Pengiklanan

    5 individu dalam laporan polis Zakir dipanggil minggu depan

    (Dikemaskini )

    Polis akan merakam kenyataan daripada individu yang namanya dinyatakan dalam laporan polis pendakwah Dr Zakir Naik, minggu depan.

    Mereka adalah Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran; bekas duta besar Dennis J Ignatius; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang Charles Santiago; dan Adun Bagan Dalam M Satees.

    Bulan lepas, Zakir memfailkan laporan itu terhadap mereka atas dakwaan fitnah.

    "Kita akan panggil mereka. Mereka dah dimaklumkan (untuk hadir beri keterangan) tapi mereka belum datang.

    "Minggu depan kita akan pastikan mereka akan datang," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed kepada pemberita di Cheras hari ini.

    Menurut laporan polis Zakir, yang dilihat oleh Malaysiakini, pendakwah kontroversi itu menuduh lima individu berkenaan memfitnahnya dalam kenyataan dan artikel mereka.

    Mengulas artikel yang dimaksudkan, Zakir berkata: "Siaran akhbar dan artikel telah memesongkan dan membingungkan orang ramai secara keseluruhan terhadap niat sebenar ucapan saya (di Kelantan) dalam menyebarkan 'dakwah', keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

    "Individu-individu berkenaan telah memetik kata-kata saya dengan konteks yang salah semasa saya menjawab salah satu soalan yang diajukan kepada saya selepas ucapan saya mengenai topik 'Kesalahfahaman tentang Islam'.

    "Jelas sekali, mereka telah memutar dan memanipulasi untuk menjejaskan saya dan demi kepentingan agenda politik mereka sendiri," katanya.

    Sementara itu, Ramasamy ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah dipanggil hadir memberi keterangan sebelum ini.

    "Saya tidak ingat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ada panggil kami tampil sebelum ini. Saya sedia beri keterangan, kami tak lari dari undang-undang di Malaysia, bukan seperti Zakir," katanya.

    Zakir sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan kenyataannya dalam sebuah program di Kelantan.

    Pendakwah itu berkata kaum India di Malaysia lebih setia dengan Perdana Menteri India Narendran Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Zakir turut menyifatkan kaum Cina di Malaysia sebagai "tetamu lama".

    Selepas dikecam pelbagai pihak, Zakir memohon maaf namun mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks.

    Zakir juga telah diambil keterangannya oleh polis susulan laporan polis terhadapnya.

    Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya dan kini menunggu arahan lanjut.

    Zakir juga dilarang menyampaikan ceramah awam.

    Bagaimanapun, Zakir tetap mendapat jemputan menghadiri program keagamaan, termasuk di Masjid Cina di Melaka, semalam.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih