malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib jadi responden dalam saman lucut hak terhadap Umno Pekan
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak turut dinamakan di kalangan 41 responden dalam saman lucut hak berkaitan 1MDB terhadap Umno Pekan.

Anggota parlimen dan ketua Umno Pekan itu disenaraikan sebagai responden keempat dalam notis usul.

Umno Pekan menjadi responden pertama diikuti dengan 39 nama individu antaranya Sy Abdullah Sy Mohamad dan Saodi Mahussin.

Notis usul yang telah dipinda difailkan pada 4 September lalu, susulan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali agar pendakwaan memfailkan notis tersebut bagi saman pelucuthakan berkaitan 1MDB berjumlah RM700,000 terhadap Umno bahagian tersebut.

Ini kerana notis sebelumnya hanya menyenaraikan Umno Pekan sebagai responden tunggal, dan tidak menyenaraikan pemegang jawatannya, termasuk Najib.

Ketika prosiding di depan Nazlan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Allan Suman Pillai memaklumkan senarai 41 responden itu selaras dengan keputusan Nazlan yang dibuat seminggu sebelumnya.

"Kami telah mematuhi arahan mahkamah pada 30 Ogos lalu, iaitu untuk menamakan pemegang jawatan dalam permohonan," katanya.

Hanya sepuluh responden - termasuk Najib - yang hadir ke mahkamah hari ini.

Nazlan menetapkan 15 November ini bagi mana-mana pihak ketiga yang mahu membuat tuntutan terhadap RM700,000 itu. Ia selepas beliau membenarkan permohonan pendakwaan mewartakan notis pihak ketiga bawah Seksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Umno Pekan antara 41 entiti yang berdepan saman tersebut yang difailkan SPRM bagi mendapatkan semula wang RM270 juta berkaitan 1MDB.

Pada 30 Ogos lalu, Nazlan menolak permohonan Umno Pekan untuk membatalkan saman lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 yang kini dibekukan berhubung penyiasatan 1MDB.

Sebelum itu, peguam Umno Pekan M Reza Hassan meminta mahkamah terlebih dahulu mendengar permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding, sebelum mendengar atau membenarkan permohonan notis pihak ketiga oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata, permohonan mereka berkaitan dengan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan mereka agar saman itu digugurkan, atas dasar pemegang jawatan Umno Pekan bukan pihak yang dinamakan di peringkat awal saman itu.

Permohonan itu dibantah Pillai yang berkata mana-mana pewartaan notis pihak ketiga hanya akan dibuat dua bulan daripada sekarang, justeru tidak mengganggu rayuan Umno Pekan di Mahkamah Rayuan.

"Berkenaan (permohonan) penangguhan, kami membantahnya kerana kes boleh diteruskan sementara menunggu rayuan itu.

"Notis pihak ketiga dua bulan dari sekarang, kami tidak melihat sebarang masalah," katanya, sambil menambah tarikh baru bagi sebutan boleh ditetapkan selepas mana-mana pihak ketiga hadir ke mahkamah pada 15 November ini.

"Jika kita tunggu (rayuan di Mahkamah Rayuan), kita tidak tahu berapa lama masa diambil kerana ia mungkin diteruskan di Mahkamah Persekutuan," katanya lagi.

Reza kemudian berkata tiada sebab untuk membuat pewartaan notis pihak ketiga secara tergesa-gesa kerana sudah hampir setahun dana Umno Pekan dibekukan pihak berkuasa.

Nazlan kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk mendengar permohonan penangguhan oleh Umno Pekan.

Lihat Komen