malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pandai-pandai tafsir kenyataan Mahathir, kata Zuraida
ADS

Naib Presiden PKR Zuraida Kamarudin menyerahkan kepada semua pihak untuk mentafsir sendiri kenyataan Perdana Menteri Mahathir Mohamad berhubung tiada kekosongan untuk presiden parti itu, Anwar Ibrahim jika berlaku rombakan kabinet.

“Pandai-pandailah makna tu, pandai-pandailah menafsirkan tu, apa jawapan daripada Tun (Dr Mahathir) tu,” katanya kepada pemberita di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.

Sebelum itu, Zuraida selaku menteri perumahan dan kerajaan tempatan menghadiri majlis penyerahan surat tawaran program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 kepada penyanyi Ku Nazhatul Shima di kementeriannya.

Semalam Mahathir membayangkan Anwar tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan kabinetnya apabila beliau membuat rombakan kecil dalam portfolio jemaah menteri tidak lama lagi.

"Kami tidak mempunyai apa-apa perubahan atau pertambahan bilangan (anggota) kabinet.

"Oleh kerana tiada siapa yang mengatakan mereka ingin meletakkan jawatan, kami tidak mempunyai kekosongan (untuk menampung Anwar)," kata Mahathir, semalam.

Pada sidang akhbar itu, Zuraida juga ditanya berhubung tiga pucuk surat yang dihantar kepada Anwar bagi membincangkan perihal parti itu.

“Tunggu dia jumpa saya dulu. Tak ada langsung respon,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu Zuraida mendedahkan sebab beliau tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana Anwar tidak melayan surat yang dihantar bagi membincang mengenai masalah parti itu.

Zuraida berkata surat itu dibuat bagi mengadakan pertemuan dengan Anwar bersama ahli MPP yang terpilih bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku.

Lihat Komen