malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan gagal kecuali diri dari saman keluarga Altantuya
ADS

Kerajaan Malaysia gagal dalam cubaan untuk mengecualikan diri daripada tuntutan saman keluarga mendiang warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya memutuskan kerajaan Malaysia tidak memenuhi keperluan untuk pengecualian itu memandangkan kegagalannya membangkitkan persoalan undang-undang baru bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, bagi membolehkan diberi kebenaran untuk membuat rayuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah mempengerusikan panel tiga hakim yang terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan, Alizatul Khair Osman dan P Nallini.

David mengarahkan kerajaan membuat bayaran kos RM5,000.

Keluarga Altantuya diwakili peguam Sangeet Kaur manakala peguam kanan persekutuan Nik Suhaimi Nik Sulaiman pula mewakili kerajaan.

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk meletakkan semula kerajaan sebagai defendan dalam tuntutan saman yang difailkan keluarga Altantuya.

Sebelum itu, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan di Jabatan Peguam Negara, Nik Suhaimi Nik Sulaiman, meminta Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Keluarga Altantuya memfailkan RM100 juta tuntutan saman sivil terhadap penganalisis politik Abdul Razak Baginda, dua anggota polis, dan kerajaan Malaysia pada 2007.

Anggota keluarga mendiang terdiri daripada ayah Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya, Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucunya, Mungunshagai Bayarjargal.

Bagaimanapun, ekoran kematiannya dua tahun lepas, nama Altanshagai dikeluarkan daripada nama plaintif.

Perbicaraan itu bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan akan bersambung pada satu tarikh yang belum ditetapkan.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas sebutan kes, Sangeet memaklumkan pengurusan kes dijadualkan pada 30 September.

Altantuya dipercayai dibunuh di pinggir kawasan Shah Alam pada 19 Oktober 2006, dengan mayatnya yang diledakkan oleh bahan letupan tentera.

Sirul dan Azilah, kedua-duanya pengawal peribadi kepada timbalan perdana menteri ketika itu disabitkan dengan pembunuhan itu, sementara Razak dibebaskan dari tuduhan.

Sabitan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013, dan Sirul meninggalkan Malaysia dan pergi ke Australia, sebelum Mahkamah Persekutuan kembali menegakkan sabitan itu pada 2015.

Australia dilaporkan enggan mengusir Sirul sehinggalah Malaysia memansuhkan hukuman mati.

[Baca berita asal]

Lihat Komen