malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim izin tangguh hukuman penjara bekas isteri bos Naza World
ADS

Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini menangguhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isteri Pengerusi Eksekutif Naza World, Emilia Hanafi, kerana melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan ketiga-tiga anaknya.

Peguam Emilia, Farhan Haziq Mohamed, memaklumkan permohonan penggantungan hukuman dibuat bagi membolehkan anak guamnya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Farhan Haziq Mohamed

“Emilia dijatuhkan hukuman kerana menghina mahkamah, jadi kami akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu untuk membawanya ke mahkamah rayuan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Hakim Arif Mohamed Fouzi membenarkan permohonan itu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Julai tahun lalu, Mahkamah Syariah membenarkan bekas suami Emilia, SM Faisal SM Nasimuddin, mendapat hak lawatan ketiga-tiga anaknya, Fawwaz, Faiz dan Farhan.

Hak jagaan penuh diberikan kepada Emilia selepas tiga tahun proses turun naik mahkamah.

Bagaimanapun, Emilia melanggar perintah itu sebanyak dua kali pada tahun lalu - iaitu pada 6 dan 7 Okt 2018 kerana menghadiri program keagamaan di Baling dan pada hari lahir pemohon menyebabkan ahli perniagaan itu memfailkan permohonan komital.

Sementara itu Emilia melalui afidavit tunjuk sebabnya berkata pemohonan Faisal untuk membuat lawatan pada 10 Okt tidak munasabah kerana ia hari Rabu dan anak-anaknya dalam proses pembelajaran.

Emilia turut berkata beliau tidak gagal dalam memberikan hak lawatan kepada pemohon dan tidak mengingkari Terma 2(a) Perintah Persetujuan bertarikh 23 Julai 2018.

Jelasnya, beliau telah memaklumkan terlebih dahulu mengenai program yang akan dihadirinya dan menawarkan hak lawatan gantian tarikh lain namun pemohon tidak membalas cadangan tersebut.

Faisal juga tidak hadir pada tarikh lawatan gantian iaitu pada 13 dan 14 Okt tanpa memaklumkan kepada beliau dan peguam.

"Saya juga menyatakan bahawa pemohon juga seringkali tidak hadir semasa lawatan walaupun minggu tersebut adalah minggu yang sepatutnya beliau hadir dan meluangkan masa bersama anak-anak. 

"Masa anak-anak telah terbuang akibat sikap pemohon yang seringkali tidak hadir dan tidak memaklumkan kehadiran beliau kepada peguam syarie saya," kata Emilia melalui melalui afidavit tunjuk sebab.

Faisal dan Emilia mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada Mac 2016.

Faisal merupakan anak sulung kepada pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham SM Nasimuddin SM Amin.

Lihat Komen