Pengiklanan

    Mustahil boleh tahu 4 ribu kakitangan KBS ahli parti mana - Menteri

    (Dikemaskini )

    Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau tidak mempunyai kawalan terhadap kecenderungan sokongan politik kakitangannya.

    Kenyataan ini dibuatnya susulan dakwaan kronisme mengenai lantikan 13 anggota Pemuda Bersatu (Armada) sebagai penyelaras pembangunan sukan negeri.

    "Saya rasa ada salah faham yang sangat jelas dalam hal ini.

    "Pertama sekali bawah kementerian kita ada dalam lebih 4,000 staff dan untuk saya ketahui setiap satu pegangan politik adalah mustahil.

    "Sebab itu contoh baru-baru ini bila ada kalangan felo perdana merupakan penyokong tegar Umno BN masih jadi ahli Umno BN, sebelum ini berkempen lawan saya, tetapi jadi felo perdana saya.

    "Ada pihak kata kenapa kamu buat lantikan politik bawa mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog anjuran Akademi Harimau Asia di Kuala Lumpur hari ini.

    Syed Saddiq yang juga ketua Armada menegaskan beliau tidak pernah mengambil tindakan terhadap kakitangan kementeriannya yang menjadi ahli PAS atau Umno.

    "Pada masa yang sama ada juga kakitangan yang merupakan ahli Umno, PAS tapi saya tak ambil tindakan pada mereka.

    "Sama dalam bab (penyelaras pembangunan sukan negeri) ini. Selagi proses diikuti, itulah cara terbaik.

    "Tapi untuk saya ketahui partisan politik mereka agak sukar. Kita nak pastikan semua pihak dapat pembelaan sewajarnya," katanya lagi.

    Apabila dimaklumkan sebelum ini beliau pernah bercakap mengenai lantikan politik dalam kementeriannya, Syed Saddiq menjelaskan beliau tidak mendiskriminasikan mereka yang didapati menjadi ahli atau menyokong parti politik yang berbeza.

    Surat kementerian yang mengumumkan pelantikan 13 penyelaras pembangunan sukan - satu untuk setiap negeri kecuali Sarawak - baru-baru ini dikongsi di media sosial.

    Surat bertarikh 19 Ogos itu menyatakan para pegawai ditugaskan untuk menyelaraskan program pembangunan sukan di negeri masing-masing, dengan tumpuan pada sukan paralimpik.

    13 penyelaras tersebut dijadualkan memulakan tugas masing-masing di jabatan belia dan sukan negeri pada 21 Ogos.

    Pemuda Umno Bahagian Tebrau di halaman Facebooknya kemudian berkongsi gambar mereka yang dikatakan sebagai 13 pegawai sukan itu berserta nama dan jawatan di dalam Bersatu.

    Hantaran tersebut juga mempertikaikan pelantikan berkenaan yang didakwa sebagai amalan "kronisme" dan menggesa SPRM menyiasat Syed Saddiq berhubung hal itu.

    [Baca berita penuh]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih