malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jakim saran semua masjid buat solat sunat Istisqa
Diterbitkan:  Sep 9, 2019 2:33 PM
Dikemaskini: 6:33 AM
ADS

Semua masjid di seluruh negara disaran melaksanakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia sekarang.

Untuk tujuan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohamad Nordin Ibrahim, berkata pihaknya memohon kerjasama semua pentadbir agama Islam negeri.

"Jakim memohon jasa baik dan kerjasama jabatan agama Islam negeri di seluruh Malaysia untuk meminta semua masjid di bawah pentadbiran masing-masing melaksanakan solat sunat Istisqa bagi tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nordin berkata tiga masjid utama di bawah Jakim iaitu Masjid Negara - di Kuala Lumpur - serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin - di Putrajaya - akan melakukan solat sunat itu selepas solat Isyak malam ini.

Beliau menjemput orang ramai untuk hadir menjayakannya.

Menurut Mohamad Nordin, syor mengadakan solat sunat itu dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

- Bernama

Lihat Komen