malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Pengusaha bas sekolah Orang Asli tak dibayar hingga 5 bulan'
Diterbitkan:  Aug 28, 2019 10:00 AM
Dikemaskini: 2:01 AM
ADS

Anggota Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mendakwa kerajaan gagal membayar perkhidmatan kepada pengusaha bas yang membawa kanak-kanak Orang Asli ke sekolah, sehingga lima bulan.

Akibatnya, Ramli berkata pengusaha bas - yang kebanyakannya juga berasal daripada masyarakat Orang Asli - menimbang untuk memberhentikan perkhidmatan serta merta kerana tidak dapat menampung kos menghantar anak-anak Orang Asli ke sekolah.

"Impak kemungkinan perkhidmatan ini diberhentikan berpunca daripada kegagalan pihak Jakoa dan Jabatan perdana Menteri tidak membuat bayaran upah bagi anak-anak Orang Asli ke sekolah di kawasan Cameron Highlands dan seluruh negara akan menyebabkan anak-anak Orang Asli gagal ke sekolah.

"Ini juga adalah salah satu sebab penyumbang tingginya keciciran anak-anak Orang Asli setiap tahun.

"Kerajaan tidak boleh mengambil mudah berkaitan isu ini dan perlu memastikan pengusaha pengangkutan Orang Asli di Malaysia mendapat bayaran yang tepat pada masanya setiap bulan bagi memastikan kelancaran perkhidmaatan yang mereka berikan," kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.

Ramli menggesa kerajaan menjelaskan perkara ini dan menyelesaikannya secepat mungkin, sambil menambah masalah itu tidak pernah timbul semasa pentadbiran BN.

Ramli, yang merupakan Orang Asli pertama dilantik sebagai anggota Parlimen, mengingatkan kerajaan untuk menunaikan janji bagi memperkasa masyarakat Orang Asli.

Beliau juga menggesa Ketua Pengarah untuk memberi tumpuan bagi melaksanakan dasar memajukan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan bukan hanya sekadar retorik teori pembangunan.

Malaysiakini telah menghubungi Jakoa untuk mendapatkan respons dan sedang menunggu jawapan.

Lihat Komen