Pengiklanan

    Projek empangan di Sabah: Orang Asal hantar memo ke Putrajaya

    (Dikemaskini )

    Sekumpulan Orang Asal Sabah hari ini hadir ke Putrajaya bagi menghantar memorandum bantahan pembinaan Empangan Papar kepada Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian yang lain.

    Mereka mendakwa kerajaan negeri Sabah telah melanggar janji PRU14 apabila mengembalikan semula projek mega empangan di Sabah selepas pilihan raya.

    Menurut Pengerusi Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan/ Papar (TAKaD), Diana Sipail, projek empangan ini sebenarnya sama dengan projek Empangan Kaiduan terdahulu diumumkan oleh kerajaan negeri lama sejak tahun 2008.

    “Ini adalah kali pertama kami berjuang sampai ke Putrajaya sepanjang 10 tahun ini,” katanya.

    Diana berkata, lokasi dan saiz kedua-dua projek empangan tersebut adalah lebih kurang sama dan hanya nama tempat ditukar.

    Jelasnya, ketika pilihan raya umum lalu gerakan membantah pembinaan empangan Kaiduan yang diusahakan sejak 10 tahun lalu itu turut terlibat berkempen menyokong Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah.

    Ini kerana janji mereka adalah untuk membatalkan Empangan Kaiduan, kata Diana.

    “Jadi selepas mereka menang, baru saja memegang jawatan pada bulan Mei tahun lalu, Ogos pula Kementerian Pembangunan Infrastuktur Sabah mengumumkan bahawa empangan itu diteruskan dengan nama Empangan Papar.

    “(Empangan) masih di lokasi yang sama, tenggelamkan orang yang sama, memindahkan orang yang sama, (terletak di) sungai yang sama dan tidak ada apa-apa perubahan,” keluhnya kepada Malaysiakini di Putrajaya pada petang ini.

    Selain Orang Asal Dusun dari Sabah, rakan mereka Orang Asli Semenanjung dan aktivis alam sekitar turut ikut serta bantahan di Putrajaya ini.

    Menurut Diana lagi, lebih 3000 Orang Asal di daerah Penampang dan Papar di Sabah terpaksa berhijrah ke kawasan baru yang tidak dikenali dan hal ini akan mengubah cara hidup mereka.

    Katanya, gerakan tersebut pernah menghantar memorandum bantahan kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman pada April 2010 dan sembilan tahun kemudian mereka terpaksa menghantar memorandum sekali lagi kepada Ketua Menteri Sabah sekarang, Shafie Apdal.

    Jelasnya, bantahan Orang Asal hari ini telah menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, serta Pejabat Menteri Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

    Timbalan Menteri MESTECC, Isnaraissah Munirah Majilis menerima memoramdum, manakala kementerian lain menghantar wakil pegawai kanan masing-masing.

    Gerakan tersebut, kata Diana turut bercadang menghantar memorandum kepada Program Pembangunan PBB (UNDP) bagi mendapatkan perhatian antarabangsa.

    Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Terian, Nelson Raymond berkata, seandainya projek empangan dibina, sebanyak empat kampung Orang Asal akan terjejas dan lima kampung akan ditenggelamkan.

    Antara kampung yang terjejas adalah terletak di hulu Sungai Papar, iaitu Longkogungan, Kalanggaan, Pongobonon dan Kionop, manakala kampung yang bakal ditenggelamkan ialah Buayan, Tiku, Timpayasa, Babagon dan Terian di mana semuanya terletak di hilir sungai.

    Menurut Nelson, Shafie pernah berjanji menghentikan projek Empangan Kaiduan namun beberapa bulan kemudian mengumumkan projek Empangan Papar pula.

    “Ini amat mengecewakan,” katanya.

    Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony pada 3 Ogos lalu dilaporkan mengumumkan Empangan Papar akan dibina berdekatan dengan Kampung Bisuang, Papar dengan kos RM2 billion, berketinggian 150 ke 200 meter dan akan menenggelamkan kawasan seluas 522 hektar.

    Kemudian, Shafie Apdal pada 31 Oktober 2018 memaklumkan Sabah akan tetap meneruskan projek ini walaupun mendapat bantahan daripada komuniti dan NGO lain.

    Beliau mengesahkan keputusan tersebut diluluskan mesyuarat kabinet negeri atas sebab keperluan pertambahan penduduk Sabah dan keperluan industri pelancong.

    Pada 28 Jun 2019, Shafie Apdal dipetik berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk membatalkan projek pembinaan empangan Papar.

    Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya membatalkan pembinaan empangan Kaiduan yang diluluskan semasa kerajaan Barisan Nasional kerana mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat di kawasan berkenaan.

    Menurut Shafie, empangan Papar tidak sama dengan empangan Kaiduan kerana projek pembinaan empangan Kaiduan mahu dibina di kawasan daerah Penampang, sementara empangan Papar pula akan dibina keseluruhannya di daerah Papar.

     

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih