malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gesaan agar kerajaan ratifikasi Statut Rom bergema semula
ADS

NGO Gabungan Untuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilancarkan semula dalam usaha menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk meratifikasi treati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi.

Badan Peguam Malaysia hari ini menganjurkan satu syarahan umum oleh hakim ICC, Chung Chang-ho dan forum mengenai mengapa Malaysia sepatutnya akur dengan Statut Rom, yang mentadbir ICC.

Dalam ucapan perasmiannya, Naib Presiden Badan Peguam, Roger Chan mengucapkan terima kasih kepada Chung kerana kesudiannya datang dari The Hague, Belanda untuk memberi penjelasan mengenai tugas mahkamah berkenaan.

"Terdapat salah faham yang besar tentang Statut Rom ICC di rantau Asia, syarahan seperti ini oleh Hakim Chung akan membantu dalam pemahaman (terhadap mahkamah tersebut) dan mengurangkan salah tanggapan mengenai ICC," katanya di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di Kuala Lumpur.

Antara yang hadir ialah Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, Pesuruhjaya Suhakam Lok Yim Pheng, Presiden Badan Peguam, Abdul Fareed Abdul Gafoor, ahli-ahli Badan Peguam serta wakil-wakil daripada Jabatan Peguam Negara dan badan bukan kerajaan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun, Hakim Mahkamah Rayuan Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril turut dilihat hadir.

Chung, yang berasal dari Korea Selatan, dipilih oleh ICC pada 2015 dan mengetuai prosiding perbicaraan.

Dalam pembentangannya petang ini, beliau menjelaskan secara terperinci bagaimana hanya kes paling kejam melibatkan jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah pencerobohan boleh dibawa ke mahkamah itu.

Chung menegaskan bidang kuasa ICC adalah terhad dengan mematuhi prinsip "melengkapi" dan tidak akan mengatasi mahkamah sesebuah negara jika ia berfungsi dengan baik.

"Kita tidak boleh campur tangan bila-bila masa yang kita mahu.

"Kita perlu menunggu sehingga sesuatu negara (penandatangan) menghantar kes kepada kami. Kemudian baru kami boleh mulakan siasatan atau perbicaraan bagi pihak kerajaan yang berkenaan,"katanya.

Malaysia menarik diri daripada Statut Rom pada April tahun ini walaupun telah menandatanganinya sebulan sebelum itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan membuat keputusan menarik diri selepas terdapat usaha pihak tertentu cuba melibatkan sultan untuk menentang kerajaan berhubung ratifikasi statut berkenaan.

Antara pengkritik ICC paling lantang ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang bertitah ratifikasi Statut Rom melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana akan memberi kesan kepada raja-raja Melayu, hak istimewa Melayu dan  agama Islam.

Kerajaan berulang kali menafikan ia akan memberi kesan buruk kepada negara.

Semasa forum hari ini, peguam jenayah yang juga penasihat undang-undang ICC, N Sivananthan berkata raja berperlembagaan seperti di Malaysia hanya mempunyai sedikit risiko pendakwaan oleh ICC.

Negara Raja Berperlembagaan seperti Kemboja, Jepun, Jordan dan United Kingdom sebelum ini telah menandatangani Statut Rom.

"Statut Rom mempunyai bidang kuasa yang terhad hanya meliputi jenayah yang paling teruk, kini hak Melayu tidak terjejas oleh penyertaan atau ratifikasi statut kerana ia tidak termasuk dalam bidang kuasanya [...]

"Begitu juga, undang-undang terhadap individu bukan heteroseksual bukan perkara subjek Statut Rom. Statut Rom tidak sama sekali tidak bersesuaian dengan Islam," kata Sivananthan sebagai respon terhadap kebimbangan berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen