malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Presiden Amanah ziarah mursyidul am PAS
Diterbitkan:  Aug 25, 2019 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM
ADS

Biarpun kini sudah berlainan parti - dan diberikan pelbagai gelaran jelik kerana membawa pendekatan berbeza - Presiden Amanah, Mohamad Sabu, tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, di Perlis hari ini.

Menurut Mohamad beliau berkunjung ke rumah Hashim di Arau selepas selesai merasmikan serentak mesyuarat tahunan tiga kawasan Amanah Perlis.

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata, sesuatu kunjungan ke Perlis tidak lengkap jika tanpa bertemu dengan Hashim, terutama apabila pemimpin tertinggi PAS itu dikatakan kurang sihat sejak akhir-akhir ini.

Kata Mohamad, Hashim adalah sahabat lama beliau dalam perjuangan politik dan selalu digandingkan di pentas ceramah suatu ketika dulu.

"Selesai merasmikan mesyuarat tahunan Amanah di tiga kawasan serentak di Perlis, saya singgah pula menziarahi sahabat lama dalam perjuangan Ustaz Haji Hashim Jasin.

"Saya dimaklumkan beliau sedikit uzur kebelakangan ini," katanya.

Untuk rekod, Hashim ialah pemimpin veteran PAS yang dilantik menjadi mursyidul am parti itu bagi mengisi kekosongan selepas penyandang sebelumnya, Dr Haron Din, meninggal dunia.

Sebelum ini Hashim pernah dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Perlis dan menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.

Beliau juga kini dikenali dengan gelaran Tuan Guru dalam kalangan anggota dan penyokong PAS.

Amanah pula menjadi salah satu parti paling dimusuhi oleh PAS dan sering digelar sebagai "khadam DAP".

Mohamad juga berharap Hashim diberikan kesihatan yang baik dan hubungan persaudaraan di antara mereka akan berpanjangan ke akhir hayat.

"Terima kasih kerana sudi menerima dan melayan kehadiran kami," katanya. 

Lihat Komen