Arah mana perpaduan? Bagaimana anak-anak Malaysia membesar dalam kepompong berbeza | Malaysiakini

Arah mana perpaduan?


Bagaimana anak-anak kita membesar dalam kepompong berasingan


Laporan Aidila Razak. Diterbitkan pada 30 Ogos 2019.

NOTA EDITOR: Pendidikan merupakan salah satu topik sensitif yang malangnya membelahbahagikan masyarakat.

Tahun demi tahun, ibu bapa semakin kurang yakin dengan sekolah kebangsaan dan ramai menghantar anak mereka ke sekolah vernakular atau persendirian.

Laporan khas ini bukan berniat mendesak penutupan sekolah vernakular atau persendirian, kerana ibu bapa berhak memilih bagaimana anak mereka dididik.

Namun begitu, kita masih perlu mencari jalan untuk menjadikan semula sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama bagi setiap ibu bapa.

Kelemahan dalam sistem pendidikan nasional bukan sahaja memberi impak pada masa hadapan anak-anak, tetapi juga masa hadapan kita senegara.

Bukan mudah, tetapi satu perbincangan nasional tentang perkara penting ini perlu berlaku.

Reformasi pendidikan bukan hanya tugas ahli politik, tetapi tanggungjawab kita semua. Kongsilah pendapat anda dalam ruangan komen di bawah.

Gambar ihsan Lim Huey Teng

Semasa Anita Mennan membesar di sebuah di estet pada tahun 1980-an, jiran-jirannya semua kaum India sepertinya.

Namun begitu, sekolah kebangsaan yang dihadirinya terdiri dari pelbagai kaum. Oleh itu beliau tidak kekok berinteraksi dengan rakan-rakannya yang berasal dari latar belakang berbeza, walaupun sudah memasuki alam pekerjaan.

Bagaimanapun, perkara berbeza ditempuhi anak perempuannya, Azriela George, yang berumur 17 tahun. Setelah mengikuti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan kini hampir menamatkan pengajian di sekolah menengah persendirian, anaknya tidak mempunyai seorang kawan pun berbangsa Melayu.

“Ini sangat menyedihkan. Saya mempunyai kawan Melayu, kawan Cina (sewaktu membesar) tetapi dia tiada. (Dia) tidak mempunyai peluang itu. Di mana mereka akan bertemu?” katanya.

“Ini sangat menyedihkan. Saya mempunyai kawan Melayu, kawan Cina (sewaktu membesar) tetapi dia tiada. (Dia) tidak mempunyai peluang itu. Di mana mereka akan bertemu?” katanya.

Anak Anita adalah antara ribuan kanak-kanak bukan Melayu yang terkeluar dari sistem sekolah rendah kebangsaan (SRK). Perubahan demografi ini memberi impak pada integrasi, kata beberapa pakar.

Pada tahun 2016, sebanyak 97 peratus murid di SRK adalah bumiputera. Ini meningkat dari 91 peratus pada tahun 2000.

Maksudnya, dari usia tujuh hingga 12 tahun, anak-anak bumiputera, yang merupakan kumpulan kanak-kanak terbesar di Malaysia, membesar dalam kepompong kaum mereka sendiri sahaja.

Di manakah anak-anak bukan bumiputera?

Hari ini, hampir semua pelajar Cina tidak lagi belajar di SRK.


Kementerian Pendidikan berkata data pendaftaran menurut kaum adalah “sulit dan sensitif”, namun terdapat laporan rasmi yang menyatakan bahawa pada tahun 2011, sebanyak 96 peratus kanak-kanak Cina berdaftar di SJKC.

Menurut sumber kementerian, hari ini jumlah itu dianggarkan 99 peratus. Oleh kerana pelajar Cina merupakan majoriti dalam kategori bukan bumiputera, impaknya terhadap kepelbagaian di SRK adalah berganda.

Contohnya, sebahagian besar bumiputera di Semenanjung Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan Islam.

Apabila pelajar bukan bumiputera menjadi minoriti yang terlalu kecil di SRK, ia akan mencipta situasi yang kurang selesa bagi ibu bapa bukan bumiputera.

Gambar ihsan Anita Mennen

Azriela George semasa di SJKC, SMK dan sekolah menengah persendirian.

Walaupun anak perempuan Anita, Azriela akan menamatkan pengajian di sekolah persendirian, dia memulakan persekolahannya di SRK di kejiranannya di Lembah Kelang.

Oleh kerana mereka sendiri lepasan sekolah kebangsaan, ibu bapa Azriela tidak berfikir panjang ketika menghantar anak sulung mereka ke SRK.

Namun mereka tidak menjangka Azriela merupakan satu-satunya pelajar bukan Islam dalam semua kelas Darjah 1.

Maka sekolah tersebut tidak dapat menyediakan Pendidikan Moral untuknya, dan beliau terpaksa ke kelas Pendidikan Islam.

“(Pihak sekolah) cuba untuk memberi kemudahan. Mereka berkata dia boleh duduk sahaja dalam kelas dan tidak perlu mengikuti pengajaran atau mengambil ujian Pendidikan Islam, tetapi saya tetap merasa tidak selesa,” kata Anita yang merupakan seorang penganut Kristian.

Berbanding suasana yang pelbagai kaum, persekitaran sekolah yang terdiri dari semua kaum Melayu juga memberi ruang untuk percambahan sentimen perkauman, seperti yang diperhatikan oleh Liyana Osman, seorang ibu beranak tiga.

“Melayu hanya boleh duduk dengan orang Melayu dan Cina mesti duduk dengan orang Cina."

Liyana, yang tinggal di Ipoh, berkata anaknya yang bersekolah di SRK pulang dengan pandangan-pandangan yang pada hematnya tidak sesuai dalam negara berbilang budaya dan agama.

“Dia pulang ke rumah dan berkata orang Melayu hanya boleh duduk dengan orang Melayu dan Cina mesti duduk dengan orang Cina.

"Atau dia kata tidak boleh ke sekolah menengah Methodist kerana gurunya mengatakan itu sekolah orang Kristian," katanya, merujuk kepada salah satu daripada banyak sekolah di Malaysia yang diasaskan oleh Mubaligh yang kini mengikuti sukatan pelajaran kebangsaan.

“Ini sesuatu yang perlu saya perbetulkan," katanya.

Islamisasi dan keseragaman

Seorang bapa, yang berkongsi dengan Malaysiakini dengan syarat beliau tidak dinamakan, berkata beliau menghantar anaknya ke SJKC kerana SRK nampak terlalu Islam dan seragam, di mana hampir seluruh sekolah termasuk guru adalah Melayu dan Islam.


Isu ini lebih penting baginya berbanding kualiti pengajaran, kerana pada pengamatannya kualiti di SRK adalah sama baik dengan sekolah persendirian.

Islamisasi memang merupakan satu dari lima sebab ibu bapa bukan bumiputera tidak menghantar anak-anak mereka ke SRK, kata Profesor Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Ibu bapa mengeluh, upacara perayaan ini ada kalanya mengambil setengah hari persekolah. Jadi akhirnya hanya beberapa jam hari tersebut digunakan untuk pembelajaran."

Ini menurut kajian Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), kata Teo, yang juga pernah menganggotai Majlis Penasihat Pendidikan Nasional.

Katanya, ibu bapa bukan Melayu berkongsi mereka tiada masalah dengan bacaan doa atau gantungan ayat suci Al Quran di dinding sekolah. Tetapi mereka kurang senang apabila banyak masa pembelajaran digunakan untuk upacara perayaan untuk tarikh penting dalam kalendar Islam.

“Ibu bapa mengeluh, upacara perayaan ini ada kalanya mengambil setengah hari persekolah. Jadi akhirnya hanya beberapa jam hari tersebut digunakan untuk pembelajaran."

Alasan lain yang diberikan ialah persepsi kualiti akademik yang rendah, disiplin yang kurang baik dan infrastruktur sekolah yang lemah, katanya.

“Anak-anak lelaki saya ke sekolah Cina kerana faktor bahasa dan disiplin, kerana saya banyak dengar kes disiplin dan buli (di SRK)," kata Marsha Beh, seorang ibu berbangsa Cina.

“Dan lebih-lebih lagi mereka dapat belajar bahasa lain. Mereka membesar dengan bercakap tiga bahasa, bukan macam ibu mereka yang hanya tahu dua bahasa kerana belajar di sekolah kebangsaan.”

Penumpuan pelajar Cina di SJKC sebenanrnya fenomena baru.

Kajian oleh Vase.ai mendapati semakin lama, trend menghantar anak ke SJKC makin meningkat di kalangan orang Cina.

Antara responden Cina yang lahir pada tahn 1970-1974, 35 peratus bersekolah di SJKC. Di kalangan responden Cina yang lahir 20 tahun kemudian, nombor itu naik mendadak ke 80 peratus.

Seramai 1,049 orang di seluruh negara memberi maklum balas terhadap tinjauan yang dijalankan awal bulan ini.

Satu faktor yang tidak disebut dalam kajian EPRD tersebut ialah kebangkitan negara China sebagai kuasa besar. Ini membuatkan Bahasa Mandarin satu kemahiran yang semakin diperlukan.

Lin Yee, yang telah menghadiri sekolah kebangsaan, berkata beliau terpaksa bersusah payah dalam kerjayanya kerana beliau tidak boleh bertutur atau membaca Mandarin.

“Saya sampaikan bergaduh dengan pelanggan (dari Taiwan) dan saya dan bos saya terpaksa menggunakan (perisian) alih bahasa yang asas untuk alih bahasa dari Bahasa Inggeris ke Mandarin. Kami juga susah untuk melebarkan perniagaan ke pasaran China.

“Jadi, selepas merenung perkara ini dan berbincang dengan suami saya yang pergi ke sekolah Cina, saya mengalah dan menghantar anak tunggal saya ke SJKC,” katanya.

[Baca Panduan Kini berkenaan sistem pendidikan sekolah Cina di sini.]

Ibu bapa kaum Cina berkongsi mengapa mereka memilih SJKC, walaupun mereka sendiri menghadiri sekolah kebangsaan, dalam sebuah kumpulan Facebook berkenaan pendidikan. Kumpulan itu mempunyai lebih 66,000 ahli.

Bahasa juga merupakan sebab mengapa anak kedua Liyana, Zara, menghadiri SJKC. Dia adalah seorang daripada 94,000 pelajar bukan Cina di SJKC pada tahun 2018. Mereka membentuk kira-kira 18 peratus pelajar di sana.

"Saya mahu dia melalui bagaimana rasanya jika kita tidak diberikan sesuatu dengan begitu sahaja,” katanya.

Ibunya juga berharap Zara akan belajar bekerja keras, disiplin dan bagaimana untuk menangani tekanan kerana di SJKC, guru-guru sering memberi kerja rumah yang banyak.

Tetapi yang paling penting katanya, ia adalah pengalaman menjadi pihak minoriti.

"Saya mahu dia melalui bagaimana rasanya jika kita tidak diberikan sesuatu dengan begitu sahaja,” katanya.

Bagaimana kita sampai ke sini

Pendidikan vernakular merupakan warisan dasar pendidikan kerajaan penjajah Inggeris yang laissez faire, membolehkan sekolah pelbagai bahasa seperti Tamil, Cina, Melayu, dan Inggeris.


Tetapi menjelang tahun 1982, selepas pelbagai perubahan dasar, semua sekolah menengah yang dibiayai oleh kerajaan diwajibkan menggunakan Bahasa Malaysia (BM) sebagai medium pengajaran kurikulum kebangsaan.

Dengan menyeragamkan bahasa dan silibus dan mengasimilasikan kebanyakan sekolah menengah Cina, arkitek sistem pendidikan negara cuba untuk membina sebuah sistem hibrid.

Dalam sistem ini, kanak-kanak dibenarkan belajar bahasa ibunda mereka di peringkat rendah, tetapi bergabung dalam satu aliran di peringkat menengah. Dari segi itu, matlamat sistem ini telah dicapai.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 pada tahun 2011, 72 peratus pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) adalah bumiputera, 22 peratus Cina, tujuh peratus India dan satu peratus dari kaum lain.

Ini jauh lebih majmuk dengan SRK tahun itu, yang mempunyai nisbah bumiputera:nisbah bukan bumiputera 94:6.

Pengasingan di sekolah menengah

Kemasukan pelajar bukan bumiputera ke sekolah kebangsaan pada peringkat menengah adalah penting untuk integrasi negara kerana perkembangan identiti yang utama berlaku antara usia 13 hingga 18 tahun, kata pengarah Dataluminescence Research dan ahli psikologi sosial Ananthi Al Ramiah.


Tapi bila kita melihat angka enrolmen di peringkat sekolah menengah, satu trend yang merunsingkan mula timbul, kata penyelidik latihan Universiti Oxford yang merupakan pakar dalam bidang hubungan antara kaum dan agama.

Menurut data tersebut, di peringkat menengah pelajar bukan bumiputera mula bergabung bersama rakan-rakan bumiputera mereka dalam sekolah kebangsaan. Tetapi pada masa sama, sekumpulan pelajar bumiputera pula keluar dari ruang ini dan berpindah ke satu ruang yang hanya dihuni oleh kaum bumiputera / Muslim.

Ruang-ruang ini adalah sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan aliran agama (SMKA), Kolej Sains MARA, sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Agama Negeri (Sekolah Menengah Agama Negeri) Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan sekolah agama persendirian.

Pada tahun 2018, sebanyak 249,671 atau 11 peratus daripada semua pelajar sekolah menengah didaftarkan di sekolah-sekolah ini yang hampir seluruhnya Melayu / bumiputera dan Muslim.

Sekolah-sekolah agama juga mungkin lebih konservatif, terutamanya memandangkan sekolah seperti SABK, SMAR dan sekolah agama persendirian mempunyai autonomi yang luas untuk menentukan kurikulum.

"Apa yang kita ketahui tentang ajaran Islam dalam Pendidikan Agama di sekolah-sekolah kebangsaan adalah penekanan untuk membawa masyarakat bersama adalah berkurangan.

"Sebaliknya, terdapat banyak penekanan pada kelainan (othering), takut kepada kontaminasi (dari pihak lain), kerosakan (nilai-nilai dari sumber luar) dan menjarakkan diri (dari orang lain).

"Jadi jika ini berlaku dalam konteks (sekolah yang) pelbagai kaum, dengan silibus kebangsaan yang standard, saya harus bertanya apa yang berlaku (di sekolah-sekolah agama ini)."

Rosly Ahmad mungkin boleh menjawab persoalan Ananthi.

Anak sulungnya, Mohammad Syukry, belajar di sekolah agama rakyat, manakala adik-beradiknya pergi ke SJKC atau sekolah kebangsaan.

Ibu bapa mereka memilih untuk menghantar kelima-lima anak mereka ke sekolah yang berlainan mengikut minat dan kebolehan mereka.

"Apa yang kita ketahui tentang ajaran Islam dalam Pendidikan Agama di sekolah-sekolah kebangsaan adalah penekanan untuk membawa masyarakat bersama adalah berkurangan."

Pada tanggapan Rosly, anak sulungnya Syukry tidaklah lebih konservatif berbanding anaknya yang lain.

Kini bekerja di Australia, Syukry senang bergaul dengan mereka yang dari latar belakang berbeza dan mempunyai lebih ramai kawan dari berlainanan kaum dan negara berbanding adik-beradiknya yang lain, kata Rosly.

Pandangan negatif sesama rakyat Malaysia

Kembimbangan Ananthi berkenaan sekolah-sekolah yang hanya mengambil pelajar Muslim berdasarkan kajiannya pada tahun 2017.


Dalam kajian itu, responden diminta menilai perasaan mereka terhadap rakyat Malaysia yang lain, berdasarkan agama mereka. Mereka diminta memberi markah dari 0 ke 100, dengan 100 paling positif.

Kajian tersebut menemui bahawa responden Muslim mempunyai persepsi positif terhadap rakyat lain yang Muslim, tetapi kurang positif terhadap mereka yang bukan Muslim.

Markah yang diberikan oleh responden Muslim terhadap penganut Hindu, Buddha dan Kristian adalah jauh lebih rendah dari markah yang diberikan penganut Hindu dan Buddha terhadap warga Muslim.

Dalam kajian yang sama, responden Melayu juga menilai responden Cina dan India jauh lebih rendah, berbanding sebaliknya.

Kajian ini mungkin dapat menjelaskan beberapa kes diskriminasi yang dihadapi oleh pelajar bukan-Melayu di SMK. Ini kerana walaupun populasi pelajar di SMK lebih majmuk berbanding SRK, majoriti besar guru tetap dari kaum Melayu.

Lari dari perkauman

Tidak berputus asa dengan sistem sekolah kebangsaan, Anita berkata beliau melatih Azriela dalam BM semasa anaknya di sekolah rendah untuk memastikan Azriela mampu belajar di SMK.


Tetapi menjelang akhir Tingkatan 1, Anita terpaksa menerima hakikat yang anaknya tidak akan dapat maju jika dia terus berada dalam SMK tersebut, atas sebab dominasi etnik dan agama.

Sebagai contoh, katanya, pentadbiran sekolah telah memutuskan bahawa tiga kelas pertama wajib mengambil Bahasa Arab sebagai mata pelajaran wajib.

"Saya masih ingat dia tanya pada saya “Kenapa cikgu kata orang India berbau, dan orang India kaki botol?”

Ini secara tidak sengaja menyebabkan pengasingan kaum di kalangan pelajar, kerana ibu bapa bukan Melayu tidak mahu anak mereka belajar Bahasa Arab dan mengeluarkan anak-anak mereka dari tiga kelas pertama tersebut.

Apabila permintaan dibuat oleh ibu bapa untuk kelas bahasa Mandarin, sekolah itu berkata mereka menghadapi masalah mendapatkan seorang guru untuk mengajar bahasa Mandarin di peringkat yang lebih tinggi, katanya.

Azriela juga disuruh duduk di belakang kelas, walaupun beliau tidak beberapa tinggi, dan lebih teruk lagi, terdapat guru yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, kata Anita.

"Saya masih ingat dia tanya pada saya “Kenapa cikgu kata orang India berbau, dan orang India kaki botol?”

“Mereka selalu label kaum India sebagai kelas rendah, jadi mereka secara automatik meletakkan label itu kepada anak saya. Mesej yang diberikan adalah, ‘Anda tidak akan berjaya kerana anda memang ditakdirkan untuk tidak berjaya’. Itu benar-benar memberi kesan kepada keyakinannya,” katanya.

Dengar Anita menceritakan insiden diskrimnasi yang dihadapi anaknya di SMK.

Seterusnya, Anita berkata, beliau mendapati beberapa guru Azriela tidak mengajar dan hanya tidur dalam kelas, dan apabila beliau memeriksa buku sekolah anaknya, didapati kerja rumah tidak ditanda oleh guru.

"Saya cuba untuk bertemu (guru) untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Mereka akan menyuruh saya untuk menetapkan janji temu, atau bahawa guru itu tidak masuk.

"Ini berlaku pada hari Isnin hingga Jumaat dan saya akan mengambil cuti dari kerja, tetapi selepas beberapa percubaan saya menyedari ia takkan terjadi (pertemuan dengan guru). Saya tidak meneruskan usaha saya lagi."

“Guru mesti memberi komitmen dan pendidikan yang sama rata dan saksama pada semua anak didik kita.”

Ketika itu Anita dan suaminya menguburkan aspirasi mereka untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan mendaftarkannya ke sekolah persendirian. Adik Azriela juga akan mengikuti jejak kakaknya.

"Saya mahu (anak saya) mempunyai kawan dari semua kaum lain tetapi apabila guru terus mencelanya dan memberitahu dia yang dia tidak bagus, apa yang akan berlaku kepadanya kemudian dalam hidup? Ini bukan sesuatu yang tidak dapat perbetulkan."

Namun, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia, persepsi ramai guru ponteng atau diskriminasi kaum terhadap pelajar adalah tidak benar.

Kes seperti yang dialami Azriela adalah “terpencil”, dan ibu bapa digesa melaporkan perkara tersebut ke Kementerian Pendidikan atau Pejabat Pendidikan Daerah, kata setiausaha agung NUTP Harry Tan.

“(Adalah) tanggungjawab semua guru untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan dan berkualiti.

“Guru juga mesti memberi komitmen dan pendidikan yang sama rata dan saksama pada semua anak didik kita tanpa mengira kaum, agama, status sosial dan juga keupayaan fizikal dan mental.”

Pertumbuhan sekolah persendirian

Pendidikan swasta kini merupakan pilihan yang menarik untuk golongan kelas menengah yang semakin mampu membayar yuran sekolah tersebut.


Pelajar sekolah swasta hanya berjumlah empat peratus dari semua pelajar sekolah menengah, namun kadar peningkatan pendaftaran pelajar di sekolah-sekolah ini amat pesat.

Pada tahun 2008, misalnya, hanya 13,658 pelajar mendaftar di sekolah menengah swasta. Sepuluh tahun kemudian, jumlah itu meningkat lima kali ganda kepada 87,326 pelajar.

Ini tidak termasuk pelajar yang mendaftar di sekolah antarabangsa atau ekspatriat, kerana data pendaftaran bagi sekolah-sekolah tersebut termasuk pelajar sekolah rendah.

Pendaftaran di sekolah antarabangsa dan ekspatriat meningkat empat kali ganda dalam tempoh yang sama.

Pada masa sama, pendaftaran di sekolah menengah awam (SMK, vokasional, teknik dan lain-lain) menurun sebanyak 12 peratus (kira-kira 300,000 pelajar) kepada dua juta pelajar pada tahun 2018.

Perkembangan pendidikan sekolah swasta bukan sahaja mewujudkan perpecahan antara kanak-kanak dari kelas sosial yang berbeza, kata Ananthi. Ia juga membawa impak kepada kualiti sekolah kebangsaan.

Ini kerana ibu bapa yang lebih berpendidikan, yang lebih lantang bersuara dan aktif dalam proses pembelajaran anak-anak mereka, tidak lagi akan memainkan peranan penting untuk memperbaiki kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan, katanya.

Isu peralihan

Walaupun semua pelajar masuk ke SMK, tidak ada jaminan integrasi berlaku dengan mudah.


Muhamad Fazlan Shah Sulaiman, 29, bersama kakak dan adik beliau menghadiri SJKC pada awal tahun 2000 sebelum beralih ke SMK.

Rutin harian mereka ketika kanak-kanak bermula dengan bangun pada pukul 5.30 pagi, supaya sampai ke sekolah jam 7 pagi. Setelah sekolah tamat, mereka menghadiri kelas tambahan di sekolah sehingga 4 petang, kemudian ke sekolah agama hingga 5.30 petang.

Di SJKC, hampir semua pelajar lain berbangsa Cina manakala di sekolah agama, rakan sekelas semuanya Melayu.

  • Fazlan (barisan atas, tiga dari kanan) di SKJC.

    Gambar ihsan Muhamad Fazlan Shah Sulaiman

  • Fazlan in SJKC, aged 12

    Gambar ihsan Muhamad Fazlan Shah Sulaiman

  • Fazlan (depan, paling kanan) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.

    Gambar ihsan Muhamad Fazlan Shah Sulaiman

  • Fazlan bersama isteri dan anaknya, yang juga akan didaftarkan di SJKC.

    Gambar ihsan Muhamad Fazlan Shah Sulaiman

Bagaimanapun, apabila dia beralih ke SMK pada umur 13, Fazlan berkata beliau sangat kesepian sehinggakan beliau turun berat badan.

"Saya tak ada kawan, jadi saya duduk sahaja. Saya tidak tahu bermain bola sepak kerana di SJKC tiada pendidikan jasmani - mereka telah ubah menjadi kelas matematik - jadi saya tidak tahu bagaimana untuk berkawan dengan budak-budak Melayu," kata Fazlan yang berasal dari Rawang, Selangor.

Dia mula membuat kawan setelah beberapa bulan apabila beberapa pelajar Melayu mula bercakap dengannya.

Menariknya, walaupun dia tetap fasih berbahasa Mandarin dan SMK yang dihadirinya terdapat pelbagai kaum, rakan-rakan baik Fazlan menjelang Tingkatan 5 kebanyakannya Melayu.

"Memang macam itu. Budak Melayu berkawan dengan budak Melayu," katanya.

Halangan bahasa

Kesukaran Fazlan beralih ke SMK, walaupun fasih dalam BM, mungkin menunjukkan betapa sukarnya untuk anak-anak dari latar belakang bukan Melayu membawa diri ke SMK.


Profesor Teo berkata, walaupun cukup berprestasi dalam peperiksaan BM, pelajar berpendidikan vernakular mengalami kesukaran menggunakan bahasa itu untuk berinteraksi.

"Para pelajar belajar Bahasa Malaysia dari orientasi instrumental, iaitu untuk lulus peperiksaan mereka, dan di sekolah menengah, untuk mendapatkan sijil SPM.

"Tetapi BM perlu diajar melalui orientasi berintegratif, iaitu untuk berintegrasi dengan penduduk Melayu dan rakyat Malaysia," katanya.

Kesukaran untuk bertutur BM disebabkan kurangnya peluang untuk menggunakannya dalam percakapan harian, kata Lucas Yap.

Yap, 33, berhadapan masalah itu walaupun beliau menghadiri sekolah menengah di mana bahasa pengantarnya adalah BM. Ini kerana di SMJK yang dihadirinya di Melaka, 95 peratus pelajar adalah kaum Cina.

Gambar ihsan Lucas Yap

Lucas Yap (kiri) di SJKC.

Gambar ihsan Lucas Yap

Lucas Yap (paling kiri) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.

Pelajar Melayu yang menghadiri sekolahnya juga berasal dari SJKC, jadi mereka kebanyakannya akan berbual dalam bahasa Mandarin, katanya.

"Saya tidak mempunyai ramai rakan Melayu atau India di sekolah, jadi satu-satunya orang yang boleh saya berlatih adalah bersama guru BM saya," katanya.

Pada usia 18 tahun, beliau telah berpindah ke SMK di mana majoritinya kaum Melayu untuk meneruskan pembelajaran ke Tingkatan 6 dan di sinilah beliau bertemu dunia yang berbeza, katanya.

“Saya mendaftar lewat kerana perpindahan itu mengambil masa, jadi satu-satunya tempat duduk yang ada adalah bersebelahan pelajar-pelajar Melayu.

"Apabila saya mula-mula bercakap dengan mereka, saya terpaksa merangka ayat satu persatu terdahulu sebelum memulakan perbualan,” katanya.

Selain mengembangkan kemahiran BM, Yap berkata Tingkatan 6 juga tempat dia belajar bergaul dengan kaum yang lain.

"Kami banyak berinteraksi dan saya juga boleh bertanya banyak perkara kepada rakan-rakan Melayu mengenai agama atau gaya hidup mereka. Sesetengahnya soalan agak bodoh, seperti bolehkah anda (kaum Melayu) menelan air liur ketika berpuasa pada bulan Ramadan?” katanya.

Gambar ihsan Lucas Yap

Tingkatan 6 memberi peluang untuk Lucas Yap bergaul dengan remaja kaum lain.

Ramadan juga membawa detik pembelajaran untuk kedua-dua pihak, termasuk ketika Yap bertanya kepada rakan Melayunya jika dia boleh makan di hadapan mereka.

Pelajar-pelajar tersebut dapat berunding sesama mereka dan mencari cara untuk berkongsi ruang supaya keperluan masing-masing dipenuhi, katanya.

“Saya pernah makan daging khinzir di kelas kerana pada waktu itu, keluarga saya merayakan perayaan dumpling. Saya bertanya kepada rakan-rakan terlebih dahulu tetapi mereka kata tidak mengapa,” katanya.

Pemahamannya tentang masyarakat Melayu semakin mendalam apabila menghadiri universiti awam, di mana dia mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan lebih ramai pelajar Melayu.

"Ia mengubah pemikiran saya. Saya nampak orang Melayu miskin menghadapi masalah yang sama seperti kita semua. Ia meninggalkan kesan mendalam kepada saya," katanya.

Melalui pergerakan aktivisme pelajar, Yap juga berpeluang terdedah kepada perjuangan masyarakat terpinggir, termasuk peneroka Melayu yang terusir dari rumah mereka.

"Ia mengubah pemikiran saya. Saya nampak orang Melayu miskin menghadapi masalah yang sama seperti kita semua. Ia meninggalkan kesan mendalam kepada saya," katanya.

Gambar ihsan Lucas Yap

Lucas Yap memegang plakad tulisan Tamil di sebuah demonstrasi.

Masyarakat berasingan

Pengalamannya berbeza dengan Walter Chou, 30, yang dibesarkan dalam kejiranan kaum Cina di Kuala Lumpur, dan menghadiri SJKC.


Setelah tamat sekolah rendah, ibunya memilih untuk mendaftarkannya di sekolah menengah persendirian Cina berasrama yang terletak jauh dari rumahnya, supaya beliau lebih berdikari.

Kini merupakan seorang guru di sekolah Cina persendirian, Chou tidak mempunyai seorang pun sahabat warganergara Malaysia dari kaum berbeza.

“Saya rasa kadang-kadang saya bukan berada di Malaysia. Saya mempunyai komuniti kecil sendiri. Tetapi ini bukan pilihan saya,” katanya.

Gambar oleh Aidila Razak

Walter Chou, seorang guru di sekolah persendirian Cina, memberi kerja rumah yang membolehkan anak-anak muridnya dapat melihat di luar kepompong etnik mereka.

Menurut Chou, beliau sukar untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan rakyat Malaysia dari kaum lain atas faktor bahasa.

Beliau fasih dalam menulis dan membaca BM atas usaha gurunya di sekolah menengah persendirian Cina yang amat dedikasi, namun dari segi pertuturan hanya cukup untuk membeli barang di pasar, katanya.

"Saya tidak didedahkan kepada bahasa yang berbeza, dan saya tidak pernah mempunyai peluang untuk belajar dari kaum lain.

"Kini saya rasa tidak yakin untuk bercakap dengan orang lain, kerana saya tidak dapat mengekspresikan diri saya sepenuhnya," katanya.

Bolehkah aktiviti kokurikulum menjadi jambatan?

Menyedari batasannya sendiri, Chou cuba memberi kesempatan kepada pelajarnya untuk melihat di luar kepompong etnik mereka sendiri.


Antaranya, beliau memberikan tugasan kepada pelajarnya yang memerlukan mereka mendapat maklumat berkenaan gaya hidup dan kepercayaan komuniti lain di Malaysia.

Baru-baru ini beliau menayangkan sebuah filem bertajuk Gadoh untuk pelajar-pelajarnya. Filem tersebut menceritakan kisah sekumpulan remaja yang bertembung dengan garis kaum berbeza.

Namun, katanya, pelajar-pelajarnya tidak dapat mengikuti filem tersebut yang dalam BM, dan memintanya untuk menyediakan sari kata Cina.

Tayangan filem ini merupakan sebahagian daripada kerjasama dengan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dalam projek mereka untuk merapatkan jurang di antara anak-anak Cina yang belajar di sekolah Cina persendirian dan masyarakat umum.

Antaranya, mereka menganjurkan aktiviti kokurikulum seperti pertandingan memburu harta karun pada bulan Jun lalu, yang melibatkan 110 pelajar dari sekolah persendirian Cina dan sekolah Islam swasta. Setiap pasukan perlu mempunyai ahli dari dua jenis sekolah.

"Pada penghujung acara, kami menyedari bahawa para pelajar mula mengikuti Instagram dan Facebook masing-masing," kata Lucas Yap, yang juga merupakan sebahagian daripada pengelola projek tersebut.

  • Gambar ihsan Dong Zong

  • Gambar ihsan Dong Zong

  • Gambar ihsan Dong Zong

  • Gambar ihsan Dong Zong

Pelajar sekolah Cina dan pelajar sekolah agama swasta mengambil bahagian dalam program memburu harta karun di Kuala Lumpur, sebahagian daripada aktiviti oleh Dong Zong dan rakan kongsi lain untuk merapatkan jurang antara pelajar berlainan etnik. Pelajar sekolah agama swasta juga telah melawat sekolah persendirian Cina untuk Tahun Baru Cina

Tidak lama lagi, mereka akan menjadi tuan rumah 'Kem Muhibbah', yang melibatkan lebih ramai pelajar dari pelbagai etnik. Kem ini bertujuan membantu kanak-kanak belajar tentang budaya masing-masing dalam suasana yang tidak dapat diperolehi dalam sekolah-sekolah mono-etnik mereka.

Aktiviti-aktiviti ini agak serupa dengan aktiviti yang diadakan oleh kementerian di bawah Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (Rimup) yang dilancarkan seawal 1986.

Bagaimanapun, dengan peruntukan sebanyak RM1,500 setiap sekolah, keberkesanan Rimup mungkin terbatas.

Malah, program mempromosi integrasi yang mempunyai berperuntukan besar juga memberi kesan yang terhad.

Dalam mengkaji hubungan antara etnik di antara belia di Malaysia, Ananthi dan rakan penyelidiknya Miles Hewstone telah membuat sebuah kajian yang memeriksa kesan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Program tiga bulan yang dihadiri remaja berusia 18 tahun ini bertujuan menggalakkan persahabatan antara kaum. Ia menelan kos RM400 juta setahun dan telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam kajian mereka, Ananthi dan Hewstone meminta pelatih PLKN untuk menjawab soalan-soalan yang mengukur sikap mereka terhadap kaum yang berbeza, sebelum dan selepas program tersebut.

Hasilnya kemudian dibandingkan dengan jawapan pelajar-pelajar kolej yang tidak mengikuti PLKN, yang ditanya soalan yang sama.

"Perubahan yang dialami oleh pelatih PLKN tidak banyak beza dengan perubahan yang dialami oleh pelajar-pelajar kolej, yang hanya menjalani kehidupan harian mereka seperti biasa."

Didapati peserta PLKN mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap peserta yang berlainan kaum selepas tamatnya program itu.

Namun peningkatan itu adalah lebih kurang sama dengan dari pelajar-pelajar kolej yang tidak menjalani PLKN.

“Dalam erti kata lain, perubahan yang dialami oleh pelatih PLKN tidak banyak beza dengan perubahan yang dialami oleh pelajar-pelajar kolej, yang hanya menjalani kehidupan harian mereka seperti biasa,” kata mereka dalam artikel yang diterbitkan British Journal of Social Pyschology pada tahun 2012.

Sekolah buat semua rakyat

Profesor Teo percaya salah satu cara untuk mengatasi masalah pengasingan di peringkat sekolah ialah untuk menggabungkan semua sekolah berlainan aliran, supaya anak-anak dari pelbagai latar belakang boleh belajar dan membesar bersama.


Namun, bukan mudah untuk mendapatkan sokongan masyarakat.

Beberapa percubaan kerajaan untuk memperkenalkan projek perintis bagi menangani masalah integrasi di sekolah menerima tentangan, terutamanya dari kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Zong.

Kumpulan pendidik Cina ini risau bahawa ini usaha asimilasi yang berasaskan objektif akhir Laporan Razak untuk menjadikan BM bahasa pengantar untuk semua sekolah.

Antara percubaan lampau termasuk Projek Sekolah Integrasi pada tahun 1980-an, yang mana sekolah-sekolah rendah vernakular terpilih perlu mengadakan aktiviti kokurikulum bersama sekolah rendah kebangsaan.

Pada awal alaf baru, kerajaan melancarkan Projek Sekolah Wawasan - sekolah vernakular dan sekolah rendah kebangsaan ditempatkan di kompleks yang sama. Pelajar berkongsi kemudahan seperti kantin atau padang, tetapi sesi pembelajaran dan pentadbiran sekolah tetap berasingan.

Gambar ihsan SK Dato' Onn Jaafar

Sekolah Wawasan masih beroperasi hingga ke hari ini, tetapi impaknya terhadap integrasi mungkin terhad, berdasarkan kajian sampel yang diterbitkan pada tahun 2017.

Kajian ini melibatkan 60 pelajar berbangsa Melayu dari SRK dan 29 dari kaum India dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang dalam kompleks Sekolah Wawasan yang sama.

Kajian itu mendapati bahawa semua pelajar Melayu dari SRK berkata mereka hanya berinteraksi dengan rakan Melayu pada masa rehat, manakala hanya 3.4 peratus daripada murid kaum India di SJKT berinteraksi dengan anak-anak kaum berlainanan.

Ini kerana peluang untuk berinteraksi begitu terhad sehingga tidak boleh mengatasi ikatan antara kanak-kanak dari kaum yang sama yang terbentuk kerana mereka berkongsi bahasa, budaya dan kepercayaan agama, kata penyelidik Suresh Kumar N Vellymalay dan Puvaneswary Murugaiah.

"Walaupun mereka berkongsi kemudahan umum dan terlibat dalam aktiviti sekolah bersama, terdapat peluang yang terhad untuk berinteraksi di kalangan murid sekolah yang berbeza disebabkan oleh sistem pentadbiran dan kurikulum sekolah masing-masing," kata mereka.

Kata Teo, untuk memulakan perbincangan produktif berkenaan menggabungkan semua aliran, naratifnya perlu diubah dari sesuatu yang boleh merugikan sesuatu pihak.

Sebaliknya katanya, sekolah gabungan ini mestilah menggabungkan nilai-nilai terbaik sekolah kebangsaan, sekolah vernakular dan sekolah agama.

Matlamatnya untuk menjadikan sekolah kebangsaan pilihan utama untuk semua ibu bapa, bagi pendidikan anak mereka, katanya.

Dalam minda Teo, sekolah ini berjalan dari pukul 7 pagi hingga 3 petang dan sesi pembelajaran dibahagikan antara pembelajaran akademik, pendidikan etnik (termasuk belajar bahasa ibunda dan warisan budaya) serta pendidikan agama atau moral.

"Saya percaya jika kita menunjukkan cadangan ini kepada orang ramai, sekurang-kurangnya kita boleh mula bercakap tentang sekolah satu aliran,” katanya.

Setakat ini, pandangan masyarakat berkenaan isu ini berbelah bahagi.

Responden dalam kaji selidik Vase.ai tersebut menunjukkan hanya 51 peratus responden setuju mewujudkan sistem pendidikan yang menggabungkan semua sekolah vernakular, termasuk sekolah agama.

Mereka yang menyokong gabungan aliran berkata ia menggalakkan perpaduan, dan mereka yang tidak menyokongnya risau akan diskriminasi kaum di sekolah-sekolah ini, serta kehilangan warisan bahasa dan budaya.

Bagi Dong Zong, usaha mempromosi hanya satu aliran seolah-olah menuding jari ke arah sekolah vernakular untuk masalah integrasi, tanpa mengambil kira yang pendidikan aliran Cina di Malaysia juga menekankan nasionalisme.

“Saya sendiri graduan SJKC, sekolah persendirian Cina dan melanjutkan pelajaran saya ke Taiwan. Namun, semasa di Taiwan, pelajar Malaysia sering mengibarkan Jalur Gemilang dan menganjurkan makan malam untuk Hari Kebangsaan pada Ogos 31," ahli jawatankuasa Dong Zong Low Chee Chong berkata.

Daripada menjadikan pendidikan Cina satu masalah, lebih baik jika kerajaan menggalakkan hubungan antara kaum dan menghadapi isu-isu yang boleh merenggangkan masyarakat dengan cara yang lebih positif, katanya.

“Kepelbagaian kaum adalah satu aset di Malaysia. Ia bukan satu beban. Hanya seorang ahli politik yang berfikiran akan gagal memahaminya," kata Low, yang mengetuai jawatankuasa perkembangan pendidikan Cina.

Hilang kebolehan hidup bersama

Ahli psikologi sosial Ananthi bersetuju bahawa kepelbagaian kaum merupakan satu aset, dan penghapusan sekolah vernakular boleh menyebabkan kehilangan besar dari segi kepelbagaian budaya dan bahasa di Malaysia.


Namun, beliau juga percaya bahawa model sekolah gabungan Teo mempunyai kebaikan kerana anak-anak akan meluangkan paling banyak masa bersama.

Beliau percaya model gabungan itu hanya boleh berjaya jika budaya dan bahasa minoriti diberikan ruang yang setimpal dalam sukatan pelajaran, dan budaya dan bahasa tersebut dianggap elemen yang penting di sekolah.

“Jadi saya pergi makan tengah hari sendiri, dan kamu pergi makan tengah hari sendiri.”

Katanya tanpa peluang berinteraksi dan membina hubungan erat dengan kaum lain di peringkat kanak-kanak, rakyat Malaysia semakin lama semakin hilang kebolehan hidup bersama.

Dalam kajiannya yang terdahulu, beliau menemubual pekerja-pekerja di sebuah syarikat besar di Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Apabila ditanya tentang hubungan mereka dengan rakan sekerja berbeza kaum, apa yang timbul adalah isu-isu remeh seperti perkongsian peti sejuk, bahasa apa yang digunakan apabila dalam kumpulan yang majmuk atau sama ada mereka boleh makan tengah hari bersama-sama.

Sebagai contoh, pekerja kaum Cina mengeluh kerana tidak dapat membawa hidangan daging khinzir dari rumah untuk dimakan di tempat kerja, tapi pekerja Melayu risau pinggan yang dikongsi atau pencuci piring terkena daging bukan halal.

Sementara itu, pekerja Melayu mengadu mereka rasa disisihkan apabila rakan kaum Cina memilih untuk bercakap dalam bahasa Cina antara satu sama lain di hadapan mereka dan tidak menggunakan Bahasa Inggeris atau BM.

Gambar ihsan Twitter @fax101

Menjaga halal di dapur pejabat merupakan satu isu yang dibangkitkan para pekerja dalam kajian mengenai interaksi dengan rakan sekerja berlainan kaum. Perkara ini juga dibangkitkan di kalangan pengguna sosial media di Malaysia.

"Saya benar-benar berasa walaupun di kalangan tenaga kerja yang berpendidikan, mereka sukar untuk berunding tentang perkara-perkara seperti ini dan tidak tahu isu mana yang penting yang mana tidak.”

Oleh kerana tidak berpengalaman mencari penyelesaiaanya semasa kanak-kanak, katanya, mereka lebih senang mengasingkan diri.

“Jadi saya pergi makan tengah hari sendiri, dan kamu pergi makan tengah hari sendiri.”

Pendidikan pelbagai bahasa

Ini juga menunjukkan keperluan mata pelajaran pendidikan berbilang agama, di mana kanak-kanak diajar tentang agama yang berlainan di sekolah.


Ini penting kerana kanak-kanak kurang berpeluang untuk mempelajari perkara ini dari satu sama lain.

Ini terutamanya untuk pelajar yang menghadiri sekolah agama, katanya, kerana kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia Muslim lebih cenderung kepada identiti agama mereka, berbanding yang lain, katanya.

"Dalam penyelidikan kami, kami mendapati bahawa orang yang lebih cenderung kepada identiti agama mereka mempunyai pandangan yang lebih negatif terhadap agama orang lain. Tetapi kesan ini berkurangan jika mereka mempunyai ilmu mengenai agama lain,” katanya.

"Pengetahuan tentang kepercayaan asas kumpulan lain, memahami bahawa wujudnya persamaan dalam kerohanian kita, kepercayaan kita dan keinginan kita untuk melakukan sesuatu yang baik, adalah sangat penting dalam konteks (negara) yang menjadi semakin kuat beragama," katanya.

Jambatan yang hilang

Walaupun penggubal dasar setuju untuk memperkenalkan pendidikan berbilang agama, tentangan politik yang bakal dihadapi tidak mungkin dapat diselesaikan sebelum anak bongsu Anita, yang berumur 12, tamat sekolah menengah.


Pendidikan juga hanya satu aspek dalam jalan panjang dan berliku menuju ke arah integrasi di Malaysia, yang pelbagai bangsa dan agama.

"Kami dibesarkan dalam situasi setiap orang dihormati dan semua orang boleh masuk ke rumah masing-masing, tapi sekarang orang tidak lagi mengenali kebudayaan masing-masing.”

Misalnya, menggabungkan semua sekolah takkan memulihkan kesenggangan disebabkan Dasar Ekonomi Baru, yang menyebelahi bumiputera.

Walaupun DEB berniat untuk memulihkan kesenggangan ekonomi, ia juga “telah menyebabkan perasaan dendam di kalangan mereka yang tidak mendapat keuntungan dari dasar tersebut. Ini menyebabkan migrasi rakyat dan modal keluar dari Malaysia dan pergerakan (politik) atas dasar etnik,” kata ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram, dalam laporan kajiannya tentang impak dasar ekonomi terhadap perpaduan.

Dasar ini juga telah menyebabkan perpecahan kaum di sektor pekerjaan. Pada tahun 2017, 81 peratus dari penjawat awam adalah bumiputera, dan kebanyakkan bukan bumiputera bekerja di sektor swasta.

Bila dilihat perjalanan mereka setakat ini, Anita percaya anak-anaknya juga akan bekerja di sektor swasta dan akan terpisah dari komuniti Melayu atau Muslim setelah dewasa.

Gambar ihsan Anita Mennen

Aleesah George (dua dari kiri), 12, dan kakaknya Azriela, 17, (kanan) membesar tanpa kawan-kawan Melayu. Ini berbeza berbanding ibu bapa mereka yang menghadiri sekolah kebangsaan.

Sekurang-kurangnya untuk anak-anaknya, Anita dapat menjadi jambatan untuk menghubungkan mereka dengan masyarakat Melayu atau Muslim. Beliau mampu menjawab soalan-soalan yang mereka tentang komuniti tersebut, walaupun mereka tidak dapat berinteraksi sendiri.

Jambatan ini tidak akan wujud untuk generasi akan datang.

"Cucu-cucu saya akan berada dalam situasi yang sangat berbeza."

"Kami dibesarkan dalam situasi setiap orang dihormati dan semua orang boleh masuk ke rumah masing-masing, tapi sekarang orang tidak lagi mengenali kebudayaan masing-masing.”