Pengiklanan

    Isu token AMK: Seperti lepaskan anjing tersepit, kata Hilman

    (Dikemaskini )

    Jika berbuat baik untuk membantu rakan dalam parti, haruslah berpada-pada, pesan Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Hilman Idham kepada perwakilan yang hadir Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan AMK Muafakat Cabang Negeri Selangor 2019 di Shah Alam petang tadi.

    Meskipun tidak menyebutkan secara spesifik, Hilman dipercayai merujuk kepada dakwaan berlakunya pemberian token kepada ahli AMK.

    "Kadangkala, kita buat baik dengan orang, kita mungkin melepaskan anjing yang tersepit. Mana saudara (Muhammad) Idris (Timbalan Ketua AMK Shah Alam)? Idris ini contohlah.

    “Sebab itu, sepatutnya apabila kita ini diberikan amanah sebagai pemimpin, apatah lagi sebagai Adun, kita harus bantu anggota dan rakan-rakan kita.

    “Jangan pula kita tak bantu, kita pula tambah menyusahkan, menggigit, memfitnah, untuk menjatuhkan mereka yang mungkin sebenarnya melaksanakan usaha yang lebih baik (daripada kita),” katanya dalam ucapan di Dewan Hamzah, Klang.

    Kenyatannya itu dipercayai merujuk kepada Ketua AMK Selangor Najwan Halimi merangkap Adun Kota Anggerik, yang semalam memberi peringatan kepada anggota AMK bahawa pemberian token untuk menggalakkan ahli parti terlibat dalam program yang dianjurkan bukan budaya PKR.

    Najwan ketika mengulas tentang dakwaan majlis perasmian perdana itu bakal dicemari dengan amalan pemberian "token", meluahkan rasa kesal dengan dakwaan yang tersebar.

    Dakwaan berhubung pemberian token timbul susulan penyebaran paparan perbualan WhatsApp Group berhubung program melibatkan AMK Shah Alam.

    Dakwaan itu turut mengaitkan pemberian token berkenaan dengan program yang dinamakan Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan AMK Muafakat Cabang Negeri Selangor 2019. Untuk rekod, jemputan program berkenaan memaparkan gambar Hilman.

    Susulan itu, Hilman memanjangkan kenyataan Idris yang tampil mendakwa bahawa tuduhan berhubung pemberian token dalam program itu adalah "fitnah jahat dan cubaan memutar beli fakta".

    Idris menjelaskan bahawa pemberian token RM20 itu adalah "duit petrol dan makan" untuk anggota AMK Shah Alam yang menyertai program konvoi Merdeka, dan bukannya untuk majlis perasmian perdana berkenaan seperti didakwa.

    Idris turut mendakwa rata-rata anggota AMK yang mahu menyertai konvoi itu adalah dari DUN Kota Anggerik sendiri yang tidak pernah dipedulikan dan diberi perhatian oleh Najwan yang merupakan Adun kawasan itu.

    Rasa tak puas hati

    Sementara itu, ketika ditanya pemberita adakah pihak yang “menggigit” dalam ucapannya merujuk kepada Najwan, Hilman hanya menjawab “boleh jadi orang yang sama”.

    “Kalau ada pimpinan yang rasa bahawa mereka tak mahu terlibat dengan program tak apa, tapi jangan perlekehkan usaha yang orang lain buat, sedangkan kita tak berbuat apa-apa.

    “Itu lebih teruk dan hodoh tabiatnya daripada apa yang disebut (oleh orang berkenaan),” katanya lagi selepas majlis tersebut tamat.

    Sementara itu, Idris pula, ketika ditemui, menganggap kenyataan Najwan itu sebagai tuduhan jahat dan finah, yang menurutnya mungkin dibuat kerana rasa tidak puas hati terhadapnya dan Ketua AMK Shah Alam, SP Sarawanan.

    “Kami adalah calon yang menang bahagian pemuda dalam pemilihan lepas (di Shah Alam). Dia (Najwan) tewas di cabang Shah Alam untuk jawatan Ketua AMK, dan kalah juga bertanding Ketua AMK Pusat.

    “Jadi, mungkin ekoran daripada itu, mungkin ada rasa tak puas hati. Itu saya rasalah,” katanya.

    Diminta mengulas tentang gambar tangkap layar Whatsapp yang memaparkan tawaran token berlaku ketika perbincangan kedua-dua acara Konvoi Merdeka dan majlis perasmian perdana, Idris menjelaskan ia sebenarnya disalahtafsirkan.

    “Dalam Whatsapp, keluar macam-macam. Ada masa kita balas awal, ada masa kita balas lambat. Jadi benda itu boleh disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak yang tak bertanggungjawab.

    “Itu yang menimbulkan fitnah gara-gara daripada isu itu. Tapi sebenarnya saya tegaskan sekali lagi, token itu melibatkan program konvoi Jalur Gemilang,” katanya lagi.

    Mengulas mengenai program konvoi itu, kata Idris, pada awalnya cabang Shah Alam sepatutnya menyertai konvoi yang dianjurkan oleh DUN Kota Raja, Sungai Kandis dan Kemuning.

    Namun, katanya, ekoran “fitnah” yang terjadi, cabangnya mengambil keputusan untuk menganjurkan konvoi di bawah kapasiti mereka sendiri yang telah berlangsung semalam di sekitar Shah Alam.

    Najwan yang tidak hadir program di Shah Alam hari ini memberitahu Malaysiakini bahawa program berkenaan bukan anjuran AMK Selangor.

    Dalam kenyataan di Twitter malam ini, Najwan berkata seseorang pemimpin dipilih bukan untuk membantu "kawan-kawan dan kroni".

    "Kita yang dipilih jadi pemimpin -- baik sebagai Adun mahupun sebagai ahli parlimen bukan untuk bantu kawan-kawan dan kroni kita.

    "Kita diberi mandat oleh rakyat untuk berkhidmat kepada mereka, bantu jaga kebajikan mereka dan ambil peduli masalah mereka. Itu amanah dan tanggungjawab kita," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih