malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes saman fitnah selesai, Wan Asshima mohon maaf pada Khalid
ADS

Kes saman fitnah yang difailkan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad terhadap Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia Wan Asshima Kamaruddin selesai selepas wanita itu membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Asshima sebelum ini bertindak memuat naik video mengandungi kata-kata fitnah terhadap Khalid berhubung kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Wan Asshima, 35, yang membacakan kenyataan maaf itu di hadapan Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad berkata beliau mengakui kesilapan fakta dalam video tersebut yang telah diterbitkan dalam akaun Facebooknya pada 18 Ogos tahun lepas.

Beliau menyesali bahawa tuduhan tanpa bukti dan tidak berasas dalam video tersebut telah menyebabkan kesusahan, kehinaan dan ketidakselesaan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan itu.

“Oleh itu, saya ingin tanpa syarat menarik balik perkataan dan tuduhan-tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas di dalam video yang mendakwa bahawa YB Khalid Abdul Samad telah meluluskan dan menganjurkan pesta gay yang besar di Kuala Lumpur,” katanya pada prosiding kes itu yang turut dihadiri peguam Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili defendan (Wan Asshima).

Beliau juga memohon maaf kerana telah mempersoalkan, mencabar dan menuduh Khalid dan keluarganya untuk membuktikan bahawa mereka tidak mengamalkan gaya hidup kumpulan LGBT.

“Saya telah gagal mengesahkan maklumat dan secara melulu memuat naik video tersebut tanpa memikirkan implikasi negatif terhadap peribadi YB Khalid Abdul Samad dan susulan tindakan saya itu telah menyinggung perasaan dan memalukan YB Khalid Abdul Samad atau ahli keluarganya,” katanya.

Wan Asshima juga mengucapkan penghargaan kepada Khalid atas persetujuannya untuk menyelesaikan tuntutan saman tersebut di luar mahkamah tanpa mengenakan sebarang ganti rugi.

Sebaik sahaja Wan Asshima selesai membacakan kenyataan maaf itu, Nik Hasmat merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak terlibat.

Nik Hasmat juga menasihatkan defendan agar tidak sewenang-wenang mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa menyemak atau memeriksa sumbernya.

“Ini adalah kenyataan maaf yang dibuat tanpa sebarang syarat, ambil ini sebagai iktibar dan jangan ulangi lagi. Kes ini ‘public figure’ (orang kenamaan).

“Kita semua kenal siapa YB (Khalid Abdul Samad) dan banyak telah membaca perkara ini (pesta gay). Jadilah orang yang bertanggungjawab dalam membuat sebarang hantaran (di Facebook)," kata Nik Hasmat.

Khalid kemudian bersetuju dan berpuas hati dengan permohonan maaf yang dibuat oleh Wan Asshima.

Peguam Ahmad Affendi Mohd Nasir, mewakili Khalid ketika ditemui pemberita berkata defendan perlu membuat permohonan maaf tersebut dalam Bahasa Melayu serta Inggeris dan dimuat naik di akaun Facebook miliknya mulai hari ini.

Khalid, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Sept tahun lepas menerusi Tetuan Mohamed Hanipa & Associates dengan menamakan Wan Asshima sebagai defendan tunggal.

Khalid menyaman Wan Asshima selepas mendakwa defendan pada 18 Ogos tahun lepas dengan sengaja merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video yang mengandungi kata-kata fitnah dalam laman Facebook miliknya yang boleh dicapai di https://www.facebook.com/wanasshima, yang secara langsung merujuk kepada Khalid kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik.

Mengikut penyataan tuntutan, Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa plaintif telah mengiktiraf dan mengiyakan kedudukan LGBT di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan itu kerana berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay yang terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu mendakwa rakaman itu juga menyatakan bahawa beliau atas kapasiti sebagai menteri, pemimpin Amanah dan individu telah mencabuli hak asasi manusia beragama Islam, mencabuli undang-undang dan peraturan agama Islam yang termaktub dalam al-Quran dan sunah, menghina kedudukan agama Islam serta menggugat kedudukan wanita beragama Islam apabila menghalalkan dan/atau meluluskan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur.

Khalid menegaskan tindakan defendan memuat naik dan/atau menerbitkan kata-kata fitnah itu suatu yang disengajakan, dibuat tanpa sebarang usul periksa dan dengan niat jahat bagi mendorong orang ramai khususnya umat Islam membenci beliau dan oleh itu plaintif menuntut perintah ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau daripada defendan.

- Bernama

Lihat Komen