malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ummah: Kami bukan kempen boikot produk bukan Muslim
ADS

Angkatan Perpaduan Ummah (Ummah) menyatakan kekecewaannya terhadap sejumlah ahli politik yang mengaitkan kempennya - untuk mempromosi barangan keluaran Muslim - dengan perkauman.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya menegaskan kempen gerakan itu berkenaan mempromosikan perniagaan orang Islam yang menurutnya yang tiada upaya untuk membuat pemasaran dan tidak mendapat tempat di pasar raya besar.

"Ummah kecewa dengan kenyataan beberapa ahli politik yang mengaitkan (kempen) dengan isu perkauman, agama, dan parti politik.

"Kami ingin tegaskan kempen ini bukan untuk memboikot produk pengusaha lain, dan tiada kena-mengena dengan parti politik pemerintah ataupun pembangkang," katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sebarang kempen boikot terhadap mana-mana pihak tidak berkesan dan hanya menimbulkan kemarahan segelintir masyarakat.

Aminuddin berkata lagi, kempen Ummah bertumpu kepada mempromosikan produk makanan keluaran Muslim kerana menurutnya "banyak produk yang diragui (status) halalnya".

"Ini membuatkan orang Islam rasa tak selesa kerana makanan yang digunakan boleh menjejaskan ibadah mereka.

"Jadi kempen ini untuk bantu mereka mendapatkan produk yang sah...(dan) agar mereka (usahawan Muslim) dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah (dengan pengusaha lain)," katanya lagi.

Katanya, kempen itu bermula April lalu tetapi mendapat momentum susulan salah faham di media sosial dan kenyataan oleh ahli politik.

Ummah juga akan mengadakan siri jelajah bermula bulan ini dan kempen itu akan dilancar secara rasmi pada 1 Oktober ini.

Lihat Komen