malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zuraida: Gubal undang-undang antiucapan kebencian, perkauman
Diterbitkan:  Sep 2, 2019 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM
ADS

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin turut sama menggesa penggubalan undang-undang bagi mengekang ucapan perkauman dan kebencian.

"Saya akan mencadangkan agar pihak kerajaan selepas ini membuat satu undang-undang yang lebih tegas dan keras ke atas pesalah perkauman dan penyebar kebencian.

"Tiba masanya komitmen dan keseriusan pihak kerajaan bagi menangani hal yang membahayakan ini diperkukuh.

"Marilah kita maju dan membangun tanpa rasa curiga," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menteri Hal Ehwal Islam Mujahid Yusof turut berharap undang-undang bagi mengawal ucapan kebencian dapat diperkenalkan segera di negara ini.

Selain itu, anggota parlimen Parit Buntar berkenaan juga berharap Suruhanjaya Keharmonian dan Perpaduan Kebangsaan dapat ditubuhkan pada tahun ini.

Menurut beliau sebelum ini Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan - yang dipengerusikannya pada 2014 - pernah mencadangkan agar undang-undang mengawal ucapan kebencian digubal tetapi cadangan itu gagal.

Zuraida dalam kenyataan hari ini tidak menyentuh sebarang isu secara khusus, tetapi berkata cara mentadbir menggunakan isu perkauman perlu dihentikan kerana boleh memusnahkan negara.

"Marilah kita berpegang kepada realiti ini dan bebaskanlah jiwa kita dari belenggu sempit dalam naratif perkauman lapuk yang menjadikan pembelaan kaum sebagai alasan untuk kita saling mencurigai.

"Pentadbiran kerajaan lalu yang mentadbir dengan bergayut pada dahan perkauman yang rapuh itu wajar kita lempar jauh.

"Buang segala hipokrasi yang menyebut perpaduan di mulut tetapi daki perkauman masih menebal di dada," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen