Pengiklanan

    Laluan sendiri pun tak selamat buat teksi motosikal?

    (Dikemaskini )

    WAWANCARA | Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan pengguna motosikal amat membimbangkan lebih-lebih lagi golongan itu penyumbang terbesar dalam statistik kematian di jalan raya.

    Data Kementerian Pengangkutan merekodkan, purata kematian disebabkan kemalangan adalah seramai 18 orang setiap hari sepanjang 2018 berbanding 19  bagi tempoh sama pada 2017.

    Jumlah itu dibimbangi terus meningkat jika kerajaan melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal tanpa melakukan kajian menyeluruh terlebih dahulu, kata Ahli Tetap Mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) Mohd Rawi Omar.

    Mohd Rawi, 58 memberikan contoh, berdasarkan audit selama sebulan terhadap Lebuhraya Persekutuan Jun lalu mendapati hanya sebahagian sahaja laluan motosikal di lebuh raya itu selamat digunakan.

    Laporan audit setebal 47 muka surat itu - disediakan dengan kerjasama Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor - meliputi laluan motosikal sejauh 66 kilometer secara dua hala bermula dari Bulatan Bekerly, Klang sehingga Kota Darul Ehsan dan berpatah balik.

    Terdapat 20 masalah utama dikenal pasti, antaranya jalan berlubang, laluan berpasir, terowong tidak berlampu, papan tanda hampir tumbang, kedudukan lintasan belang ditempat yang tidak sesuai sehingga menyebabkan roda motosikal tergelincir.

    “Jika teksi motosikal lalu juga jalan itu tanpa penambahbaikan ia boleh menyumbang kepada penambahan statistik kematian sebab teksi motosikal mungkin nak cepat, oleh kerana laluan motor banyak masalah, mereka tidak mahu lalu di laluan motor.

    Mohd Rawi Omar

    “Kalau kita lihat ada terowong yang gelap kerana tak berlampu, bila seorang penunggang jatuh, pengguna lain akan turut rempuh. Itu baru cerita soal lampu, belum berkaitan jalan licin lagi,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

    Mohd Rawi yang sudah lebih 35 tahun dalam dunia permotoran turut berkata laporan audit itu dilakukan secara sukarela dan telah dibentangkan dalam mesyuarat MJKR Selangor serta diserahkan kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian 8 Ogos lalu untuk tindakan lanjut.

    Perbaiki jalan raya, peraturan

    Untuk rekod penuh statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018 menunjukkan hampir 550,000 kemalangan direkodkan dan daripada jumlah itu 6,824 kematian dicatat.

    Daripada angka itu, 65 peratus jumlah kematian melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng.

    Justeru, Mohd Rawi berkata kerajaan perlu menambahbaik jalan raya di samping mewajibkan Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) terhadap teksi motosikal dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

    Menurutnya, kajian itu perlu susulan daripada keputusan Jemaah Menteri pada 21 Ogos lepas yang bersetuju supaya perkhidmatan ride-hailing berasaskan motosikal dibenarkan dalam melaksanakan Proof Of Concept (POC) di negara ini.

    “Banyak sudut kena ambil maklum, secara asasnya perlu ada lesen motor, berkaitan peraturan, perlu masuk kelas teori dan praktikal sekurang-kurangnya dua hari.

    “Sebelum ini penunggang ikut kurus latihan motosikal tapi mereka hanya naik seorang sahaja, sekarang sudah ada load (penumpang), keadaannya berbeza” katanya.

    Patuhi piawaian

    Selain itu katanya, dari aspek lain kerajaan perlu menetapkan sesebuah motosikal yang ingin digunakan sebagai teksi perlu mematuhi piawaian tinggi antaranya brek perlu diperiksa setiap enam bulan.

    “Selain tu motosikal tak boleh terlalu tua, kena pemeriksaan secara berkala. Seperti perkhidmatan Grabcar sekarang ada masalah kerana mereka tidak melalui proses yang sama seperti teksi,” katanya.

    Jurulatih latihan permotoran di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) juga berpendapat, bagi peringkat permulaan, perkhidmatan teksi motosikal perlu ditetapkan dalam lingkungan 15 kilometer dari kawasan bandar sahaja dan dilaluan yang sesak.

    Beliau juga meminta kajian keselamatan berhubung penggunaan telefon bimbit ketika menunggang motosikal.

    “Agak bahaya menunggang menggunakan telefon bimbit, perlu ada tempat letak telefon bimbit agar pemandu boleh menumpu sepenuh perhatian dijalan raya selain itu perlu juga menggunakan helmet yang mempunyai interkom bagi mendengar arahan aplikasi Waze,” katanya.

    Katanya, hasil kajian itu turut perlu diterapkan kepada perkhidmatan e-kelui yang lain seperti Grabfood, Grabekspres, Food Panda dan lain-lain kerana mereka juga penyumbang kepada kemalangan motosikal.

    Nantikan bahagian kedua iaitu pendapat awam berhubung cadangan pelaksanaan perkhidmatan berkenaan.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih