Pengiklanan

    Bekas pengerusi PIBG: Perpaduan Sekolah Wawasan hanya pada nama

    (Dikemaskini )

    Projek Sekolah Wawasan yang dimulakan pada 2003 sering isu pendidikan satu aliran dibincangkan. 

    Dicetuskan oleh Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi perdana menteri untuk kali pertama, Sekolah Wawasan merupakan projek rintis untuk merapatkan hubungan antara pelajar sekolah rendah vernakular dan kebangsaan.

    Namun, menurut seorang bekas pengerusi persatuan ibu, bapa dan guru (PIBG) sebuah Sekolah Wawasan, objektif untuk memupuk perpaduan hanya tinggal pada nama.

    "Nama sahaja Sekolah Wawasan, tapi, semuanya dibuat secara berasingan. Hari kanak-kanak, hari guru, hari sukan tahunan - semuanya asing.

    "Cuma hari sukan (yang diadakan dua tahun sekali) melibatkan tiga sekolah. Itu pun antara sekolah, bukannya pelajar Melayu, Cina dan India dalam satu kumpulan bertanding dengan kumpulan lain.

    "Jadi, di mana perpaduan?" tanya S Murali yang merupakan pengerusi PIBG Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Sambanthan pada 2005-2012.

    Ia adalah satu daripada tiga sekolah yang menghuni kompleks Sekolah Wawasan USJ15 di Subang Jaya, Selangor.

    Mengikut konsep Sekolah Wawasan, sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan ditempatkan dalam sebuah kompleks dan berkongsi infratruktur seperti padang dan kantin.

    Bagaimanapun sesi pembelajaran dan pentadbiran dibuat secara berasingan.

    Dua lagi sekolah yang berkongsi Kompleks Sekolah Wawasan USJ15 adalah Sekolah Kebangsaan Dato Onn Jaafar dan SJK Cina Tun Tan Cheng Lock.

    Sekolah Wawasan USJ15 merupakan satu daripada lima sekolah wawasan yang diwujudkan di Malaysia.

    Empat lagi ialah Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak; Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah; Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang; dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.

    Sekolah Wawasan USJ15 boleh dianggap unik kerana ia satu-satunya yang mempunyai wakil Sekolah Jenis Kebangsaan SJK Cina.

    SJK Cina lain telah menarik diri atas dasar bimbang projek itu akan menjejas identitinya.

    Cabarannya pihak sekolah sendiri

    Menurut Murali, antara cabaran dalam mencapai objektif membina perpaduan di Sekolah Wawasan USJ15 ketika beliau menjadi pengerusi PIBG ialah keengganan pihak sekolah sendiri untuk menambah peluang interaksi dalam kalangan pelajar.

    Katanya, cadangan beliau untuk mengadakan aktiviti kokurikulum bersama-sama ditolak secara mentah oleh pihak sekolah.

    "Pelajar Melayu tidak duduk dengan India, India tidak duduk Cina, Cina tidak baik dengan Melayu dan sebaliknya. Salah siapa?” katanya.

    Menurut Murali, terdapat juga cabaran logistik, seperti pengurusan infrastruktur sekolah yang kebanyakannya diuruskan guru besar sekolah kebangsaan.

    "Walaupun secara umum kunci dewan dipegang oleh setiap sekolah bagi satu tahun, kebanyakan masa sekolah kebangsaan tidak memberi ruang kepada sekolah lain untuk mengadakan program.

    "Saya telah buat banyak aduan di pejabat pendidikan daerah tetapi tiada sebarang tindakan diambil," katanya lagi.

    Baru-baru ini Mahathir membangkitkan penolakan Dong Zong terhadap Sekolah Wawasan sebelum ini ketika melabelkan kumpulan pendesak pendidikan Cina itu sebagai rasis.

    "Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus... Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” katanya mengulas bantahan Dong Zong terhadap pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular.

    Ketika penubuhan Sekolah Wawasan pada 2003, Dong Zong dipetik media sebagai menolak konsep itu atas sebab risau ia adalah satu langkah asimilasi yang akan melunturkan identiti SJK Cina.

    Akan datang: Arah mana perpaduan? Bagaimana anak-anak Malaysia membesar dalam kepompong etnik.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih