malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Azmin tak hadir bukan fokus utama mesyuarat Biro Politik PKR'
ADS

Biro Politik PKR malam ini turut membincangkan mengenai Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali yang sekali lagi tidak hadir mesyuarat parti.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memaklumkan hal itu “tidak menjadi fokus" utama perbincangan dalam mesyuarat biro politik.

“Setakat ini, peringatan (diberikan) kepada kepimpinan bahawa mesyuarat parti adalah ruang terbaik untuk hadir dan melakukan perbicangan dan ruang tersebut masih ada.

“Takwim atau jadual mesyuarat sudah diagih dan dihantar kepada semua pimpinan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas buat menteri hal ehwal ekonomi itu yang sudah lama tidak hadir mesyuarat parti.

Menurut Anwar, nasihat telah diberikan kepada timbalannya itu supaya menghadirkan diri: "Mesti datang!”

Selain Azmin, seorang lagi pemimpin PKR yang tidak memunculkan diri ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan pemimpin PKR untuk memaklumkan alasan sekiranya tidak dapat hadir mesyuarat parti.

Bagaimanapun, ketika disoal pemberita tentang sama ada Azmin atau Zuraida ada mengemukakan alasan ketidakhadiran mereka, Fahmi menjawab “saya tidak dimaklumkan” dan hal itu pun “tidak dibincangkan” dalam mesyuarat.

Menjawab soalan mengenai berapa lama lagi masa yang akan diberikan kepada pemimpin yang kerap ponteng mesyuarat sebelum tindakan akan diambil, Fahmi berkata hal itu juga "tidak dibincangkan" dalam mesyuarat biro politik.

Pada 25 Ogos, Anwar mengatakan Azmin tidak kebal daripada tindakan disiplin selepas sering gagal menghadirkan diri pada mesyuarat parti seperti mesyuarat biro politik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Terdahulu, Lembaga Disiplin PKR pada 21 Ogos lalu menjelaskan tiada surat peringatan dikeluarkan kepada Azmin kerana tidak hadir mesyuarat biro politik, berkata hal ini di bawah bidang kuasa Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin ketika didekati pemberita selepas mesyuarat biro politik enggan memberikan sebarang komen berhubung isu itu dan terus meluru masuk ke dalam keretanya sebelum berlalu pergi.

Sebelum ini, Zuraida memberikan alasan tidak hadir ke mesyuarat parti kerana surat yang diutuskan kepada Anwar supaya diadakan pertemuan perdamaian belum mendapat balasan.

Untuk rekod, Azmin kini dilaporkan sedang berada di Vladivostok, Rusia bagi mengiringi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hadir Forum Ekonomi Timur (EEF) yang ke-5.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan PKR akan melaksanakan program konvensyen parti di setiap negeri bermula Oktober nanti.

Katanya, Anwar sendiri akan hadir menyampaikan amanat di setiap negeri dan program jelajah presiden PKR ini akan selesai pada awal atau pertengahan November.

"Jadualnya akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Selain itu, Fahmi juga mengumumkan PKR akan mengadakan Kongres Kebangsaan Keadilan pada 6 ke 8 Disember depan. 

Lihat Komen