malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saifuddin: Tak ada istilah mesyuarat perdamaian
ADS

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menolak permintaan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin agar parti itu mengadakan mesyuarat 'perdamaian' bagi membincangkan isu dalaman PKR.

Sebaliknya, kata Saifuddin, pimpinan PKR hanya perlu menghadiri mesyuarat pimpinan pusat dan mesyuarat biro politik seperti biasa untuk membincangkan isu berbangkit.

"Tidak, tak ada istilah (mesyuarat) perdamaian.

"Hadir saja mesyuarat biro politik dan mesyuarat pimpinan pusat, semua hal boleh diselesaikan," katanya pada sidang media selepas karnival i-keep di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Saifuddin berkata demikian sebagai merujuk ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya termasuk Zuraida dalam mesyuarat utama parti itu.

Zuraida sebelum ini mendakwa Anwar Ibrahim belum membalas tiga surat yang memohon agar Presiden PKR itu mengadakan mesyuarat dengan ahli majlis pimpinan pusat tertentu untuk 'perdamaian'.

Pada 18 Julai lalu, Zuraida mengakui berlaku perpecahan dalam PKR dan berkata terpulang kepada Anwar untuk memulihkan perselisihan itu susulan klip video seks yang mengaitkan Azmin.

Saifuddin, yang juga merupakan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata PKR hanya menerima satu surat dan bukannya tiga seperti didakwa Zuraida.

Sementara itu, Zuraida menegaskan bahawa tiga surat berkenaan dihantar kepada Anwar.

"Surat itu dihantar kepada presiden parti, bukan kepada setiausaha agung yang cuma dilantik untuk jawatannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata kementeriannya tidak akan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kempen memboikot produk bukan bumiputera.

Saifuddin bagaimanapun tidak bersetuju dengan kempen itu dan berkata ia hanya mengundang kempen boikot antara satu sama lain.

Menurutnya, Malaysia hanya boleh bangkit dan menjadi yang unggul sekiranya rakyat pelbagai kaum saling menyokong antara satu sama lain, dan mengatasi sebarang kelemahan.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa kementeriannya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kempen boikot berkenaan.

"Setakat ini kita tidak menerima apa-apa maklum balas.

"Urusan saya dengan pertubuhan perniagaan - bidang peruncit, borong, pengedaran - mereka langsung tidak membangkitkan perkara itu, mereka lebih menekankan perkara polisi, bagaimana boleh bersaing, tingkatkan kualiti, atau turunkan harga untuk manfaat semua rakyat, bukan satu-satu kaum," katanya.

Lihat Komen