malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Apabila Umno dan PAS bekerjasama, ramai beranggapan ia adalah kerjasama politik untuk berkuasa. Benar, itu adalah salah satu misinya - untuk membentuk kerajaan dan memerintah semula, dengan izin Allah.

Tetapi, selain kuasa, ia juga harus mempunyai pengertian lain yang lebih besar. Umno mesti menggunakan peluang ini untuk memberi nilai dan terjemahan baru kepada perjuangannya.

Umno harus membangunkan naratif politik baru dengan pemikiran dan nilai Islami. Ini tidak bermakna ideologi kebangsaan yang selama ini menjadi nadi Umno telah lapuk dan tidak lagi relevan dan bernilai.

Tetapi, perubahan konteks, modenisasi, globalisasi serta demografi masyarakat menyaksikan bahawa perjuangan kebangsaan tanpa Islam tidak akan membawa Umno ke mana-mana. Malah, ia tidak akan membawa orang Melayu dan umat Islam ke mana-mana.

Orang Melayu dan umat Islam memerlukan Umno yang Islami kerana orang Melayu boleh unggul tanpa Umno. Tetapi orang Melayu akan lemah dan tersasar tanpa Islam.

Umno dan ideologi kebangsaannya harus bersifat sezaman. Ia harus dicorak dan diselaraskan dengan keperluan dan tuntutan yang bukan saja selari dengan kehidupan hari ini, tetapi dibaluti dengan nilai Islam yang segar, bersumberkan wahyu dan dipersembahkan dalam kerangka demokrasi yang progresif.

Pilihan Umno mungkin apa yang saya namakan ideologi "Melayu Islam Demokratik" (MID).

Kenapa saya berasakan ini jalan ke hadapan untuk Umno, untuk orang Melayu dan umat Islam?

Boleh jadi ekstrem

Pertama, kerana ideologi kebangsaan tidak pernah bercanggah dengan Islam. Mengasihi bangsa dan tanah air adalah sebahagian dari apa yang digambarkan sebagai "hubbul wathan minal iman".

Maknanya, mencintai dan membangunkan tanah air dan bangsa itu adalah sebahagian daripada iman. Ia senafas dan sealiran.

Agama dan nasionalisme mesti saling memperkuat dalam membangun bangsa dan negara. Dua unsur ini tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.

Islam memerlukan tanah air sebagai medan dakwah dan penyebaran syiarnya. Tanah air pula memerlukan siraman nilai-nilai agama agar tidak tandus dan kering dengan pedoman.

Gambar fail

Agama tanpa nasionalisme akan menjadi ekstrem, sedangkan nasionalisme tanpa agama akan kering dan lohong. Jika agama dimaksudkan sebagai jalan hidup, maka agama mesti berperanan dalam realiti kehidupan.

Dan realitinya ialah, setiap manusia memiliki kecintaan semula jadi kepada tanah airnya. Sehingga ia berasa aman menetap di dalamnya, selalu merindukannya ketika berjauhan, mempertahankannya ketika diserang dan akan marah apabila ia dicela.

Kedua, nilai kebangsaan memerlukan nilai tambah. Tujuh puluh tahun dulu ideologi kebangsaan digelorakan untuk mengusir penjajah dan menuntut kemerdekaan.

Setelah 60 tahun memerintah, kita mengisi kemerdekaan ini dengan semangat nasionalisme yang tulen. Tetapi Umno harus wujud seumur masa.

Lalu apa lagi lonjakan baru yang lebih aula dalam ideologi kebangsaannya jika bukan disulami dengan Islam?

Ideologi bersumber wahyu

Selepas memberikan bangsa ini sebuah tanah air dan asas untuk menyuburkan patriotisme sejati, Umno kini harus mempersembahkan Islam pula. Ia bukan sekadar melaung atau mendakwa Islam itu nadi perjuangannya.

Dan apabila kita mengungkap ideologi kebangsaan yang Islami, ia mesti bersandarkan nilai Islam sebenar. Umno tidak boleh sekali-kali menggunakan Islam sebagai modal demi kepentingan politik.

Tetapi Umno harus mempersembahkan Islam dengan segala hikmah dan nilai kebaikan agama ini dalam konteks dan amalan bernegara. Lebih-lebih lagi kepada Malaysia yang majmuk.

Umno mesti menggali samudera hikmah dalam Islam dan segala sumbernya untuk memberikan jalan penyelesaian kepada segala macam masalah yang dihadapi oleh Malaysia dan penduduknya. Malah, perlu merekayasa pemikiran dan ideologi politiknya.

Insya-Allah, melalui pemikiran dan ideologi politik bersumberkan wahyu dan Islam, akan terbit kecerdasan baru dalam merumus pelbagai dasar unggul, adil dan inklusif.

Akhirnya akan terjelmalah parti politik yang bukan sahaja mempunyai keupayaan tadbir urus yang baik, telus dan demokratik, tetapi mampu mempersembahkan Islam sebagai jalan kehidupan, pentadbiran dan kemasyarakatan yang sederhana serta moden.


Baca Syukur saya dah keluar PAS, kata Mariah


Ketiga, meletakkan Islam sebagai tunjang kebangsaan akan menyumbang kepada pembangunan ideologi politik Melayu yang sangat demokratik dan memperjuangkan keadilan sosial.

Dalam konteks demokrasi berperlembagaan, saya yakin, Islam akan berupaya menjadikan Umno sebuah parti yang didukung oleh orang Melayu yang lebih rasional, bertimbang rasa, telus dan moden.

Malaysia negara demokratik. Sumber kekuatan sebenarnya ialah pada rakyat, dengan dipandu perlembagaan. Maka, membelakangkan sistem yang telah sebati dan berfungsi dengan baik di Malaysia pastilah bukan pilihan yang cermat. Malah, sangat tersasar.

Justeru jalan yang sebaik-baiknya ialah menterjemah segala hikmah Islam itu dalam rangka demokrasi dengan amalan yang demokratik.

Umno mesti menggunakan kerjasamanya dengan PAS untuk mengemukakan pemikiran politik yang meyakinkan orang Melayu dan bukan Melayu.

Orang Melayu memerlukan jaminan bahawa ideologi politik Umno tidak akan membelakangkan nilai kebangsaan dan pada waktu yang sama mengangkat Islam ke tahap yang sewajarnya.

Orang bukan Melayu pula, ingin sekali mereka melihat Umno terus mendukung demokrasi dan amalan bernegara yang demokratik dengan kecerdasan pemikiran yang luar biasa.

Bukanlah mudah untuk menterjemahkan ini semua. Tetapi kesederhanaan yang ditunjukkan oleh Umno selama lebih 60 tahun memerintah pasti menyediakan parti ini dengan segala keperluan untuk meneroka jalan baru yang lebih unggul.

Dan jalan itu ialah politik Melayu Islam Demokratik. Ini jalan masa hadapan yang akan menyeru kebangkitan dengan nilai dan makna sebenar.

Umno tidak boleh kekal pada takat lama. Setidak-tidaknya, bukan dengan sekadar agenda Melayu dan hidup Melayu.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen