malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendakwaan mahu buktikan CEO Cradle Fund mati dibunuh
ADS

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu pihak pendakwaan akan membuktikan, bahawa kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, adalah dibunuh dan bukan disebabkan kejadian kebakaran di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, 14 Jun tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata demikian ketika membacakan kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes itu, di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman, hari ini.

Beliau berkata pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Nazrin, 47, dibunuh antara 11.30 malam pada 13 Jun (2018) hingga 4 pagi 14 Jun 2018 di dalam bilik tidur utama kediaman itu.

Katanya, ia berdasarkan laporan bedah siasat kedua yang dijalankan kira-kira tiga bulan selepas kematian Nazrin, yang menunjukkan mangsa mati akibat hentakan objek tumpul di kepalanya.

"Bedah siasat kedua dijalankan pada 8 Okt 2018 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan hasil bedah siasat kedua ini menunjukkan bahawa kematian si mati adalah akibat impak pukulan objek tumpul ke kepala.

"Keterangan akan menunjukkan bahawa si mati tidak mati dalam kebakaran tersebut. Si mati telah mati sebelum kebakaran berlaku dan kebakaran itu telah sengaja dibuat, bagi menyembunyikan punca sebenar kematian si mati," katanya.

Raja Rozela berkata, sebelum kematian Nazrin, mangsa dilaporkan tinggal di kediaman tersebut bersama-sama tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44, dan dua tertuduh remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, selain dua anak serta seorang wanita warga Indonesia bernama Eka Wahyu Lestari.

Samirah, isteri kepada Nazrin, dan dua remaja lelaki terbabit yang juga merupakan anak tiri mangsa, didakwa bersama Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Raja Rozela berkata, pada 12.30 tengah hari pada 14 Jun tahun lepas, bomba dimaklumkan mengenai satu kebakaran di rumah berkenaan dan apabila tiba di tempat kejadian, didapati bilik tidur utama di tingkat dua rumah itu terbakar.

Beliau berkata, selepas kebakaran dipadamkan, pasukan bomba menemui mayat Nazrin dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik berkenaan.

Susulan kejadian itu, mayat Nazrin kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bedah siasat menunjukkan kematian mangsa akibat komplikasi dari letupan dan kecederaan tusukan objek tumpul.

Terdahulu, Samirah dan dua remaja berkenaan sekali lagi mengakui tidak bersalah, ketika pertuduhan dibacakan semula di hadapan mereka sebelum prosiding perbicaraan tersebut bermula.

Samirah yang berbaju kurung dan berselendang sebelum itu tiba bersama dua remaja lelaki berkenaan, di mahkamah kira-kira 8.40 pagi tadi.

Prosiding perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula pada Selasa lepas, ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan, kerana mereka terlibat dalam perbicaraan kes 1MDB, membabitkan bekas perdana menteri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

- Bernama

Lihat Komen