malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
KPM diminta struktur semula panel kurikulum sekolah Tamil
ADS

Penganjur perhimpunan bantahan tulisan jawi di Little India, Brickfields semalam, Puratchi meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menstruktur semula panel kurikulum sekolah Tamil supaya mengelakkan isu seperti tulisan Jawi berulang pada masa depan.

Ketua Penyelaras Puratchi, K Umagandhan berpendapat kebanyakan ahli panel yang juga penjawat awam tidak berani menyuarakan sentimen akar umbi kepada kementerian.

“Kita tahu kebanyakan ahli panel di KPM merupakan penjawat awam seperti profesor atau pensyarah di IPTA. Mereka tidak berani menentang bos (keputusan kerajaan).

“Ini yang kita nampak dalam isu Jawi di mana KPM hanya mengambil maklum pandangan segelintir individu tertentu yang tidak berani membawa sentimen akar umbi yang jelas tidak sehaluan dengan keputusan KPM memperkenalkan Jawi di sekolah vernakular,” katanya kepada pemberita di sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir peguamnya Dinesh Muthal dan wakil-wakil NGO yang mengambil bahagian dalam perhimpunan di Brickfields semalam yang menggesa kerajaan menarik balik keputusan memperkenalkan pengajaran tulisan Jawi dalam pelajaran Bahasa Malaysia darjah empat di sekolah vernakular Tamil dan Cina.

Umagandhan turut meminta KPM mengambil ahli akademik yang bebas daripada sebarang urusan kerajaan mahupun parti politik untuk memberi maklum balas dalam kurikulum.

“Masyarakat India hendak ahli akademik bebas mewakili mereka. Bukan, mereka yang ‘diikat’ dengan kerajaan.

“Jangan selalu panggil yang cuma kata ‘yes boss’. Bincang dengan pemegang kepentingan yang ada sentuhan akar umbi,” katanya.

Sementara itu, peguamnya Dinesh menjelaskan ‘Puratchi’ bukan hanya diwujudkan semata-mata untuk perhimpunan semalam.

“Ia satu pergerakan. Pergerakan ini akan diteruskan. Dalam perhimpunan ini pun kita ada gabungan 33 NGO termasuk wakil masyarakat Cina.

“Kita akan terus perhatikan tindakan kerajaan dalam isu-isu hak asas sekolah vernakular. Sekiranya kami tidak puas hati, maka kami akan bersuara,” tambah beliau.

Lihat Komen