Pengiklanan

    Terlalu awal untuk tubuh RCI kadar kemiskinan - Anwar

    (Dikemaskini )

    Presiden PKR Anwar Ibrahim berpendapat bahawa adalah terlalu awal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kadar kemiskinan di negara.

    Menurutnya, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan pakar-pakar bidang ekonomi perlu diberikan ruang untuk berkongsi pandangan terlebih dahulu.

    "Terlalu awal. Perlu berikan ruang kepada EPU dan kemudian mengguna pakai pakar-pakar ekonomi termasuk Prof Joma Kwame Sundram dan pakar-pakar ekonomi daripada Universiti Malaya, UKM, untuk beri input," katanya kepada pemberita di Forum Pemberdayaan Ekonomi Umat, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines, (MIECC), Seri Kembangan, hari ini.

    Terdahulu, Anwar ditanya mengenai saranan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Malaysia memalsukan keadaan sebenar kadar kemiskinan di negara ini.

    "Dua minggu lalu, kita sudah bawa ke kaukus parlimen (untuk bincang kadar kemiskinan).

    "Kita telah putuskan bahawa kita akan maklumkan kajian ini dan hasilnya kepada ahli-ahli parlimen," tambahnya.

    Semalam, pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan supaya menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan yang mengatakan kerajaan tertipu dengan kejayaan sendiri.

    Memetik laporan FMT, beliau dipetik sebagai berkata bahawa ukuran kadar kemiskinan yang tidak tepat merupakan satu skandal yang amat besar dan perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan.

    “Penemuan utama PBB bukti kegagalan institusi kerajaan mengembangkan dasar lebih jujur, telus dan berkesan bagi mengurangkan kemiskinan dan pembangunan inklusif dalam membuat dasar kerajaan,” katanya.

    Terdahulu, Anwar memberitahu bahawa adalah tidak masuk akal dengan angka kadar kemiskinan di Malaysia hanya 0.4 peratus pada tahun 2016.

    "Angka ini tidak masuk akal. Ini berdasarkan kiraan pada tahun 1971. Pakar-pakar ekonomi setuju kerana ini angka kita.

    "Kita pergi ke kampung-kampung mendapati ada yang miskin. Tapi, dengan angka ini (0.4 peratus) bermakna kurang daripada satu keluarga sahaja di kampung miskin. Tak mungkin.

    "Saya setuju dengan ukuran PBB paling kurang 20 peratus," katanya ketika menjawab soalan peserta forum tersebut.

    Forum tersebut adalah sebahagian daripada Halal Fest yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri bersama beberapa agensi kerajaan dan syarikat korporat serta NGO tempatan.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih