malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SIS gesa undang-undang perkahwinan bawah umur diselaraskan
ADS

NGO Sisters In Islam (SIS) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof menyelaraskan undang-undang syariah di seluruh negara, berkenaan perkahwinan bawah umur.

Pengurus Komunikasi Majidah Hashim berkata sukar untuk menerima betapa perlahannya usaha kerajaan dalam menangani isu perkahwinan bawah umur hanya kerana hal ehwal syariah di bawah kuasa negeri.

"Mereka (kerajaan) berkata masalahnya kerana setiap negeri perlu meminda undang-undang masing-masing, maka tak banyak yang boleh dilakukan kerajaan.

"Tetapi saya fikir mereka boleh melakukannya memandangkan Mujahid telah bekerjasama dengan negeri-negeri untuk menyeragamkan enakmen jenayah syariah seluruh negara.

"Jadi jika beliau boleh membawa mereka bersama dan mendapatkan persetujuan di seluruh negara, mengapa mereka tak boleh berbuat demikian untuk isu perkahwinan kanak-kanak?" katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui Petaling Jaya hari ini.

Bulan lalu Mujahid berkata penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah di seluruh negara dijangka akan dilaksanakan akhir tahun ini, dengan 40 peratus kemajuan telah dicapai untuk usaha itu.

Malaysiakini telah menghubungi Mujahid untuk mengulas perkara itu.

Pengarah Program SIS Shareena Sheriff berkata kerajaan agak perlahan dalam menangani isu tersebut walaupun ia termasuk dalam manifesto PRU ke-14 Pakatan Harapan (PH).

"Selagi tiada pindaan (undang-undang), perkahwinan kanak-kanak akan berterusan," katanya lagi.

Shareena juga menggesa kerajaan menunjukkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tegas melibatkan perkahwinan kanak-kanak yang digunakan oleh hakim mahkamah syariah untuk menilai setiap permohonan.

Pada Mac lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata kerajaan akan mencadangkan SOP yang lebih ketat, dan untuk kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Pada masa ini permohonan bagi perkahwinan di bawah umur didengar hakim mahkamah rendah syariah.

Bagaimanapun Fuziah mengakui bahawa pelaksanaan cadangan itu sebagai undang-undang baru agak mencabar, memandangkan mahkamah syariah di bawah majlis agama setiap negeri.

"Apa yang kita tidak tahu sejauh mana hakim mengikut SOP semasa? Adakah mereka memeriksa setiap kriteria dalam SOP?

"Boleh difahami yang hakim akan guna budi bicara, tetapi jika ia dipatuhi secara tegas, kami tidak merasakan perkahwinan kanak-kanak akan terus bertambah. Penyelidikan kami menunjukkan kelulusan senang didapat," kata Shareena.

Malaysiakini telah menghubungi Fuziah untuk mengulas perkara itu.

Shareena menegaskan kerajaan perlu mengenal pasti punca di sebalik perkara itu agar pihak bertanggungjawab dapat masuk campur.

"Bagaimana kita boleh melakukan intervensi jika tidak tahu mengapa mereka berkahwin? Jika isunya ialah mentaliti yang salah, mungkin kita boleh bercakap dengan pemimpin masyarakat yang boleh menasihati ibu bapa."

Kata Majidah pula, semua kanak-kanak - tanpa mengira agama - berisiko ke arah perkahwinan bawah umur.

"Mereka patut dilindungi daripada kemungkinan perkahwinan bawah umur. Undang-undang perlu melindungi mereka - lelaki atau perempuan, Islam atau tidak," katanya lagi.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, sejumlah 15,000 perkahwinan bawah umur berlaku antara 2007 hingga 2017.

Sejumlah 10,000 kes melibatkan pasangan Islam, manakala 4,999 kes melibatkan pasangan bukan Islam.

Lihat Komen