bahawa mereka memeriksa dengan Najib hanya apabila perlu.

Shafee kemudian bertanya saksi kelapan pendakwaan itu tentang sebab dia bersikap tidak konsisten.


Ramai di PMO tak sedar Jho Low penasihat tak rasmi Najib: Saksi

3.05 petang: Tidak ramai orang-orang di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sedar bahawa Jho Low merupakan penasihat tidak rasmi kepada bekas perdana menteri Najib Razak, kata bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Muhammad Shafee Abdullah, saksi ke-8 itu berkata Jho Low menjadi penasihat tidak rasmi kepada Najib tanpa lantikan rasmi atau "Secara sulit".

Shafee menyoal Amhari apa yang dimaksudkan saksi itu dengan frasa secara sulit dalam Perenggan 23 keterangan saksinya berkenaan Jho Low menjadi penasihat tidak rasmi kepada Najib di belakang tabir dan tidak diketahui ramai.

"Tidak ramai di PMO tahu. Pegawai kanan seperti Azlin (Alias, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) dan beberapa yang lain mungkin tahu bahawa Jho Low telah berbincang dengan Najib. Tetapi ramai di PMO tidak tahu," kata Amhari.

Prosiding bersambung

2.30 petang - Prosiding bersambung selepas rehat makan tengah hari.


Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengahari

12.30 tengah hari: Mahkamah berhenti untuk makan tengahari, dan perbicaraan akan disambung semula jam 2.30 petang.


Najib tidak pernah mengeluarkan arahan yang tidak sesuai kepada saya, kata saksi

12.29 tengah hari - Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin berkata bekas perdana menteri itu tidak pernah mengeluarkan arahan yang tidak wajar kepadanya.

Saksi kesembilan itu memberitahu peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas terhadap beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Shafee: Saya katakan kepada kamu bahawa tidak pernah ada persitiwa yang Najib berikan arahan kepada kamu yang tidak sesuai?

Amhari: Saya akan jawab cara saya. Saya tidak perhatikan ada arahan salah yang diberikan kepada saya. Saya tidak boleh katakan bagi pihak orang lain.


Istana kecewa dengan Jho Low yang mendakwa mewakili wakil Agong

12.15 tengah hari: Mahkamah diberitahu bahawa pada tahun 2009, istana kecewa dengan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho yang menggambarkan dirinya sebagai wakil Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud.

Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah (gambar) mendedahkan perkara ini dengan merujuk kepada minit mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 29 Mei 2009. TIA adalah pelopor 1MDB.

Menurut minit itu, wakil istana dari Menteri Besar Incorporated (MBI) kecewa apabila Low mendakwa mewakili Agong.

Shafee merujuk kepada minit-minit itu sewaktu pemeriksaan balas terhadap bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, yang menghadiri mesyuarat TIA pada Jun tahun itu.

Shafee: Wakil istana mempersoalkan peranan Low, kerana istana bimbang ada pihak tertentu menyalahgunakan nama Agong tersebut.

Kamu setuju bahawa pada mesyuarat kedua ini (30 Jun), wakil-wakil Agong dan MBI Inc mempertikaikan Low sebagai wakil Agong. Dokumen ini (Mei 29 minit) menjelaskan sendiri perkara ini.

Amhari: Ya.


Najib diberi taklimat mengenai Soalan Lazim yang menafikan peranan Jho Low dalam 1MDB - Bekas pembantu

12.10 tengah hari: Mahkamah mendengar keterangan saksi Amhari Efendi Nazaruddin bahawa Najib Razak diberi taklimat mengenai dokumen soalan yang sering ditanya (FAQ) oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (gambar) yang menyatakan beliau (Jho Low) tidak terlibat dengan 1MDB.

Amhari berkata Najib diberi taklimat mengenai hal itu oleh Allahyarham Azlin Alias sebelum kematiannya pada 4 April 2015.

Walaupun tidak dapat menyebut tarikh tepat, Amhari - yang menjadi pegawai khas Najib ketika itu - berkata beliau hadir pada taklimat berkenaan.

Saksi itu ditanya oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah untuk memberikan contoh arahan daripada Jho Low yang beliau atau Azlin telah semak dengan Najib.

Bagaimanapun, Amhari memberitahu mahkamah beliau tidak ingat jika dokumen FAQ itu ditunjukkan kepada Najib ketika itu, atau jika dokumen itu dimusnahkan malam sebelumnya, seperti diarahkan Jho Low.


'Jho Low hadir majlis peribadi eksklusif Najib dan Rosmah'

11.35 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho rapat dengan Rosmah Mansor dan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak, kerana sering dilihat dalam majlis-majlis peribadi mereka.

Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah berkata, majlis-majlis peribadi itu sangat eksklusif.

Shafee: Apa yang buatkan kamu membuat kesimpulan bahawa mereka (Low dan Rosmah) rapat?

Amhari: Dari segi majlis. Sebahagian daripada majlis-majlis ini ... Saya tidak mahu menyamaratakan kehidupan peribadi seseorang, tetapi untuk beberapa majlis peribadi yang dianjurkan Najib dan Rosmah pada tahun-tahun awal, saya akan lihat Low di sana juga. Ia sangat eksklusif.

Shafee: Berapa ramai orang yang menghadiri majlis tersebut?

Amhari: Sekitar 100 orang.

Saksi itu menambah beliau percaya Low dan Rosmah rapat ketika mendengar suaranya dalam perbualan telefon.

Ini berlaku ketika beliau dan bekas pegawai khas Najib, Azlin Alias ​​berada dalam pertemuan dengan Low di Hotel Prince di Kuala Lumpur.


10.55 pagi: Mahkamah berhenti rehat seketika.

'Saya tiada maklumat penuh pertikaian 1MDB-IPIC apabila dihantar ke Abu Dhabi'

10.30 pagi: Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin berkata beliau tidak tahu mengenai pertikaian hutang 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) ketika dihantar ke Abu Dhabi untuk rundingan pada 2016.

"Secara jujur, Yang Arif, saya tidak faham mengenai skala penuh isu IPIC dan saya hanya mengikut arahan, saya tidak mempunyai maklumat penuh mengenai Ipic," katanya.

Saksi itu memberi keterangan minggu lalu bahawa dia ditugaskan oleh Najib untuk bertemu dengan individu penting di Abu Dhabi untuk menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam utama Muhammad Shafee Abdullah, Amhari juga mengatakan beliau tidak tahu dana kekayaan negara Abu Dhabi, Mubadala Investment Company telah melabur sebanyak AS$ 1.2 bilion (RM5 bilion) di Iskandar Malaysia pada 2008.

Mubadala bergabung dengan IPIC pada tahun 2017.

Amhari juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menyedari bahawa projek itu adalah 'projek sulung' bosnya ketika itu, Mohd Effendi Norwawi, yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu.

Effendi bertanggungjawab di Unit Perancang Ekonomi dan Amhari menjadi pegawai khasnya dari tahun 2006 hingga 2008, sebelum menjadi pegawai khas Najib.

Dalam keterangannya Amhari berkata beliau hanya tahu bahawa terdapat Akta Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar 2007, tetapi tidak tahu banyak tentang projek itu.

Beliau menambah penglibatannya terhad untuk mengiringi Effendi menghadiri mesyuarat-mesyuarat yang diadakan

"Saya ikut (Effendi) dalam mesyuarat, memegang fail apa saja yang sedang dibincangkan, dan lihat jika ada arahan daripadanya."


Bekas pembantu Najib tak isytihar pinjaman AS$200k dari Jho Low

9.50 pagi: Bekas pembantu kepada Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin mengakui beliau tidak mengisytiharkan AS$200,000 yang dipinjamkan kepadanya oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Muhammad Shafee Abdullah, Amhari mengatakan beliau tahu Low berurusan dengan kerajaan, khususnya Pejabat Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Amhari: Dia (Low) mempunyai kepentingan dengan kerajaan.

Shafee: Dan kamu tidak mengisytiharkan pinjaman AS$ 200,000 ini kepada kerajaan atau mendapat izin daripada prinsipal kamu? Ia boleh menjadi satu kesalahan di pihak kamu?

Amhari: Saya tidak sedar, tahu atau jelas bahawa ia adalah satu kesalahan.

Saksi itu minggu lalu memberi keterangan bahawa beliau telah menerima pinjaman dari Low.


Pembelaan minta hakim kosongkan 3 hari pada Oktober

9.45 pagi: Perbicaraan bermula dengan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah meminta saksi kelapan pendakwaan Amhari Efendi Nazaruddin mengemukakan perjanjian bon jaminan kepada mahkamah, yang diminta pada perbicaraan minggu lepas.

Apabila Amhari memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memberikan dokumen itu kepada pegawai penyiasat SPRM, Shafee kemudian meminta beliau mendapatkannya dari pegawai berkenaan bagi tujuan pemeriksaan balas.

Sementara Amhari mencari pegawai penyiasat SPRM berkenaan, Shafee membuat permintaan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah sekiranya hakim boleh mengosongkan tarikh perbicaraan 1MDB selama tiga hari pada 1, 2 dan 3 Oktober.

Katanya beliau telah diminta oleh hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengendalikan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan untuk memohon permintaan itu.

Shafee mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, yang bersama dengan dua anak lelakinya dan warganegara Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang didakwa melakukan pembunuhan itu.

Perbicaraan kes pembunuhan itu pada masa ini hanya berlangsung pada hari Jumaat, kerana hari-hari lain dikosongkan untuk perbicaraan 1MDB.

Hakim kemudiannya memberitahu Shafee bahawa beliau perlu melihat perkembangan perbicaraan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan, memandangkan Oktober masih jauh.


Bekas PM dikandang tertuduh

9.37 pagi: Najib Razak masuk ke kandang tertuduh apabila perbicaraan dimulakan.


Najib memasuki mahkamah

9.30 pagi: Tertuduh, Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.

Turut kelihatan ialah peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah serta ketua pendakwa raya, Gopal Sri Ram.


Pada hari keenam perbicaraan, pemeriksaan balas pegawai kanan Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin mungkin berdasarkan dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui aktiviti haram yang dijalankan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho.

Ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah berkata pada Khamis bahawa arahan Najib menunjukkan bahawa beliau tidak menyedari Amhari yang diarahkan oleh Low untuk membuka akaun bank di Singapura.

Perbicaraan hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, dijangka menyaksikan pihak pembelaan mensasarkan Amhari, saksi kelapan, dengan soalan lebih berat.

Pihak peguam bela kemungkinan akan memberi tumpuan kepada arahan Low kepada Amhari mengenai pemindahan dana yang berkaitan dengan 25 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib.

Lihat Komen