malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS nak jemput Asri saksi majlis meterai piagam dengan Umno
ADS

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdin, antara tokoh berprofil tinggi yang dicadang bakal diundang menghadiri majlis menandatangani Piagam Umno-PAS pada 14 September depan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya mungkin akan menghantar jemputan kepada Mohd Asri untuk ke majlis tersebut.

"Mungkin kita akan jemputlah mufti Perlis ke (majlis) hari menandatangani piagam (Umno-PAS).

"Kita akan bagi jemputan, saya rasa usaha ini perlu disambut juga oleh beliau sebagai seorang ulama," katanya kepada media ketika ditemui di program kempen kibarkan Jalur Gemilang di Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin sebelum itu menghadiri kempen mengibar Jalur Gemilang sempena kedatangan sambutan Hari Kebangsaan akhir bulan ini.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian sehari selepas beberapa pemimpin kanan PAS - dan disertai pemimpin Umno - berkunjung ke rumah Mohd Asri di Kangar.

Antara yang hadir ialah Anggota Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz; Pengerusi Umno Perlis merangkap Anggota Parlimen Arau, Shahidan Kassim; Timbalan Ketua Umno Kangar, Dr Fathul Bari Mat Jahaya; dan anak didik Dr Zakir Naik, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

 

Berdasarkan hantaran di Facebook Mohd Asri, menyertai rombongan berkenaan ialah individu dikenali sebagai Maulana Shaari. Ia dipercayai orang yang sama disebut oleh Nik Abduh dalam rakaman audio digelar "Ana Tahu" yang tular tidak berapa lama dulu.

Menurut Takiyuddin kunjungan ke rumah Mohd Asri itu bersifat ziarah peribadi sesuai dengan kedudukan mufti terbabit sebagai "rakan" PAS.

"Semua kawan kita, mufti Perlis itu pun mesra dengan kita, tak ada masalah.

"Jadi yang pergi itu saya difahamkan atas dasar ziarah-mengziarahi. Tidak ada (misi tertentu)," katanya.

Lihat Komen