BERITA

Polis tahan 11 individu bantu siasatan mayat lelaki terbakar

Bernama

9 Sep 2019, 7:00 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Polis menahan 11 individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang terbakar 20 peratus serta beberapa kesan tikaman di bahagian badan di tepi sungai dekat Kampung Sungai Puyu, Pasir Puteh, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata penahanan kesemua individu berusia antara 16 hingga 55 tahun itu dilakukan secara berasingan pada Rabu lepas hingga semalam, di sekitar Pasir Puteh serta dua jajahan berdekatan.

"Penahanan ini bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Jerteh, Terengganu.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan kita dapati mangsa mati akibat pukulan objek tumpul di bahagian kepala selain beberapa tikaman di bahagian badan," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Wan Khairuddin berkata kesemua suspek yang ditahan secara berasingan mulai 4 Sept lepas hingga semalam direman antara empat dan tujuh hari.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang daripada suspek marah dengan mangsa yang dikatakan sering mengganggu teman wanitanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.