malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Debaton Parlimen mungkin lebih baik dari sidang sebenar, kata speaker
ADS

Kerusi-kerusi kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat semalam diambil alih oleh pelajar-pelajar yang berdebat di hadapan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof.

Berumur antara 16 hingga 25 tahun, mereka adalah peserta Debaton Parlimen 2019 (Belia) yang berhujah usul berkaitan masa depan pekerja prekariat dan mengenai cara terbaik untuk melindungi pekerja bebas (freelance) dan kontrak yang semakin meningkat dalam gig ekonomi.

Mengulas acara itu, Mohamad Ariff berkata beliau kagum dengan gaya debat dan hujah yang berisi daripada para pendebat.

"Taraf debat anda adalah seperti yang kita lihat di Dewan Rakyat yang sebenar, mungkin lebih baik.

"Ini kerana tidak ada caci maki (penghinaan), walaupun beberapa kata tidak sesuai digunakan. Ini boleh diperbaiki, " katanya di hadapan para pendebat muda.

"Hari ini anda telah membuktikan kebolehan anda untuk bercakap secara ringkas, padat dan substansial tanpa membangkitkan apa-apa prasangka atau perasaan tidak enak," katanya.

Mohamad Ariff berkata bahawa beliau percaya ia menandakan potensi belia di negara ini.

Memperkasa pekerja bebas

Terdahulu, pelajar di barisan kerajaan mencadangkan pembaharuan undang-undang untuk memberi pekerja bebas perlindungan yang sama seperti pekerja sepenuh masa di bawah Akta Pekerjaan 1955.

Diketuai oleh Muhammad Asyraf Mustafa Kamaruddin, Nur Atiah Zakaria dan Tan Chee Yong, mereka berkata kerajaan mereka yang "bertanggungjawab dan peduli" bukan sahaja menyediakan keselamatan sosial untuk pekerja, tetapi juga meningkatkan kemahiran mereka.

Pelajar di barisan pembangkang yang penuh bersemangat - diketuai oleh Nur Azmina Aini Azman, Dusha Nanthakumar dan Joshua George Varughese - mempersoalkan jika langkah itu akan menyebabkan wujudnya lebih banyak peraturan bagi pekerja bebas dan dengan itu lebih banyak sekatan ke atas gig ekonomi yang fleksibel.

 

Mereka juga mempersoalkan sama ada adil untuk pekerja bebas menerima manfaat yang sama diterima pekerja sepenuh masa memandangkan tempoh bekerja yang tidak sama.

Justeru, barisan pembangkang mencadangkan undang-undang baru untuk menampung keperluan yang berbeza golongan pekerja bebas.

Seperti dalam persidangan Dewan Rakyat sebenar, para pendebat meminta Mohamad Ariff untuk mendapatkan kebenaran sekiranya ingin bercakap dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, kerana terlalu kerap, speaker mempersoalkan kemahiran bahasa kebangsaan pendebat berkenaan.

Sesi debat itu juga menyaksikan bidasan dan kecaman yang tidak pernah didengar dalam perdebatan parlimen sebanar, dengan barisan kerajaan menuduh pembangkang terlalu menumpukan pada teknikal sehingga gagal menjadi konstruktif.

Sementara itu, pihak pembangkang menegaskan bahawa hujah mereka menunjukkan mereka peduli terhadap rakyat dan kerajaan tidak melihat gambaran besar dengan cadangan reformasi undang-undang berkenaan.

Dua lagi perdebatan

Dari 46 pendebat, Dusha kemudiannya dianugerahkan sebagai pendebat terbaik melalui undian umum dalam talian.

Pelajar jurusan psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berusia 22 tahun itu memperoleh 1,257 undi dan menerima langganan seumur hidup laman Malaysiakini.

 

Peserta termuda malam itu ialah Muhammad Nazaruddin Mohd Salleh, 16 tahun.

Pelajar tingkatan empat dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu mewakili barisan kerajaan.

Acara berkenaan dianjurkan oleh bahagian pengurusan acara, KiniEvents, dan diadakan bersempena ulang tahun ke-20 Malaysiakini serta ulang tahun ke-60 parlimen.

Rakan penganjur lain termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Tabung Pembangunan Sumber Manusia, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Dua acara Debaton Parlimen yang akan datang akan menyaksikan para pelajar berhujah mengenai keselamatan siber dan data (5 Okt di Universiti Sains Malaysia) dan memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak (19 Okt di Universiti Malaysia Sabah).

Untuk maklumat lanjut mengenai acara akan datang, sila lawati parliamentdebate.com. Pertanyaan melalui e-mel boleh dihantar kepada [email protected].

Lihat Komen