Pengiklanan

    Peniaga minta DBKL urus bazar Deepavali

    (Dikemaskini )

    Menjelang Perayaan Deepavali pada 27 Oktober ini, sekumpulan peniaga dan wakil parti politik menggesa Menteri Wilayah Khalid Samad campur tangan dalam isu pengurusan bazar Deepavali.

    Mereka mendesak supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi pihak yang menguruskan Bazar Deepavali yang diadakan di Kuala Lumpur pada setiap tahun itu.

    Mereka juga mendakwa para peniaga kecil ditipu serta dipaksa membayar harga tapak yang sangat tinggi oleh beberapa persatuan yang menguruskan Bazar Deepavali sebelum ini.

    "Kami minta Menteri Wilayah (Khalid Samad) campur tangan dalam isu pengurusan bazar Deepavali tahun ini. Buat seperti yang dilakukan semasa bazar Ramadan pada bulan Mei yang lalu," kata Setiausaha Agung Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira).

    Untuk rekod, ketika Bazar Ramadan yang lalu, DBKL menukar lokasi bazar ke tapak baru (Jalan Raja).

    Sudah tulis surat

    DBKL turut mengendalikan pengurusan bazar termasuk peniaga boleh menyewa tapak perniagaan daripada DBKL sebaliknya bukan daripada pihak ketiga.

    "Kami nak DBKL membuat yang sama. Sewa terus kepada peniaga. Bukan menerusi persatuan yang cuba meraih keuntungan atas angin.

    Menurutnya, harga sebuah tapak disewa oleh DBKL adalah dalam RM500 termasuk yuran sampah, elektrik dan air tetapi disewakan semula kepada peniaga dengan harga berkali ganda tinggi.

    "Namun, pihak ketiga mengambil tapak-tapak ini dan sewa kepada peniaga kecil sehingga RM5,000.

    "Kami sudah pun menulis surat kepada menteri dan DBKL. Harap mereka jumpa kami dalam masa terdekat," katanya.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Kecil India Bersatu Selangor dan Kuala Lumpur, R Arasu berkata lokasi asal bazar Deepavali Jalan TAR dan Brickfields tidak lagi sesuai untuk perniagaan perayaan.

    "Jalan TAR sedang dinaik taraf manakala Brickefields tidak sesuai kerana isu trafik dan tiada tempat.

    "Jadi, kami nak DBKL mengadakan bazar Deepavali di Jalan Raja," katanya.

    Arasu turut mencadangkan pemberian tapak perniagaan menerusi cabutan undi.

    "Tapak perniagaan perlu diundi didepan peniaga yang sewa tapak. Tapi, peniaga-peniaga yang kurang upaya perlu diberi keutamaan," katanya lagi.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih