malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jerebu: Kurangkan aktiviti luar - MetMalaysia
ADS

Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai penutup muka, bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan susulan keadaan cuaca berjerebu, yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata selain itu mereka juga dinasihatkan minum banyak air, dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh ini.

"Keadaan berjerebu berlaku berikutan peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia dan kemungkinan hujan lebat di wilayah tersebut dan negara ini adalah rendah dalam tempoh seminggu akan datang.

"Sehubungan itu, potensi negara mengalami cuaca berjerebu rentas sempadan masih tinggi, terutama di barat dan selatan Semenanjung serta barat Sarawak," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata risiko cuaca berjerebu dalam negara masih berpotensi berlaku sehingga berakhir tempoh Monsun Barat Daya dan dijangka bertambah buruk, sekiranya aktiviti kebakaran di negara jiran tidak terkawal.

Maklumat mengenai ramalan cuaca terkini boleh diperoleh di laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca.

- Bernama

Lihat Komen