malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan 'hipokrit' usir warga Turki, kata peguam
ADS

Pengusiran seorang guru warga Turki, Arif Komis dan keluarganya dari Malaysia biarpun mereka memegang status pelarian PBB, menimbulkan perbandingan dengan keengganan kerajaan untuk mengekstradisi penceramah kontroversi Zakir Naik ke India.

Peguam Andres Khoo mengingatkan bahawa India telah membuat permohonan ekstradisi terhadap Zakir, yang dikehendaki di negara asalnya atas dakwaan pengubahan wang haram, sementara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak akan menerima permohonan itu memandangkan tiada jaminan Zakir akan mendapat perbicaraan yang adil.

“Namun apabila Turki meminta pengusiran Arif Komis dan keluarganya, mereka sanggup bersetuju.

“Di Turki, lebih tak pasti lagi (seseorang akan mendapat) perbicaraan yang adil, terutamanya apabila individu yang dituduh menyokong Fetullah Gulen dihadapkan ke mahkamah tentera, dengan sedikit atau tiada jaminan langsung terhadap untuk perbicaraan adil dan hak yang sepatutnya,” kata Khoo kepada Malaysiakini semalam selepas berita pengusiran Arif dan keluarganya dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Menyifatkan kerajaan sebagai “sangat hipokrit” dalam isu tersebut, peguam itu menuntut kerajaan untuk menjelaskan keengganannya memberikan kerjasama di peringkat antarabangsa untuk menangani aktiviti pengubahan wang haram.

Menurutnya, sekiranya pihak berkuasa India tidak mempunyai bukti terhadap Zakir, mereka pasti tidak akan melakukan pendakwaan ke atasnya.

“Adakah kita sedang kembali ke zaman peguam negara terdahulu yang enggan bekerjasama apabila Peguam Negara Switzerland meminta bantuan dalam kes 1MDB?” Soal Khoo lagi.

Kerajaan juga, katanya perlu menjelaskan kenapa ia melanggar undang-undang antarabangsa dengan mengusir pulang seseorang yang mempunyai perlindungan PBB ke negara asalnya, yang akan membahayakan nyawa pelarian berkenaan dan keluarganya.

“PH berjanji akan memperbaiki rasa hormat Malaysia untuk hak asasi manusia antarabangsa.

“Kedua-dua insiden ini membuktikan sebaliknya.

“Hak asasi manusia perlulah dihormati di peringkat nasional dan juga antarabangsa, dan (kerajaan juga perlu) hormat proses siasatan PBB terhadap dakwaan pencari suaka dan dalam menetapkan status pelarian.

"(Sama juga) sebagaimana kes Arif Komis ini yang perlu dihormati,” kata Khoo.

Sementara itu, peguam Eric Paulsen (gambar) turut menyuarakan kebimbangannya terhadap pengusiran Arif dan keluarganya meskipun suaka mereka kepada UNHCR dalam proses permohonan.

Kata Eric, pengusiran seperti itu merupakan “refoulement” (pengusiran yang mendedahkan mereka dengan bahaya di negara sendiri) yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.

“Kenapa terburu-buru nak usir tanpa proses yang sepatutnya, ke negara yang mereka mungkin berdepan seksaan dan tiada jaminan mendapat perbicaraan yang adil?

"Ini suatu (tindakan) tidak berhati perut yang tidak mengendahkan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia,” katanya lagi.

Semalam, Mahathir berkata polis mempunyai bukti untuk menahan dan mengusir Arif bersama keluarganya.

Ketika disoal tentang keengganan kerajaan menghantar pulang Zakir ke India, Mahathir menjawab: “Dalam kes Zakir Naik, ke mana kita nak hantar dia? (Kalau) awak ada tempat untuk dia, bagi tahu saya.”

Kerajaan Turki menuduh Arif memegang jawatan penting dalam Kumpulan Pengganas Fetullah (Feto) seperti dilaporkan Bernama semalam.

Feto bersama ketuanya Fetullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat dikatakan sebagai dalang kepada cubaan rampasan kuasa terhadap presiden Turki Tayyip Erdogan pada 15 Julai 2016, yang mengorbankan 251 orang dan mencederakan 2,200 yang lain.

Feto turut dituduh sebagai dalang di sebalik kempen berpanjangan untuk menggulingkan kerajaan Turki yang menyusup di institusi kerajaan Turki, terutamanya ketenteraan, polis dan kehakiman.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan telah menahan dan mengusir warganegara Turki yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Feto.

[Baca berita asal]

Lihat Komen