malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kami perlu tunjuk 'motif dan sangkaan buruk', kata peguam Zakir
Diterbitkan:  Aug 27, 2019 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM
ADS

Notis undang-undang diserah Dr Zakir Naik kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, dirangka mengikut peraturan dan untuk menunjukkan mengapa tindakan itu diambil, kata peguam pendakwah terbabit, Akberdin Abdul Kader.

Peguam itu juga menafikan dakwaan pemimpin DAP itu bahawa kenyataan tertentu dalam notifikasi kedua - bertarikh 23 Ogos lalu - boleh dianggap sebagai tindakan mencampuri urusan politik dalaman negara ini.

"Kami berpandu kepada peruntukan statutori dan undang-undang kes. Apabila bertindak untuk anak guam, kami perlu mendedahkan fakta yang berkaitan dan fakta yang relevan. Kami berpandukan keperluan undang-undang.

"Inilah yang kita kumpulkan dan temui untuk menunjukkan motif dan sangkaan buruk (untuk membuat kenyataan yang kritikal terhadap Zakir).

"Hal ini tak ada kaitan dengan isu peribadi. Menjadi tanggungjawab kami untuk berbuat demikian," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Ramasamy akan membuat laporan polis terhadap Zakir kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal politik negara ini.

Ramasamy berkata demikian ketika mengulas notis tuntuan kedua daripada Zakir - bertarikh 23 Ogos - yang mengaitkan kritikan Adun Prai itu dengan kedudukannya dalam DAP.

Untuk hormati pihak satu lagi

Menurut Ramasamy, notis guaman berkenaan tidak profesional apabila Zakir mendakwa beliau cuba meraih populariti yang semakin merosot dalam DAP.

"Tambahan pula, beliau (Zakir) menuduh saya menyalahgunakan kedudukan saya sebagai timbalan ketua menteri II dan sebagai individu di belakang protes terhadapnya di Brickfields ( yang kemudian dibatalkan) pada 24 Ogos 2019.

"Bukankah notis guaman kedua ini adalah satu lagi campur tangan Zakir dalam politik tempatan? Ini adalah sesuatu yang sudah diperingatkan oleh polis kepadanya," katanya.

Akberdin Abdul Kader

Kandungan notis kedua Zakir itu juga mengejutkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan menganggapnya sebagai mengesahkan bahawa pendakwah yang dikehendaki New Delhi itu terus mencampuri politik Malaysia.

Notis tuntutan kedua Zakir itu dibuat berdasarkan temu bual Ramasamy dengan India Today.

Menganggap kenyataan dibuat itu sebagai fitnah, Zakir memberi tempoh 48 jam kepada Ramasamy untuk ia ditarik balik, membuat permohonan maaf tanpa syarat dan menawarkan pampasan berpatutan sebagai penyelesaian.

Bagaimanapun Ramasamy berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan Zakir di mahkamah.

Menurut Akberdin, isu yang disebut dalam notis tuntutan itu akan dibangkitkan lagi selepas ini jika ia didengar di mahkamah.

"Notis tuntutan tersebut lebih bersifat menghormati pihak yang berkenaan agar mereka memaklumi pendirian (anak guam) kami, tuntutannya serta tindakan yang akan datang (jika tuntutan awal tidak dipenuhi).

"Fakta-fakta relevan akan diperakui dalam dokumen mahkamah," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen