malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-58: RM2.6b tak ada kaitan dengan RM42j dalam akaun Najib - saksi
ADS

LANGSUNG l Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Razak yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-58 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawa anda laporan langsung prosiding.


Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


AG secara rasmi tutup pendakwaan

12.18pm - Peguam Negara Tommy Thomas secara rasmi menutup kes pendakwaan terhadap Najib Razak.

Thomas kemudian menawarkan 66 saksi kepada pihak pembelaan.

Tommy Thomas 

"Perbicaraan bermula 3 April dan ia kini selesai dengan saksi ke-57 (Rosli Hussain).

"Kami ingin menawarkan 66 saksi untuk pembelaan dan untuk kemudahan semua pihak, kami mempunyai senarai saksi yang ditawarkan itu.

"Dengan ini, saya secara rasmi menutup kes pendakwaan," kata Thomas.


12.14 pm - TPP Suhaimi Ibrahim menggulung pemeriksaan balas bersama IO SPRM Rosli Hussain.

AG Tommy Thomas kini akan mengemukakan hujah penutupan.


Sumbangan Putera Arab Saudi tiada kaitan dengan SRC International

11.26am - Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberi keterangan bahawa RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan dalam akaun Najib Razak tidak ada kaitan dengan RM42 juta yang didakwa masuk ke akaun lain bekas perdana menteri itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh DPP Suhaimi Ibrahim, saksi ke-57 itu berkata ia adalah sebab mengapa dia tidak menyiasat dakwaan berkenaan.

"Berdasarkan siasatan saya, saya mendapati bahawa wang (yang didakwa merupakan derma) telah habis digunakan sebelum Jun 2014. Ia tidak ada kaitan dengan wang SRC (RM42 juta) yang masuk ke akaun Najib.

"Saya tidak menyemak Kementerian Kewangan Riyad dan Putera Faisal (kedua-duanya didakwa terlibat dalam sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib) kerana ia tidak ada kena mengena dengan siasatan saya, kerana RM2.6 bilion ini adalah siasatan 1MDB dan tiada apa-apa kaitan dengan SRC," katanya.


Tiada aduan rasmi dibuat terhadap pemalsuan tandatangan oleh SRC

11.12am - Pendengaran disambung semula dengan pemeriksaan balas Rosli Hussain oleh timbalan pendakwa raya Suhaimi Ibrahim.

Rosli memberitahu mahkamah bahawa sepanjang siasatannya, SRC tidak pernah memfailkan sebarang aduan mengenai tandatangan palsu yang dipunyai oleh bekas pengarah syarikat itu, Suboh Md Yassin atau bekas CEOnya Nik Faisal Ariff Kamil.

Nik Faisal Ariff Kamil

"Saya tidak menerima aduan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan dakwaan bahawa tandatangan itu dipalsukan ... jadi saya tidak (lihat ada keperluan) merujuk tandatangan itu kepada pakar tulisan tangan," kata Rosli.

Suhaimi menegaskan bahawa isu tandatangan yang dipalsukan sebelum ini telah dibangkitkan semasa pemeriksaan balas.

Bagaimanapun, Rosli berkata tiada aduan rasmi telah dibuat terhadap pemalsuan tandatangan oleh SRC atau anak syarikatnya, Gandingan Mentari.


11.07am - Prosiding diteruskan untuk pemeriksaan balas pendakwaan terhadap saksi terakhir Rosli Hussain.

Pendakwaan menyasarkan untu menutup kes hari ini.


Rosli tolak cadangan pembelaan keterangannya 'tidak sepenuhnya jujur'

10.22am - Rosli Hussain tidak bersetuju dengan cadangan terakhir Shafee bahawa terdapat sebahagian dari kesaksiannya yang "tidak sepenuhnya jujur."

"Sama sekali tidak," kata Rosli, sebelum prosiding berehat selama 30 minit untuk membolehkan pendakwaan bersedia untuk pemeriksaan balas.

Shafee dalam pemeriksaan balasnya antara lain menyentuh beberapa cadangan yang dikaitkan dengan Jho Low, bermula dengan, "dia (Jho Low berusaha keras untuk memastikan kad kredit Najib dan penyata bank tidak dihantar kepadanya. Anda setuju?"

Rosli berkata beliau tidak pasti.

Shafee Abdullah

Shafee: Adakah anda bersetuju bahawa mustahil Najib sendiri akan memberitahu bank, "jangan beritahu saya" (tentang status akaunnya).

Rosli: Saya tidak bersetuju.

Shafee: Jho Low memastikan semua cek yang dikeluarkan dari akaun Najib tidak akan ditendang. Betul?

Rosli: Saya tidak pasti.

Shafee seterusnya mencadangkan bahawa Najjb akan memeriksa, atau mengarahkan pegawainya untuk memeriksa, jika ada cek yang ditendang.

Rosli setuju kerana menurutnya dia akan melakukan hal yang sama.

Rosli juga berkata dia tidak tahu sama ada Jho Low telah lama berusaha memastikan Najib tidak mengetahui status sebenar akaunnya.


Saksi: Ada draf pendakwaan terhadap Najib pada 2015

10.14am - Rosli Hussain bersetuju bahawa terdapat draf pendakwaan terhadap Najib pada 2015.

Saksi ke-57 yang merupakan pegawai SPRM itu bersetuju apabila peguam Muhammad Shafee Abdullah bertanya tentang hal itu semasa pemeriksaan balas.

Shafee: Adakah pernah ada draf pendakwaan yang dibuat terhadap Najib (pada 2015)?

Rosli: Pernah.

Shafee: Sehingga Laporan Sarawak dan juga peguam negara sebelum ini Gani Patail mengatakan (sesuatu yang serupa)?

Rosli: Itu saya tidak tahu.

Ketika Shafee bertanya lebih lanjut, Rosli berkata adalah perkara biasa untuk membuat draf pendakwaan berdasarkan penemuan daripada siasatan SPRM.


Kertas siasatan 2015 cadangkan pendakwaan terhadap Nik Faisal

10.05am - Rosli Hussain memberi keterangan bahawa kertas siasatan pada 2015 telah mencadangkan pendakwaan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa inividu lain yang berkaitan dengan kes itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, saksi ke-57 itu berkata selain Nik Faisal, turut disebutkan ialah pengarah urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman, pengarah kewangan Ihsan Perdana, Abdul Aziz Ismail, dan pengarah SRC International Suboh Md Yassin.

Suboh Md Yassin

Shafee: Cadangan ini adalah untuk (dakwaan) kesalahan yang berkaitan dengan pemindahan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta (ke dalam akaun Najib antara Dec 2014 dan Feb 2015)?

Rosli: Ya.


Rosli tak setuju kenyataan Apandi Ali 2016 'bersihkan' Najib

9.45am - Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bekas peguam Peguam Negara Apandi Ali pada 26 Jan 2016.

Kenyataan Apandi itu menyatakan bahawa tidak ada bukti untuk menunjukkan Najib Razak memberi kelulusan untuk memindahkan wang dari SRC International ke akaun peribadinya.

Kenyataan media itu dilihat sebagai tindakan Apandi membersihkan Najib daripada salah laku dalam isu derma RM2.6 bilion serta pemindahan wang yang melibatkan SRC International.

Ketika Shafee bertanya sama ada keputusan Apandi adalah muktamad, Rosli, yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes SRC International itu, berkata walaupun Apandi membuat keputusan tersebut, SPRM boleh membuat rayuan.

Apandi Ali.


Kevin Morais tak terlibat kes SRC

9.40am - Rosli Hussain memberi keterangan bahawa mendiang timbalan pendakwa raya Kevin Morais tidak terlibat dalam siasatan SRC International pada 2015.

Shafee: Adakah Kevin Morais terlibat dalam (siasatan) SRC?

Kevin Morais

Rosli: Tidak

Shafee: (Siasatan) 1MDB?

Rosli: Tidak


9.30am - Timbalan pendakwa raya V Sithambaram berdiri untuk membantah cubaan Shafee untuk menyerahkan dua kenyataan media oleh bekas peguam negara, Apandi Ali, yang dikeluarkan pada 18 Jan dan 26 Jan 2016.

Sithambaram berkata, walaupun Shafee boleh merujuk kepada kenyataan media itu dalam soalan beliau, dokumen itu tidak seharusnya ditandakan sebagai bukti kerana penulis kenyataan itu tiada dalam mahkamah, oleh itu ia dianggap khabar angin.

V Sithambaram

Shafee bersetuju untuk meneruskan soalannya tetapi menjelaskan bahawa pihak pembelaan sebelum ini diberitahu untuk bergantung kepada laporan media, apabila ia menimbulkan isu yang serupa berhubung surat kuasa.


9.17am - Prosiding bermula.


8.58am - Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam dan menunggu prosiding bermula.

Turut dilihat di mahkamah adalah Peguam Negara Tommy Thomas dan pendakwa raya, serta peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan anggota lain pasukan pembelaan.


Pendakwaan berhasrat untuk menyelesaikan kes RM42 juta SRC International melibatkan Najib Razak hari ini.

Dengan peguam bela bekas perdana menteri Muhammad Shafee Abdullah menjangkau peringkat akhir pemeriksaan balasnya terhadap pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain, ia akan membolehkan pihak pendakwaan menjalankan pemeriksaan semula saksi ke-57 itu yang juga merupakan saksi terakhir.

Bagaimanapun, prosiding hari ini, yang akan bermula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mungkin hanya berlangsung separuh hari kerana hakim mempunyai kes jenayah lain pada sebelah petang.

Dengan perbicaraan 1MDB melibatkan RM2.28 bilion di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah ditetapkan untuk dimulakan esok dan berlangsung berterusan sehingga Khamis minggu ini, pihak dalam perbicaraan SRC International dijangka akan menyelesaikan kesaksian Rosli dengan segera.


 

Lihat Komen