malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Jho Low beri saya pinjaman AS$200,000 tanpa sebarang perjanjian’
ADS

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho memberikan pinjaman sebanyak AS$200,000 kepada pegawai khas perdana menteri Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin pada 2010.

Memberi keteragan sebagai saksi kelapan pihak pendakwaan dalam kes rasuah 1MDB membabitkan Najib, Amhari berkata beliau gagal memperoleh pinjaman daripada pelbagai institusi kewangan untuk membeli sebuah rumah di Kota Damansara.

Bagaimanapun Low kemudian tampil membantunya.

"Saya minta daripada ramai orang, dia (Low) menawarkan bantuan," katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

Amhari berkata wang itu adalah untuknya membeli rumah "nombor 29" yang bernilai RM1.85 juta dan beliau berhasrat untuk menyelesaikan pinjaman itu selepas rumah lainnya "nombor 11" juga di Kota Damansara, dijual.

Walau bagaimanapun, Amhari berkata beliau tidak dapat menjual rumah "nombor 11" dan kemudiannya menawarkan untuk memindahkan geran harta itu kepada Low (foto, bawah) sebagai pembayaran balik tetapi ahli perniagaan itu tidak tergesa-gesa mahu mendapatkan wangnya semula.

"Saya beritahu dia, kita boleh pindah hak milik rumah itu. Dia kata ambil masa kamu lah," katanya, sambil bersetuju dengan Shafee bahawa Low adalah "pemberi pinjaman yang baik".

Amhari, yang masih memiliki kedua-dua hartanah itu, berkata Low memberitahunya tidak ada keperluan untuk sebarang perjanjian pinjaman.

Namun baru-baru ini, Amhari mendapat tahu bahawa wang yang diterima dari Low adalah berasal dari syarikat yang sedang disiasat oleh SPRM.

Amhari berkata beliau menerima wang itu menerusi akaun Maybank miliknya daripada syarikat bernama Alsen Chance Ltd, yang dipercayainya dikawal oleh Low.

Nama Alsen Chance juga muncul dalam saman pelucutan sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung kes 1MDB.

Menurut DOJ, dana dari Alsen Chance Ltd berasal dari Good Star Ltd, syarikat yang menerima dana yang diselewengkan hasil usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International LTD, serta dua bon 1MDB pada tahun 2012.

DOJ berkata dana dari akaun Standard Chartered Bank milik Alsen Chance di Singapura, digunakan untuk membiayai antara lain, hutang judi Low dan syarikat penerbitan filem anak tiri Najib, Riza Aziz (foto, bawah) iaitu Red Granite Pictures.

DOJ juga membuat kesimpulan bahawa sekutu Low, Eric Tan Kim Loong adalah pemilik benefisial Alsen Chance.

Dalam keterangannya, Amhari berkata beliau juga memiliki dua pangsapuri studio di Puteri Harbour, Johor.

Saksi itu juga berkata beliau mahu membeli hartanah sebanyak RM3.8 juta di Pavillion Damansara Heights tetapi membatalkanniat itu selepas diberitahu untuk meninggalkan Khazanah Nasional Berhad di mana beliau memperoleh gaji bulanan sebanyak RM55,000.

Terdahulu, Amhari memberi keterangan bahawa beliau percaya Low bertindak dengan restu daripada Najib (foto, bawah).

Amhari juga mendakwa bahawa dia telah membuka akaun bank dengan menggunakan nama syarikat cengkerang Aerosphere Ltd di bawah namanya atas arahan Low.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen