malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Terengganu ada TPM meskipun tanah rizab Melayu berkurang'
ADS

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat tidak melihat isu pemilikan tanah rizab Melayu di Terengganu yang semakin kurang sebagai isu yang wajar diperbesarkan.

Katanya, selain tanah rizab Melayu, Terengganu turut mempunyai satu lagi jenis milikan tanah orang Melayu yang tidak terdapat di negeri lain, iaitu ‘tanah pegangan Melayu’, merangkumi 62 peratus tanah orang Melayu di Terengganu.

“Tak berbangkit isu tanah negeri Terengganu tak ada pegangan Melayu. Maklumat itu tak betul.

“TPM tak boleh ditukar milik kepada orang selain daripada Melayu. Jadi ada tanah rizab Melayu, dan ada tanah pegangan Melayu, yang meliputi 62 peratus daripada tanah negeri Terengganu ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Tahun lepas, Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar di Perak, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak, berkata tanah rizab Melayu di Terengganu berjumlah kurang 1 peratus (118 hektar) sedangkan tanah pegangan Melayu berjumlah 60 peratus daripada keluasan 1.295 juta hektar negeri itu.

Menurutnya, takrifan tanah pegangan Melayu di Terengganu ialah tanah mana-mana milik orang Melayu yang berkeluasan kurang daripada 4 hektar (10 ekar) dan dijamin di bawah Artikel 90 Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berkata tanah rizab Melayu di negeri itu hanya tinggal 0.003 peratus daripada jumlah sepatutnya sekitar 12 hingga 15 peratus, seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Azan menyalahkan pindaan Enakmen Tanah Rizab Melayu (ERM) Terengganu yang diluluskan pada tahun 2015 dan 2016, yang membolehkan Badan Perhubungan Umno Terengganu menjadi badan yang boleh dipindahkan tanah rizab Melayu kepadanya.

'Tak timbul isu batalkan pindaan ERM'

Disoal sama ada PAS ada mengadakan perbicangan untuk membawa usul membatalkan pindaan berkenaan, Satiful berkata hal itu juga tidak sepatutnya menjadi isu kerana permohonan tanah merupakan prosedur biasa.

“Semua (pihak), bank ke, apa ke, boleh mohon untuk mendapatkan pegangan (tanah) Melayu itu. Itu prosedur biasa saja. “Tak ada (isu). Tak berbangkit,” katanya lagi.

Kenyataan Satiful itu berbeza dengan kenyataan yang pernah dibuatnya pada tahun lepas sebelum pilihan raya.

Dalam satu rakaman video di rangkaian Youtube PAS DUN Paka N28, Satiful memberi jaminan isu tanah rizab dan pindaan enakmen itu akan dijadikan keutamaan sekiranya PAS berjaya mentadbir Terengganu.

Pada 2017, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu Mohd Harun Esa juga mendakwa berlakunya penukaran status sebahagian tanah di kawasan itu daripada tanah rizab Melayu kepada tanah pegangan bebas, yang membolehkannya dijual pada harga lebih tinggi tanpa mengira bangsa.

Perkara itu dakwanya berlaku sejak 2004 di bawah pentadbiran BN dan turut diulas oleh Yang Di-pertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dalam ceramahnya sebelum itu.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bulan lalu berkata kerajaan akan mengumumkan kaedah mempertahankan tanah rizab Melayu, walaupun belum dapat meminda ERM.

Katanya seperti dilaporkan Berita Harian, isu tentang pindaan ERM belum dibincangkan dan jika mahu dilakukan, ia perlu mendapat kelulusan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sidang DUN.

'Selagi pindaan ERM tak dibatalkan, Umno boleh ambil'

Azan ketika dihubungi pula, berpendapat sekiranya PAS serius mahu menyelamatkan tanah rizab Melayu, perkara pertama perlu dilakukan adalah membatalkan semula pindaan enakmen tersebut.

“Selagi enakmen itu tak dipinda (semula) atau dibatalkan, dimansuhkan dalam dewan (DUN) juga, selagi itulah Umno boleh ambil. Tak menjadi kesalahan,” katanya kepada Malaysiakini.

Azan turut mempersoalkan sikap PAS yang sebelum pilihan raya lalu berkempen menggunakan isu tanah rizab Melayu dan berjanji membawa isu itu ke dalam DUN.

“Kerajaan PAS dulu berjanji dalam manifesto dan ceramah-ceramah kempen PRU lalu, kata akan segera ambil langkah menambah (tanah rizab). Apa pun tak buat sehingga tanah tu makin kecil dan makin kecil,” katanya lagi.

Azan turut menyatakan kebimbangan tanah rizab Melayu yang murah harganya mungkin ditukar statusnya oleh Umno untuk menjadi tanah komersil bernilai tinggi, yang membolehkannya dijual kepada kaum selain daripada Melayu.

Katanya lagi, beliau pernah cuba membuat semakan kehakiman terhadap pindaan tersebut, namun tidak berjaya kerana berada bawah bidang kuasa DUN. 

Lihat Komen