malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada himpunan bantah Zakir, polis ucap terima kasih pada orang awam
ADS

Himpunan membantah penceramah Dr Zakir Naik yang dijadual hari ini tidak terlaksana, dengan polis mengambil langkah berwaspada dan menutup jalan di kawasan Brickfields di Kuala Lumpur.

Mesej menggesa orang ramai agar hadir ke himpunan telah tersebar di media sosial, walaupun penganjurnya Shankar Ganesh semalam berkata himpunan itu dibatalkan setelah diminta Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tiada peserta yang kelihatan di tengah-tengah sekurang-kurangnya 100 polis yang ditempatkan di kawasan itu.

Selain isu Zakir, himpunan itu juga pada mulanya dijangka menyentuh isu penukaran agama sepihak terhadap individu bawah umur, pengagihan dana yang diperuntukkan kepada Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) Jabatan Perdana Menteri, serta masalah status kewarganegaraan di kalangan masyarakat India.

Polis memutuskan untuk menutup kawasan itu hari ini berikutan rancangan himpunan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memilih untuk tidak hadir hari ini.

"Terima kasih kerana tak datang, kami puji (mereka). Terima kasih kepada mereka yang mematuhi arahan polis.

"Kita nak Kuala Lumpur aman damai dan tenteram... Dan tidak mengganggu keselamatan di negara," katanya kepada media.

Kata Mazlan lagi, isu berkenaan Zakir dan pengenalan tulisan jawi sudah selesai dan polis telah melarang penceramah warga India itu daripada menyampaikan ceramah di negara ini.

"Jadi tak ada isu. Kalau (ada pihak) buat himpunan, mereka buat suasana tidak tenteram. Minta perkara ini dijauhi dan dapat dikawal," katanya lagi.

Walaupun jalan-jalan ditutup, perniagaan beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun Mazlan berkata polis hanya akan membuka jalan yang telah ditutup apabila mereka berpuas hati dengan keadaan semasa.

Lihat Komen