Pengiklanan

    SKMM: Tidak bijak dakwa Mukhriz pengasas bersama firma monopoli NFCP

    (Dikemaskini )

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata tidak bijak bagi sesetengah pihak untuk mendakwa bahawa Opcom Holdings Berhad (Opcom) sedang memonopoli projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

    "Kebetulan Opcom adalah pengeluar gentian optik. Terdapat banyak pengeluar gentian optik lain.

    "Kita (SKMM) tidak membeli gentian optik. Syarikat telekom yang membelinya, mereka melalui pelbagai sumber pembelian, pengambilalihan dan sebagainya.

    “Jadi ini hanya tuduhan dan tidak bijak," kata Pengerusi SKMM Al-Ishal Ishak kepada wartawan di Cyberjaya petang ini .

    NFCP berhasrat untuk menyediakan ketersambungan digital di seluruh negara pada kelajuan lebih baik dan mampu pada kos yang dijangka sebanyak RM21.6 bilion dalam tempoh lima tahun.

    Pada Selasa lalu, akhbar The Edge melaporkan bahawa harga saham Opcom naik secara mendadak. Menurut laporan itu, ini boleh dikaitkan dengan spekulasi bahawa firma itu akan menjadi benefisiari projek NFCP.

    Menurut pemfailan Opcom di Bursa Malaysia pada 13 Ogos tahun ini, timbalan CEO syarikat itu, Chhoa Kwang Hua, mengasaskan firma itu bersama dengan Mukhriz Mahathir pada tahun 1994.

    Pada Julai tahun ini, adalah dilaporkan bahawa Mukhriz, yang adalah Menteri Besar Kedah dan merupakan anak kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melupuskan 72,600 saham di Opcom. Pegangannya kini adalah 34.89 juta saham atau 21.64 peratus kepentingan.

    Sebulan sebelum itu, abangnya, Mokhzani meletak jawatan sebagai pengerusi eksekutif Opcom dan kedudukan lain atas alasan peribadi.

    Mokhzani menggantikan Mukhriz selepas beliau mengundurkan diri sebagai pengerusi dan pengarah urusan Opcom berikutan pelantikannya sebagai timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa pada tahun 2009.

    [Baca berita penuh]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih