malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kementah siasat dakwaan peguam mahu bantu waris komando
ADS

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan seorang peguam yang sebelum ini menawarkan diri membantu bekas anggota komando, Mejar Mohd Zahir Armaya.

Kata Mohamad setakat ini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan Suzana Norlihan Ujen itu.

“Saya tidak tahu lagi pasal isu ini, tetapi saya akan buat siasatan secepatnya dan akan mengeluarkan kenyataan,” katanya kepada media selepas majlis Run For Peace di Padang Besar Taman Klang Jaya, Klang hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa, Gunaraj R George.

Acara tersebut dianjurkan sejak 2005 oleh Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM) sejak tahun 2005 dan diadakan di 28 lokasi seluruh negara dengan penyertaan seramai 115, 000 orang.

Beberapa hari lalu Suzana ada kakitangan Kementerian Pertahanan menghubungi suaminya selepas dia mahu memberikan bantuan perundangan kepada waris Mohd Zahir.

Anak seniman AR Badul itu adalah anggota 11 Rejimen Gerak Khas, yang meninggal dunia dalam pertunjukan yang bertukar tragedi di Kem Lok Kawi, Sabah pada 4 Sept lalu.

“Wahai Mindef (Kementerian Pertahanan), tak perlu call suami saya. Call saya terus! Tak main la call suami. Bukan jari dia yang taip. Jari saya. Sekian,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya.

Difahamkan suami Suzana juga merupakan anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wanita terbabit menghulurkan bantuan kepada isteri Mohd Zahir bagi membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.

“Bagi saya peluru hidup atau bukan, bukan isunya. Yang menjadi isu adalah sewaktu tembakan dilepaskan.

“Si penembak iaitu dalam keadaan yang stabil atau tidak untuk menembak secara tepat.

"Jika dia tidak stabil dan gopoh, maka dia cuai dan patut dihadapkan ke muda pengadilan,” katanya lagi.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Suzana bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut berkenaan perkara itu.

Terdahulu, ATM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi tersebut. 

Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim juga berkata polis menyiasat seorang anggota tentera berhubung insiden berkenaan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya juga masih menyiasat insiden terbabit dan proses itu akan disegerakan.

“(Siasatan kes komando) masih dalam siasatan, saya belum dapat keputusan sehingga berapa peratus siasatan tetapi saya akan pastikan ia tidak lama,” katanya.

Selain itu, tambah Mohamad, bantuan buat balu Mohd Zahir, Nourshafinar Harun, sudah digerakkan dan akan dihulurkan secepat mungkin.

Mengenai acara yang dihadirinya Mohamad menggesa orang awam meningkatkan kesedaran terhadap bahaya senjata nuklear serta memupuk budaya keamanaan dalam masyarakat.

“Ini kerana (negara) yang disebut sebagai mempunyai kuasa besar, mereka paling banyak melanggar tatacara keharmoniaan dunia dan ini dapat kita lihat senjata sotisfikated yang dicipta bagi galakkan peperangan,” katanya.

Lihat Komen