malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-4: Peguam mahu berunding dengan Najib sebelum soal balas saksi
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB masuk hari keempat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

4 petang: Terima kasih kerana mengikuti liputan kami hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd and Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika pembaca suka laporan kami, sokonglah media bebas dengan menyertai program langganan Malaysiakini pada harga serendah RM0.55 sehari. 

Maklumat lanjut di sini.


Peguam mahu berunding dengan Najib sebelum pemeriksaan balas

3.10 petang: Pihak pendakwaan menyelesaikan pemeriksaan utama terhadap bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin.

Berikutan itu, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada mahkamah agar perbicaraan hari ini ditangguhkan ke pagi esok.

Beliau berkata  pasukan pembelaan perlu berunding dengan tertuduh terlebih dahulu sebelum beralih ke pemeriksaan balas terhadap saksi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan permintaan itu dan menangguhkan perbicaraan ke hari esok jam 9.30 pagi.


Jho Low akan buat susulan selepas diberi arahan oleh Najib - Amhari

3.06 petang: Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Effendi Nazaruddin, memberitahu mahkamah bahawa beliau percaya Jho Low telah menerima mandat daripada Najib kerana setiap kali beliau menerima arahan daripada perdana menteri itu, Jho Low akan segera membuat susulan dengan beliau mengenai perkara tersebut selepas itu.

Amhari berkata demikian apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram mengapa beliau membuat kesimpulan itu dalam kenyataan saksi yang dibacakan di mahkamah awal hari ini.

"Ini kerana apabila menerima arahan terus dari Datuk Seri Najib, akan segera terdapat susulan (up follow) dari Jho Low," katanya kepada mahkamah.

Terdahulu, Amhari memberi keterangan bahawa beliau percaya Najib tahu mengenai rancangan Jho Low untuk melakukan proses penyelamatan (bailout) hutang 1MDB.

"Secara umumnya, saya boleh membuat kesimpulan berdasarkan keadaan dan dokumen yang disediakan oleh Jho Low, saya percaya bahawa Datuk Seri Najib tahu dan telah memberi mandat kepada Jho Low untuk merancang dan menguruskan usaha bailout atas hutang dan kerugian yang ditanggung oleh 1MDB dan MPP," kata saksi pendakwaan itu. 


Najib beri mandat kepada Jho Low untuk bailout 1MDB

2.50 petang: Bekas pembantu kepada Najib Razak, Amhari Effende Nazaruddin ketika memberi keterangan berkata bekas perdana menteri itu tahu mengenai rancangan Jho Low untuk melakukan proses penyelamatan (bailout) 1MDB.

Amhari yang merupakan saksi pendakwaan, berkata beliau percaya Najib diberi mandat untuk melaksanakan pelan penyelamatan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Tambahnya ia adalah kesimpulan yang dibuat beliau sendiri berdasarkan keadaan dan dokumen yang telah disediakan oleh Jho Low mengenai perkara itu.

"Secara umumnya, saya boleh buat kesimpulan berdasarkan keadaan dan dokumen yang disediakan oleh Jho Low, saya percaya bahawa Datuk Seri Najib adalah tahu dan telah memberi mandat kepada Jho Low untuk merancang dan menguruskan usaha bailout atas hutang dan kerugian yang ditanggung oleh 1MDB dan MPP," katanya.


Najib lawat China pada November 2016 untuk dapatkan perjanjian bon dan perdagangan

2.45 petang - Mahkamah diberitahu oleh bekas pembantu kepada Najib Razak bahawa lawatan bekas perdana menteri itu ke China pada November 2016 adalah untuk mendapatkan beberapa perjanjian dengan negara itu dan syarikatnya.

Amhari Effendi Nazaruddin berkata terdapat tiga perjanjian yang disasarkan dalam lawatan tersebut, iaitu:

1. Perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan di antara China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd, dan CPP dengan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER)

2. Perjanjian pembiayaan penuh antara China Exim dan ECRL dan antara China Exim dan SSER.

3. Perjanjian penuh Bon Renminbi antara China dan ECRL, dan antara SSER dan pihak China.

Saksi itu berkata demikian ketika mengenal pasti dan mengesahkan butir-butir dokumen bertajuk 'Private and Highly Confidential (Not For Circulation) bertarikh 22 Sept 2016.

Amhari memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima dokumen itu daripada Terence Geh semasa mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.


Terence Geh dilantik sekretariat projek ECRL, MPP dan TSGP - Saksi

2.37 petang: Sekutu Jho Low, Terence Geh dilantik sebagai sekretariat bagi ketiga-tiga projek usahasama China-Malaysia iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Bentuk (MPP) dan Saluran Gas Paip Trans Sabah (TSGP), kata bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin.

Saksi kelapan itu dalam keterangannya berkata Najib pada mesyuarat 2017 bersetuju dengan nota maklumat dari Jho Low bahawa Geh dilantik sebagai sekretariat kepada tiga projek berkenaan.

"Ini bermakna dia (Geh) merupakan pemain utama dan penyokong (orang kuat Jho) di Malaysia untuk memastikan perjanjian projek ditandatangani," kata Amhari ketika pemeriksaan utama dilakukan oleh DPP Ahmad Akram Gharib.


2.32 petang: Perbicaraan disambung semula selepas berhenti rehat untuk makan tengah hari.


12.50 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari dan dijangka disambung semula pada jam 2.30 petang.

Bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Amhari Effendi Nazaruddin akan menyambung keterangannya pada pemeriksaan utama yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P Kunyalam.


Sokongan pada Najib antara dibincang dalam pertemuan dengan China

12.45 tengah hari: Mahkamah hari ini diberitahu bahawa mesyuarat yang diadakan dengan SASAC (Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentabiran Aset milik China) antara lain, membincangkan kerjasama perdagangan antara Malaysia dan China.

Bekas pegawai khas Najib, Amhari Effende Nazaruddin berkata antara isu utama lain yang dibincangkan semasa mesyuarat pada 28 Jun 2016 di China itu adalah keperluan memberikan sokongan padu kepada Najib bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Beliau memberi keterangan ini ketika mengenal pasti dan mengesahkan butiran dalam laporan ringkas mengenai mesyuarat itu, yang diterima daripada Jho Low sejurus selepas beliau kembali ke Malaysia selepas mesyuarat yang dihadiri dengan SASAC pada 28 Jun dan wakil kerajaan Abu Dhabi pada 30 Jun 2016.


Projek ECRL, MPP, TSGP sebahagian usaha selamatkan 1MDB - Saksi

12.40 tengah hari: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelamatkan 1MDB.

Bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Saksi kelapan itu merujuk kepada dokumen bertajuk "Action Point: China-Malaysia Economic Program" yang dihantar melalui e-mel kepada Amhari oleh ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low.

Amhari berkata e-mel itu dihantar Jho Low untuk memastikan Najib memberikan peranan kepada Terence Geh yang merupakan sekutunya, untuk bertindak sebagai penyelaras bagi keseluruhan program penyelesaian hutang 1MDB / SRC melalui rundingan pelaburan Malaysia dan China.

Amhari berkata dokumen itu mempunyai rujukan kepada projek-projek yang dicadangkan untuk menyelamatkan (bailout) 1MDB.

"Dokumen tersebut memiliki nota pada maklumat /talking points untuk mengemas kini status projek itu dan juga susulan kerja kepada tiga projek iaitu TSGP, MPP dan ECRL," kata Amhari.


Amhari sebak ketika bercakap tentang arwah Azlin

12.20 tengah hari: Bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Amhari Effendi Nazaruddin tidak dapat menahan air matanya ketika memberitahu mahkamah mengenai bagaimana beliau harus memikul tanggungjawab lebih besar di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berikutan kematian Allahyarham Azlin Alias.

Amhari berkata beliau menghadapi masa-masa sukar selepas kematian Azlin, yang merupakan ketua setiausaha sulit Najib pada tahun 2015 kerana beliau terpaksa mengambil alih tugas khas yang melibatkan rahsia besar.

Saksi itu dalam keterangannya berkata beliau juga memikirkan untuk meletakkan jawatan kerana tekanan kerja, dengan menyebut arahan Najib sebagai beban yang sangat berat.

Antara arahan yang diterima adalah untuk ke China bagi mengendalikan rundingan kerjasama dua hala.


Rundingan pelaburan China-Malaysia bertujuan selamatkan 1MDB - Saksi

12.25 tengah hari:  Bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkan pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin untuk terlibat dalam perbincangan pelaburan China-Malaysia bagi menyelamatkan 1MDB.

Saksi kelapan itu berkata demikian ketika memberi keterangan semasa pemeriksaan utama dijalankan oleh pihak pendakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

"Seperti ditunjukkan oleh Jho (Low) melalui set soal jawab dan pelan tindakan kepada saya, perjanjian dan usahasama (antara Malaysia dan China) adalah untuk tujuan pelaburan yang akan membantu membayar hutang (bailout) 1MDB seperti hutang kepada IPIC.

"Saya juga boleh mengesahkan bahawa lawatan saya ke China (pada 2016) hanya diketahui oleh Jho Low dan Najib," kata Amhari.


Najib arah pembantu runding dengan Abu Dhabi berhubung hutang 1MDB

12.15 tengah hari: Selepas berehat seketika, perbicaraan bersambung semula dengan saksi pendakwaan Amhari Effendi Nazaruddin menjelaskan peranannya dalam rundingan dengan Abu Dhabi pada 2016 untuk menghalang Malaysia diheret ke Mahkamah Timbangtara Antarabangsa mengenai isu-isu pembayaran hutang 1MDB kepada IPIC.

Amhari, yang merupakan pegawai khas kepada Najib Razak, berkata semasa pertemuan di kediaman Najib, bekas perdana menteri itu mengarahkan untuk bertemu dengan CEO Mubadala, Khaldoon Mubarak di Abu Dhabi untuk berunding.

"Najib menjelaskan jika Abu Dhabi mengheret Malaysia ke mahkamah antarabangsa kerana gagal membayar hutang bon yang dijamin oleh IPIC, ia akan menjejaskan hubungan dua hala antara negara dan juga menimbulkan risiko politik dalam pilihan raya umum akan datang. Pada masa itu, isu 1MDB itu masih menjadi topik hangat di seluruh dunia, "katanya.

Menurut saksi berkenaan, selepas beliau meninggalkan kediaman Najib, beliau menerima mesej dari Blackberry Messenger Jho Low, yang memberitahu bahawa Khaldoon mengharapkan seseorang dari Malaysia menghubunginya dan memberikannya alamat e-mel lelaki itu.

Amhari berkata Jho Low juga memberitahunya bahawa ahli perniagaan itu akan menghantar Amhari untuk bertemu Khaldoon.


Jho Low arah pembantu Najib bekerja rapat dengan penyiasat 1MDB

11.35 pagi: Mahkamah diberitahu oleh saksi pendakwaan, Amhari Effendi Nazaruddin bahawa Low Taek Jho pada tahun 2015 mengarahkannya dan Allahyarham Azlin Alias bekerja rapat dengan agensi penguatkuasa undang-undang yang menyiasat 1MDB.

Amhari, yang ketika itu merupakan pegawai khas kepada Najib Razak, berkata Jho Low mahu mereka rapat dengan pihak berkuasa untuk mengelakkan persepsi negatif terhadap pelan rasionalisasi 1MDB.

Allahyarham Azlin adalah ketua setiausaha sulit kepada Najib dan juga ketua kepada Amhari.


Arul Kanda dan Jho Low tak sebulu mengenai pelan rasionalisasi 1MDB

11.22 pagi: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy (gambar) dan ahli perniagaan yang dikehendaki Jho Low bercanggah pendapat mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan untuk 1MDB.

 

Bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Saksi kelapan itu berkata ini adalah sebab di sebalik email bertajuk “Urgent: Rationalisation Plan 1MDB" bertarikh 22 April 2015, yang Jho Low minta beliau panjangkan ke Najib.

"E-mel ini dihantar kerana Arul Kanda, yang merupakan CEO 1MDB pada masa itu, mempunyai pelan yang berbeza mengenai rasionalisasi 1MDB.

"Jho Low memerlukan Najib untuk beritahu Arul Kanda untuk mengikuti cadangannya (Jho Low) dan jika Arul Kanda masih tak setuju, Najib kemudian mesti beritahu CEO untuk menyelesaikan perbezaan pendapat dengan Jho Low dan saya sendiri," kata Amhari.


11.18 pagi: Mahkamah mendengar keterangan saksi bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, terlibat dalam percubaan 'damage control' dan menyediakan satu set petikan jawapan, termasuk penafian penglibatannya dengan dana pelaburan negara itu.

Bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Amhari Effendi Nazaruddin dalam keterangannya berkata Jho Low menyiapkan dokumen bertajuk 'Q & A: 1MDB / Yayasan' yang membincangkan isu-isu mengenai 1MDB pada akhir tahun 2014 atau awal tahun 2015.

"Dalam dokumen ini, ia juga menunjukkan bahawa Jho Low cuba memasukkan jawapan menerangkan peranannya dalam 1MDB.

"Pada perenggan ketujuh dokumen itu, ia menegaskan bahawa Jho Low tidak mempunyai peranan dalam 1MDB, walaupun pada hakikatnya, dia diam-diam menjadi dalang bagi 1MDB."

Amhari berkata perenggan lapan dokumen itu mengandungi contoh jawapan untuk menunjukkan bahawa 1MDB adalah projek yang berjaya.


Jho Low rancang jual semua aset 1MDB untuk tampung hutang - Saksi

11.13 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low telah merancang pelan rasionalisasi 1MDB pada akhir tahun 2014 atau 2015.

Amhari Efendi Nazaruddin (gambar), yang merupakan bekas pegawai khas kepada perdana menteri Najib Razak, berkata Jho Low telah membuat rancangan untuk menyelesaikan semua hutang 1MDB.

"Memandangkan keadaan tidak baik untuk 1MDB, rancangan itu untuk menjual semua aset dan liabiliti untuk menampung semua hutangnya.

"Contohnya adalah projek Bandar Malaysia, di mana rancangan itu memindahkan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah syarikat yang dipanggil Sg Besi Development Sdn Bhd, yang akan ditubuhkan untuk membeli Bandar Malaysia," kata saksi itu.

Amhari berkata dokumen yang memperincikan rancangan itu disediakan oleh Jho Low, dan beliau menerimanya sama ada melalui e-mel atau dari Allahyarham Azlin Alias (bekas ketua setiausaha sulit Najib), atau semasa pertemuan mereka dengan Jho Low di Prince Hotel.


Tiada pegawai PMO berani persoalkan Najib mengenai sumber dana

10.50 pagi: Mahkamah mendengar keternagan dari bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin bahawa tiada seorang pun di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berani bertanya kepada Najib mengenai sumber dana yang diterima.

Beliau berkata ini kerana tindakan sedemikian mungkin akan dianggap meragui kredibiliti Najib.

"Saya percaya terdapat dana yang diperoleh daripada Jho Low kerana sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, beliau beritahu saya dan Azlin Alias ​​(gambar) mengenai dana untuk tujuan memenangi pilihan raya di Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, Jho Low tidak pernah menjelaskan bagaimana dia mendapat dana itu.

"Sehingga hari ini, saya tidak tahu status wang dalam akaun itu kerana ia masih berada di bawah kawalan Jho Low," kata Amhari.

Beliau merujuk kepada akaun bank yang dibuka di Switzerland dan Bangkok. Akaun berkenaan dibuka atas nama Amhari tetapi didakwa dikendalikan oleh Jho Low.


Azlin nasihatkan saya supaya tak belanjakan wang guna akaun luar negara kami - Amhari

10.45 pagi: Bekas ketua setiausaha sulit kepada Najib Razak, Allahyarham Azlin Alias pernah menasihatkan pegawai bawahannya supaya tidak menggunakan wang yang dimasukkan ke akaun bank mereka di luar negara, yang dibuka di bawah arahan Jho Low.

Menurut Amhari Efendi Nazaruddin, bosnya itu memberi nasihat itu selepas pertemuan dengan Jho Low, yang mengatakan bahawa wang itu bukan untuk perbelanjaan mereka.

"Azlin juga menasihatkan saya untuk mengikut arahan dan just play along," kataya.

Amhari memberitahu mahkamah bahawa mereka hanya tahu tentang perkara berkaitan akaun itu apabila Jho Low bercakap kepadanya dan Azlin tanpa memberi mereka peluang untuk bertanya soalan lanjut.


Amhari: Kami kena ikut arahan Jho Low kerana bimbang keselamatan

10.40 pagi: Bekas pembantu kepada Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin berkata Jho Low memberi jaminan bahawa beliau (Amhari) dan Allahyarham Azlin Alias ​​akan dilindungi oleh Najib.

Menurut saksi berkenaan, Jho Low memberitahu mereka perkara itu apabila mereka bimbang untuk mengikuti arahan ahli perniagaan berkenaan untuk membuka akaun bank di luar negara.

Ini berlaku pada tahun 2012 apabila Amhari dan Azlin bekerja untuk Najib, masing-masing sebagai pegawai khas dan ketua setiausaha sulit.

Amhari dalam keterangannya berkata beliau dan Azlin bimbang kerana Jho Low memberitahu mereka akaun mereka mungkin digunakan untuk tujuan politik dan beliau akan mengendalikan akaun berkenaan.

"Tetapi Jho Low memberi jaminan bahawa kami tidak perlu bimbang, dan supaya percaya dia, dia juga beritahu kita bahawa 'bos akan menjaga'.

"Bos yang dirujuknya ialah Najib."

Amhari berkata mereka berdua tidak memberikan sebarang keputusan kepada Jho Low, tetapi beliau menjangka mereka akhirnya harus bersetuju atau berdepan risiko keselamatan membabitkan keluarga, kerjaya dan diri mereka sendiri.

Menurut Amhari, Azlin kemudian bersetuju membuka akaun di luar negara atas nama mereka selepas pertemuan rahsia dengan Jho Low, dan Amhari terpaksa mengikut keputusan Azlin.

"Selepas Jho Low pergi, Azlin kata kepada saya bahawa kami tidak mempunyai pilihan selain mengikuti perintah Jho Low kerana jika tidak, kami mungkin hilang pekerjaan kami.

"Dia kata ia juga berpotensi membahayakan keluarga dan diri kami kerana kami sudah tahu rancangan itu."

Amhari berkata Jho Low kemudian mengatur prosedur pembukaan akaun dan membawa mereka ke Singapura di mana mereka membuka akaun di bawah "manipulasi" Jho Low. 

Mereka dibantu oleh pegawai BSI yang dikenali sebagai Yvonne dan seorang lagi pegawai BSI yang namanya tidak dapat diingati Amhari.


Jho Low arah kami buka akaun bank di luar negara untuk 'standby' - saksi

10.34 pagi: Mahkamah mendengar keterangan Amhari Efendi Nazaruddin bahawa Jho Low pada tahun 2012 mengarahkan beliau dan bosnya Allahyraham Azlin Alias membuka akaun bank peribadi di luar negara.

Pada masa itu, Amhari masih pegawai khas kepada perdana menteri Najib Razak manakala Azlin ialah ketua setiausaha sulit Najib.

Beliau mengatakan Jho Low telah memberitahu mereka kemudian bahawa ahli perniagaan itumendapat 'restu' untuk memberi arahan itu, dan Amhari serta Azlin perlu membuka akaun bank "jika ada apa-apa berlaku dan standby".

Menurut saksi itu, beliau dan Azlin difahamkan kemudian bahawa 'restu' yang Jho Low maksudkan adalah lampu hijau dari Najib.


Bekas pembantu Najib kenal pasti dokumen kerjasama 1MDB-PSI

10.24 pagi: Perbicaraan bermula dengan saksi pendakwaan kelapan, Amhari Efendi Nazaruddin, memberi keterangan mengenai dokumen yang dikemukakan di mahkamah mengenai kerjasama 1MDB dan PSI.

Menurut Amhari, dokumen itu menerangkan keabsahan syarikat Petrosaudi milik Putera Raja Arab Saudi, Putera Turki Raja Abdullah.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa dokumen itu menyatakan mengenai faedah pelaburan ke Malaysia, dan mengandungi lima surat sokongan untuk menunjukkan bahawa syarikat itu adalah sah.

"Dokumen ini ada dalam simpanan saya kerana Datuk Azlin (Alias) mungkin menyerahkannya kepada saya selepas pertemuan enam mata melibatkan kami, dan ini adalah salinan saya yang saya tak buang," katanya ketika memberikan keterangan.

Beliau merujuk kepada bekas ketua setiausaha peribadi Najib, Allahyarham Azlin Alias dan pertemuan dengan ahli perniagaan, Jho Low.

Amhari memberitahu mahkamah bahawa beliau, bagaimanapun, tidak dapat menjelaskan banyak mengenai kandungan dokumen itu kerana 1MDB biasanya dibincangkan antara Jho Low dan Azlin manakala beliau hanya menemani kedua-duanya.

Saksi itu juga mengatakan bahawa beliau yakin bahawa dokumen-dokumen itu berasal daripada Jho Low.


10.22 pagi: Perbicaraan disambung semula dengan pemeriksaan utama dijalankan terhadap bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin. Najib dilihat berada di kandang tertuduh.


9.24 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah dilihat mendengar beberapa pengurusan kes saman pelucuthakan 1MDB.

Selepas urusan berkenaan diselesaikan, Sequerah kemudian akan mengendalikan perbicaraan terhadap Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu dilihat menunggu di luar mahkamah dan akan masuk selepas pengurusan kes saman pelucuthakan 1MDB diselesaikan, sebelum perbicaraan terhadapnya disambung semula.


Hari keempat perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan penyelewengan RM2.8 bilion dana 1MDB dijangka menyaksikan lebih banyak pendedahan menggemparkan daripada bekas pembantunya, Amhari Efendi Nazaruddin.

Semalam semasa hari pertama di kandang saksi, saksi pendakwaan kelapan itu menceritakan bagaimana pada awal tahun 2015 setiausaha peribadi Najib, Azlin Alias pada masa itu kelihatan begitu tertekan dengan isu 1MDB.

Azlin dikatakan menghempas fail ke atas meja dan menjerit "duit 1MDB-lah, bro!".

Amhari juga memberi keterangan antara lain bahawa hanya Najib dan "penasihat tidak rasmi" yang juga ahli perniagaan, Jho Low mempunyai "gambaran penuh" terhadap muslihat berkaitan 1MDB pada masa itu, dengan saksi itu menyamakan Jho Low sebagai "pakar manipulasi".

Saksi itu hanya sempat membaca sehingga perenggan 103 kenyataan saksi dan dijangka mendedahkan lebih banyak perkara mengejutkan semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, yang akan disambung semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah sekitar jam 9.15 pagi ini.

Difahamkan Amhari menghabiskan separuh daripada keterangan saksi bertulis semalam dan mungkin dapat menyelesaikan bakinya semasa perbicaraan penuh hari ini.

Lihat Komen