malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam: Bekas isteri tak pernah benarkan SM Faisal bermalam dengan anak
ADS

Emilia Hanafi didakwa tidak pernah membenarkan bekas suaminya, Pengerusi Eksekutif Naza World SM Faisal SM Nasimuddin untuk bermalam dengan anak-anak mereka sejak Julai tahun lalu.

Peguam yang mewakil Faisal, Akberdin Abdul Kader berkata Emilia turut melanggar perintah mahkamah berkaitan hak lawatan anak-anak menyebabkan pihaknya terpaksa memfailkan permohonan menghina mahkamah.

“Dia (Emilia) melanggar perintah mahkamah berkaitan hak lawatan. Dia tak pernah, walaupun sekali, benarkan ayah (Faisal) bawa anak-anak keluar.

“Jadi kami tak ada pilihan untuk memfailkan permohonan menghina mahkamah. Dia tak mahu bagi (Faisal) jumpa anak, pada hal itu arahan mahkamah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman itu selapas wanita berkenaan memohon rayuan terhadap keputusan itu.

Hakim Arif Mohamed Fouzi membenarkan permohonan itu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Emilia melanggar perintah itu sebanyak dua kali pada tahun lalu - iaitu pada 6 dan 7 Oktober 2018 kerana menghadiri program keagamaan di Baling.

SM Faisal dan Emilia Hanafi

Selain itu dia juga melanggar perintah itu sekali lagi pada 10 Oktober iaitu pada hari lahir Faisal menyebabkan ahli perniagaan itu memfailkan permohonan komital.

Emilia melalui afidavit tunjuk sebabnya berkata pemohonan Faisal untuk membuat lawatan pada 10 Oktober tidak munasabah kerana ia hari Rabu dan anak-anaknya dalam proses pembelajaran.

Emilia turut berkata beliau tidak gagal dalam memberikan hak lawatan kepada pemohon dan tidak mengingkari Terma 2(a) dan 2(k) Perintah Persetujuan bertarikh 23 Julai 2018.

Menurutnya, dia telah memaklumkan terlebih dahulu mengenai program yang akan dihadirinya dan menawarkan hak lawatan gantian tarikh lain namun pemohon tidak membalas cadangan tersebut.

Bagaimanapun Akberdin menafikan perkara itu dan sebaliknya mendakwa jawapan balas telah dihantar melalui faks kepada peguam Emelia - untuk menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Kita balas kepada peguam dia, anak guam saya tak setuju cadangan pinda tarikh kecuali ada kecemasan. Dalam kes ni tak ada, alasannya bawa ke Baling, itu bukan mandatori.

“Hakim putuskan - apa yang wajib iaitu apa yang lagi mustahak ialah kena ikut (perintah mahkamah), maksudnya program di Baling tu bukan wajib jadi kena ikut perintah mahkamah,” katanya.

Faisal dan Emilia mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada Mac 2016.

Faisal merupakan anak sulung kepada pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham SM Nasimuddin SM Amin.

Lihat Komen