malaysiakini logo
story-image
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan tanggapan yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) sedang perlahan-lahan rebah seperti didakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi PH itu juga menafikan dakwaan yang mengatakan beliau "bersendirian" kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang merancang strategi menolak kepimpinannya.

"Anda boleh lihat sama ada saya bersendirian atau tidak. Saya jalan pergi mana-mana dan di mana-mana orang datang dan salam saya untuk tunjukkan sokongan," katanya.

Tambah Dr Mahathir, PH bersama-sama dalam membuat membuat keputusan termasuk berhubung isu yang dilihat kritikal.

"Dalam parti pun, anda boleh lihat kabinet ini tetap bersama dan mampu membuat keputusan dalam isu-isu kritikal," katanya kepada media ketika menghadiri program pelancongan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Zahid menyifatkan PH sedang menghidap kemelayuh (gangrene) politik.

Kata Ahmad Zahid fenomena baru itu bermaksud PH mengalami kematian secara senyap dan halus.

Kenyataan presiden Umno itu hadir ketika PH dilihat berdepan kritikan berhubung isu Lynas dan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Dr Mahathir sebelum ini dikatakan merancang untuk menukar portfolio beberapa menteri namun menafikan akan merombak kabinet.

[Baca berita asal]

Lihat Komen