Pengiklanan

    Tambak laut: P Pinang hanya runding dengan pihak terlibat

    (Dikemaskini )

    Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya akan mengadakan rundingan dengan pihak-pihak yang terjejas dengan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

    Sebaliknya, beliau berkata pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain boleh menyuarakan pendapat mereka dan Kerajaan Negeri akan ambil maklum pandangan yang diberikan.

    "Kita jumpa dengan pihak yang terlibat, itu lebih baik. Pendekatan kita adalah untuk menangani pihak berkepentingan yang terjejas. Rundingan kita, perbincangan dengan pihak berkepentingan. NGO lain boleh menyuarakan pendapat, kami ambil maklum.

    "Exco Kerajaan Negeri Dr Afif Bahardin akan mengatur perjumpaan dengan persatuan nelayan selepas pakej saguhati dibincangkan seperti yang diumumkan sebelum ini" katanya pada sidang media selepas menghadiri Kongres Makanan Laut Sedunia 2019, di sini hari ini.

    Kongres tiga hari yang bermula hari ini itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.

    Semalam, Pengerusi Gerakan Ummah (Ummah) Pulau Pinang Mohd Akhir Che Mat ketika ditemui selepas perhimpunan aman Selamatkan Pulau Pinang - Penang Tolak Tambak di Permatang Damar Laut berkata pihaknya akan mengatur pertemuan dengan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu berbangkit berhubung projek PSR yang didakwa menjejaskan lebih 5,000 nelayan di negeri itu.

    Sementara itu, Dr Afif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri berkata pihaknya telah membincangkan formula bersesuaian termasuk isu pampasan, ex gratia dan program-program pembangunan khusus untuk para nelayan yang terjejas.

    "Saya perlu mengemukakannya kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan. Perkara ini lebih penting kepada kita daripada melibatkan NGO semasa ini," katanya.

    Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

    PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih