malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menantu Hadi sudah dipanggil beri penjelasan
ADS

Jawatankuasa Disiplin PAS sudah memanggil menantu Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad, untuk memberi penjelasan mengenai isu "kartel dedak" yang membabitkan beberapa pemimpin parti berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan lanjut mengenai isu berkenaan akan dibuat jawatankuasa tersebut.

Katanya Zaharudin memberi penjelasan - mengenai dakwaan ada antara pemimpin PAS menerima "dedak" daripada orang Umno - kepada anggota jawatankuasa disiplin parti.

Ketika ini kata Takiyuddin PAS akan memberikan masa kepada badan berkenaan membuat siasatan.

"Kita (PAS) bagi ruang seluas-luasnya kepada jawatankuasa tatatertib (disiplin) untuk membuat siasatan, kemudian membuat keputusan," katanya.

Takiyuddin ditemui media pada progam kempen kibar Jalur Gemilang di Kota Bharu, hari ini.

Sekitar tiga bulan lalu, menantu presiden PAS itu mencuri perhatian ramai apabila bersuara mengenai dana daripada Umno - atau orang Umno - yang diterima pemimpin tertentu dalam PAS.

Timbul keresahan dalam masyarakat

Menggelarkan kumpulan itu sebagai "kartel dedak" Yang Dipertua PAS Sungai Buloh itu memberi bayangan beberapa nama yang terbabit dengan gelaran atau simbolik tertentu.

Mereka dirujuk Zaharudin sebagai Dr Hussam II, Mr NT, Mr KT, Mr KH dan individu yang kelima sebagai “semua dah tahu.”

Bagaimanapun sebahagian daripada mereka dipercayai merujuk kepada Anggota Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz; dan Anggota Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali.

Ekoran pertikaian terbuka itu PAS kemudian mengeluarkan arahan melarang semua anggotanya daripada membawa dan membincangkan sebarang isu berkaitan urusan parti di media dan media sosial.

Sementara itu ditanya mengenai tindakan undang-undang terhadap pihak tententu yang didapati sengaja memasang bendera Malaysia secara terbalik dan berwana hitam putih, Takiyuddin menegaskan hukuman tegas perlu diambil berikutan perbuatan terbabit mencabar kedaulatan negara serta bersifat provokasi.

Takiyuddin yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, denda RM500 dikenakan terhadap sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap, Kuantan - yang didapati memasang Jalur Gemilang terbalik baru-baru ini - tidak memadai.

"Dari segi undang-undang, tidak semestinya kesalahan itu (memasang bendera terbalik) disebut secara terus, namun tindakan itu tetap menjadi kesalahan kerana menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

"Saya juga pernah dipanggil ke balai polis kononnya menimbulkan provokasi dalam satu ceramah sebelum ini.

"Justeru, saya merasakan memasang Jalur Gemilang terbalik adalah satu tindakan mencabar kedaulatan negara dan semangat kenegaraan yang jelas menjadi satu kesalahan dibawah undang-undang mahupun dari segi moral," katanya.

Lihat Komen