malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis budaya: Ramai orang Melayu hanya 'separuh celik' budaya sendiri
ADS

Kebanyakan orang Melayu hanya "separuh celik" terhadap kekayaan sejarah dan akar mereka, termasuk maksud asas tentang apa yang dikatakan sebagai Melayu, kata seorang aktivis budaya.

Pengkaji sosiobudaya Eddin Khoo berkata soalan "siapa dan apa itu Melayu" perlu dijawab terlebih dahulu jika budaya Melayu mahu diiktiraf sebagai budaya asas negara.

"Kebelakangan ini kemelayuan itu (hanya) berasaskan takrifan perlembagaan.

"Kebanyakan anak Melayu tidak kenal pun apa itu Melayu selain takrifan perlembagaan. Dari segi budaya, sejarah, dan rantau, (mereka) hanya separuh celik. (Pemahaman) tidak merangkumi keragaman budaya yang mendalam dan meluas," katanya ketika berucap di sebuah forum di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya lagi, persoalan berkaitan kemelayuan juga sering dipengaruhi politik semasa dan ideologi.

Khoo mengulas pandangan moderator, ahli Jawatankuasa Pemuda Bersatu Ashraff Mustaqim Badrul Munir bahawa pemimpin negara selama ini gagal menangani isu budaya penakrif Malaysia yang menyebabkan berlakunya perdebatan seperti status bahasa Melayu dan isu tulisan Jawi.

"Adakah sudah tiba masanya kita bincang kembali perihal bangsa penakrif dan siapa bangsa penakrif. Adakah Melayu bangsa penakrif (di Malaysia)?" soal Ashraff.

'Setiap masyarakat anggap diri mangsa'

Mengulas lanjut, Khoo berkata persoalan utama ialah pergelutan identiti yang kian keras dan kaku yang sebahagiannya dibentuk oleh pegangan politik.

"Tetapi kita tiada pegangan budaya dan sejarah untuk benar-benar menangani (persoalan itu dari) setiap dimensi," katanya sambil mendambah keadaan semakin diburukkan oleh pandangan-pandangan provokatif di media sosial.

Dikenali sengan usahanya memelihara budaya seni Melayu tradisional menerusi Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka), Khoo berkata langkah ke hadapan adalah membuang "sikap ketuanan".

"Sikap ketuanan sesiapa pun harus kita buang. Tiada tuan di bumi ini, memang ada masyarakat dan budaya asas tetapi apabila ada pergelutan antara 'ketuanan', kita akan melahirkan sikap 'mangsa' dan ini penyakit dan luka di Malaysia.

"Setiap masyarakat menganggap diri mereka sebagai mangsa masyarakat lain," katanya lagi.

Forum itu turut menampilkan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Azmi Abdul Hamid dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman, manakala Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menyampaikan ucapan penutup.

Lihat Komen