malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Persalinan batik berusia 34 tahun, zahirkan penghargaan Tunku Azizah kepada Indonesia
ADS

MAGELANG: Persalinan batik berusia 34 tahun, yang menjadi busana pilihan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa berangkat pada istiadat sambutan negara di Jakarta pada Selasa, mempunyai signifikan tersendiri yang tersemat di hati baginda. 

Berkongsi perihal keunikan persalinan batik itu, Tunku Azizah bertitah persalinan batik yang lengkap dengan selendang itu mempunyai nilai sejarah tersendiri, kerana ia dihadiahkan kerajaan Indonesia kepada Tunku Azizah sewaktu mengiringi ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong kelapan mengadakan lawatan rasmi ke republik itu pada 1985.

Raja Permaisuri Agong bertitah baginda memilih mengenakan persalinan batik, sebagai melahirkan tanda penghargaan kepada kerajaan Indonesia dan menonjolkannya pada satu istiadat sambutan negara yang dihadiri baginda, semasa mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena lawatan negara empat hari ke Indonesia.

“Masa saya muda dulu pada Disember 1985, sebelum saya bernikah dengan Tuanku, saya telah mengiringi Paduka Ayahanda saya ke lawatan rasmi ke Republik Indonesia.

“Kalau puan-puan dan tuan-tuan perasan, pada istiadat sambutan negara (di Jakarta pada Selasa), saya memakai batik sarung dan selendang batik. Sebenarnya batik itu telah dihadiahkan oleh kerajaan Republik Indonesia masa itu kepada anak-anak Agong yang mengiringi.

“34 tahun usianya (batik), saya pakai balik. Nak tunjuk saya masih simpan... penghargaan saya kepada Republik Indonesia yang telah menghadiahkannya kepada saya,” titah baginda kepada wartawan yang membuat liputan lawatan Seri Paduka berdua ke tempat bersejarah Candi Borobudur di sini.

Lawatan ke Candi Borobudur itu adalah sebahagian daripada atur cara Seri Paduka berdua semasa berada di Yogyakarta sempena lawatan negara Yang di-Pertuan Agong ke Indonesia sejak Isnin. Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sebelum itu berada di Jakarta untuk lawatan dua hari, di ibu negara republik itu.

Penampilan Tunku Azizah dengan persalinan batik itu turut dizahirkan sendiri oleh baginda, yang berkongsi foto di laman Twitter baginda (@cheminahsayang) yang merakam momen bersama Sultan Abdullah dan Presiden Indonesia Joko Widodo serta isteri, Iriana Joko Widodo pada istiadat sambutan negara di Istana Kepresidenan Bogor.

Dalam rangka lawatan negara baginda di Jakarta, Tunku Azizah berkesempatan mengadakan lawatan ke Pameran ‘World Ikat Textiles 2019-Ikat: Ties That Bind’ di Muzium Tekstil, di Jakarta yang menampilkan hampir 100 koleksi tenun dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, dan Thailand.

Menyentuh pameran itu, Tunku Azizah, yang mempunyai minat mendalam seni tekstil dan rekaan fabrik, bertitah mengenai hubungan antara negara-negara Asean, yang boleh diumpamakan seperti ‘benang yang ditenun menjadi songket’ yang mencerminkan simbolik penyatuan negara-negara serumpun.

“Benang-benang yang kita buat songket yang ditenun tu, kita panggil ‘ikatan yang menyatukan’ yang menyatukan kita sebagai satu Asean, pergi mana-mana negeri pun akan ada tenunan,” titah baginda.

-Bernama

Lihat Komen