malaysiakini logo
story-image
ADS

Pihak berkuasa masih mengesan setiausaha politik presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkaitan kes serangan fizikal, maklum Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Katanya, walaupun pengadu telah menarik balik laporan namun polis masih perlu untuk merakam kenyataan Farhash.

“….. (pihak polis) masih kesan dia (Farhash) walaupun kita sahkan laporan ditarik balik pengadu. Kita akan rakam percakapan dia dan hantar kenyataan ke Timbalan Pendakwa Raya sama ada mahu NFA (tiada tindakan lanjut) atau tak,” katanya kepada pemberita di Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya sekiranya pengadu telah diugut supaya menarik balik laporannya, Abdul Hamid berkata pihak polis "juga akan merakam percakapan pengadu."

Sebelum ini, Farhash dan beberapa individu lain didakwa oleh pengadu menyerangnya di luar kompleks sukan di Ampang pada 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu mendakwa diserang sekumpulan individu bersenjata topi keledar, pisau dan kerusi, walaupun tiga sahabatnya telah cuba menghentikan serangan.

Pengadu mendakwa mengalami kecederaan di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.

Lima lelaki, berumur lingkungan 22 dan 28 telah ditangkap susulan kejadian tersebut.

Farhash yang juga pengerusi PKR Perak telah berjanji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis namun masih gagal berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid mengulangi pihak polis masih menyiasat kes video intim yang melibatkan dua individu termasuk seorang yang menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

“Tindakan sedang dijalankan dan beberapa arahan dari Pejabat Peguam Negara dan tindakan lanjut perlu diambil untuk kumpul bukti.

“Kes ini sedang dijalankan, tidak mati. (Bagaimanapun) kita tidak dapat tentukan masanya, kita pasti akan ambil tindakan secepat mungkin untuk selesaikan sebab benda ini dah lama, tindakan terhadap penyebar dan pelaku,” katanya.

Azmin dituduh oleh bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai salah seorang individu yang dipaparkan dalam klip video seks sejenis itu.

Haziq pula mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video itu, sementara Azmin menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah "komplot jahat" dari dalam parti untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

Julai lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata Cybersecurity Malaysia mendapati bahawa meskipun klip video itu tulen, proses pengecaman wajah gagal mengaitkan dua individu yang dipaparkan melakukan aksi seks sejenis dalam klip video berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen